
KUCHING: Sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan kepada Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sebagai usaha pusat itu menawarkan kursus khasnya dalam bidang berteknologi tinggi.
Peruntukan daripada Majlis TVET Kebangsaan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media sempena Majlis Kunjungan Rasmi beliau ke CENTEXS Santubong di sini, hari ini.
"Peruntukan ini adalah bagi menampung sebahagian daripada kos pembiayaan untuk peserta-peserta yang mengikuti pelbagai kursus dalam bidang diutamakan iaitu bidang berteknologi tinggi dan juga bidang tenaga diperbaharui.
"Kerjasama antara Majlis TVET Kebangsaan dan CENTEXS ini merupakan satu kerjasama jangka panjang.
"Ia bertujuan untuk menterjemahkan tentang haluan baharu kepada TVET kebangsaan iaitu tentang satu penyediaan atau guna tenaga kepada pasaran kerja di negara kita," ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, ia terutamanya dalam bidang berteknologi tinggi kerana pelaburan langsung asing (FDI) di bawah Perdana Menteri adalah menuju ke arah industri berteknologi tinggi.
Beliau katanya, berterima kasih kepada CENTEXS kerana menyediakan kursus-kursus yang berdasarkan kepada unjuran terhadap permintaan tenaga kerja berteknologi tinggi di negara ini.
"Saya juga telah mencadangkan supaya guna tenaga dalam penyediaan perubatan robotik juga dapat disediakan di samping kursus-kursus baharu terutama dalam bidang baharu.
"Ia selaras dengan langkah menuju ke arah komunikasi berteknologi canggih dan tentunya, di bawah kepimpinan YAB Premier Sarawak," katanya.
Jelas beliau, kini dengan usaha dilakukan kerajaan negeri menerusi CENTEXS, ia meletakkan Sarawak berada di garisan paling hadapan dalam menyediakan kursus serta bidang ditawarkan.
Beliau berkata, ia satu usaha yang amat baik dan harus berkesinambungan bagi satu jangka waktu yang panjang iaitu 10 dan 20 tahun akan datang.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) adalah diletakkan di bawah pejabat beliau (TPM).
"Saya memandang serius mengenai TVET, di mana saya bersama Menteri Sumber Manusia memberikan keprihatinan tinggi terhadap TVET.
"Ia supaya benar-benar memenuhi pasaran kerja diperlukan industri bukan sekadar kursus yang untuk sesuai khidmat industri," katanya.
Justeru, beliau memberikan komitmen bahawa TVET Kebangsaan akan bekerjasama baik dengan CENTEXS, bukan bersaing tetapi lebih kepada pelengkap kepada masing-masing.
Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi serta Pengerusi CENTEXS dan CENTEXS Commercial Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.