
MOSCOW: Rusia kelmarin menghalau dua kakitangan kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan Robert Shonov, seorang bekas pekerja konsulat AS yang dituduh oleh Moscow sebagai pengintip.
Shonov, yang bertugas bagi konsulat AS di Vladivostok, telah dituduh menyerahkan maklumat mengenai konflik di Ukraine kepada diplomat AS, satu dakwaan yang dinafikan oleh AS.
Kementerian luar negara Rusia berkata dua diplomat tersebut – Jeff Sillin dan David Bernstein – melakukan “aktiviti perhubungan haram dengan seorang rakyat Rusia, (Robert) Shonov”.
“Duta AS telah diberitahu bahawa Sillin dan Bernstein harus meninggalkan wilayah Rusia dalam tempoh tujuh hari di bawah status persona non grata,” katanya.
Ketegangan antara Rusia dan AS telah bertambah buruk selama beberapa tahun, dan kedua-dua pihak saling menghalau kakitangan diplomatik.
AS mengecam dengan tegas penahanan Shonov pada Mei lepas, menuduh kerajaan Rusia menggunakan “undang-undang yang semakin menindas terhadap rakyatnya sendiri”. — AFP