Anda di sini

Pelampau serang kem di Burkina Faso, lapan maut

Advertisement
 

OUAGADOUGOU: Kumpulan pelampau yang disyaki telah menyerang sebuah kem didiami orang yang tiada tempat tinggal di utara Burkina Faso, menyebabkan lapan kematian, menurut sumber tempatan dan keselamatan kelmarin.

Serangan terbaru di negara bermasalah Afrika Barat itu melihat beberapa lelaki bersenjata menyasarkan kem di Wendou, wilayah Seno, pada malam Selasa lepas, seorang pegawai tempatan memberitahu AFP.

“Lapan orang disenaraikan meninggal dunia dan kira-kira 10 lagi tercedera,” jelasnya.

Seorang penduduk, yang turut memberikan angka bagi lapan kematian, berkata kawasan itu menempatkan orang yang tiada tempat tinggi selama lebih tiga tahun.

“Insiden tembakan berlangsung selama sejam,” tambahnya.

“Jumlah mangsa mungkin lebih tinggi kerana terdapat beberapa orang yang hilang. Kami tidak tahu sama ada mereka telah terbunuh, diculik atau berjaya melarikan diri,” katanya.

“Beberapa orang telah meninggalkan kem selepas serangan itu,” tambahnya.

Sumber keselamatan mengumumkan beberapa langkah telah diambil untuk memastikan keselamatan kem dan juga keselamatan penghuninya.

Burkina Faso sedang berdepan dengan pemberontakan pelampau yang merebak dari negara jiran Mali pada 2015. 

Lebih 17,000 warga awam dan anggota tentera telah terkorban dalam serangan kumpulan pelampau di Burkina Faso, menurut kiraan badan pemerhati NGO dikenali sebagai Armed Conflict Location and Event Data Project (ACLED).

Lebih dua juta orang turut kehilangan tempat tinggal di dalam negara, menjadikannya sebagai salah satu krisis ketiadaan penempatan dalaman yang paling teruk di Afrika. — AFP


 

Advertisement