Anda di sini

28 pemandu Maxim tampil santuni PDK PIBAKIS Miri 

Advertisement
Justin (lima kanan) menyampaikan replika cek dan barangan keperluan asas kepada Wong disaksikan pemandu e-hailing Maxim yang terlibat menjayakan usaha itu.
Justin (lima kanan) menyampaikan replika cek dan barangan keperluan asas kepada Wong disaksikan pemandu e-hailing Maxim yang terlibat menjayakan usaha itu.

MIRI: Seramai 28 pemandu e-hailing Maxim tampil bersama bagi menyampaikan sumbangan dan lawatan ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa (PIBAKIS) Miri sempena sambutan Hari Malaysia.

Pengerusi penganjur, Justin Majin berkata usaha itu merupakan antara kerja amal yang memberi kembali kepada masyarakat kurang bernasib baik.

“Ini merupakan aktiviti kedua kami dalam melakukan kerja amal dan merupakan julung kali kepada kami terlibat menghulurkan sumbangan dan lawatan ke PDK PIBAKIS Miri.

“Sebelum ini, kami pernah memberikan sumbangan kepada sebuah masjid di sini sempena Hari Raya lalu. 

“Diharapkan dengan usaha ini dapat memberi inspirasi kepada pemandu e-hailing lain agar tampil memberi sumbangan tidak kira dari segi tenaga, kewangan atau melakukan lawatan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.

Menurutnya, sumbangan wang bernilai RM500 dan barangan keperluan asas seperti beras, telur, air minuman serta barangan kering adalah tajaan daripada Miri Aist Malaysia Sdn Bhd (MAXIM).

“Ada juga dalam kalangan kami turut menghulurkan sumbangan secara peribadi sebagai sokongan kepada PDK PIBAKIS Miri,” katanya.

Menurut Justin, mereka berkumpul terdahulu di Taman Bulatan Miri sebelum melakukan konvoi ke PDK PIBAKIS Miri.

Katanya, mereka berhasrat melakukan aktiviti lain pada masa akan datang dan berharap lebih ramai pemandu e-hailing Maxim bersama menjayakannya nanti.

“Antaranya aktiviti pembersihan pantai atau kerja amal lain. Bukan sahaja memberi kembali kepada masyarakat setempat, malah sebahagian usaha untuk menyatukan semua pemandu e-hailing Maxim di sini agar saling mengenali satu sama lain secara dekat.

“Pada masa sama, melalui aktiviti sedemikian juga kami boleh berkongsi idea atau masalah dihadapi satu sama lain sepanjang melaksanakan tanggungjawab sebagai pemandu e-hailing,” jelasnya.

Sumbangan itu disampaikan oleh Justin kepada kakitangan PDK PIBAKIS Miri, Wong Siew Ting sebagai wakil penerima.
 

  • oleh
  • Advertisement