Anda di sini

Perpaduan kaum nadi Sarawak: Abang Johari

Advertisement
Gambar fail

KUCHING: Semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum adalah perkara pokok yang sentiasa diambil kira di Sarawak dalam melontarkan apa jua idea dan pandangan dalam usaha bergerak maju ke hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah tema 'Segulai Sejalai' menjadi asas bagi mewujudkan persefahaman antara satu sama lain di negeri ini.

"Ia supaya semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama dapat sama-sama menikmati kemajuan dan kemakmuran bumi bertuah ini. 

"Dengan itu, saya amat berharap dan berdoa agar Malaysia kita terus maju dan melangkah berani ke hadapan dengan semangat kesatuan bangsa yang jitu supaya negara terus dihormati dan disegani di arena serantau dan antarabangsa," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan Hari Malaysia 2023.

Abang Johari berkata, sambutan Hari Malaysia 2023 yang diadakan pada tahun ini cukup meriah.

Katanya, warga Kuching khususnya amat berbesar hati menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia dan juga rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dan negeri Sabah bagi bersama-sama mengingati serta merayakan detik bersejarah tanah air yang berlaku 60 tahun lalu. 

"Pada ketika itulah termeterainya perjanjian yang menyatukan dua wilayah di Pulau Borneo dan Tanah Melayu untuk membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

"Pada detik yang sungguh bermakna ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghayati tema Hari Malaysia yang diangkat pada tahun ini iaitu 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan'," katanya.

Tambah beliau, tema yang sama dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu sebagai suatu usaha mengajak seluruh rakyat menghayati erti pemikiran serta dasar pembangunan bangsa merdeka yang berjaya.

Selain itu ujarnya, memiliki budaya ketamadunan yang tinggi serta menjadikan perpaduan serumpun sebagai teras utama dalam melakar kejayaan dalam arus kemodenan tanpa sempadan pada masa kini. 

"Ia adalah suatu panggilan kepada semua rakyat Malaysia untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi berteraskan rasa hormat menghormati antara sesama insan dalam apa jua situasi yang berlaku untuk membina masa hadapan negara yang gemilang," katanya.

Sementara itu, Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching pada hari ini, 16 September 2023.

Sambutan perayaan itu dijadual bermula dengan acara prapersembahan pada jam 7 malam dan acara rasmi bermula pada jam 8.30 malam dengan ketibaan Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang akan merasmikan majlis berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement