
KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memainkan peranan penting memastikan pematuhan kepada undang-undang serta tidak berkompromi dalam isu-isu berkaitan dengan integriti.
Ini kerana menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, NREB merupakan sebuah agensi utama yang bertanggungjawab untuk mencapai kelestarian alam sekitar di Sarawak.
“Saya berharap agar NREB akan berusaha untuk mendapatkan pensijilan ISO 37001:2016 ABMS (Sistem Pengurusan Anti Rasuah) kerana sebagai sebuah agensi penguatkuasa, sudah pasti NREB mengambil berat tentang pentingnya nilai integriti.
“Ini adalah disebabkan setiap warga kerja NREB memegang amanah yang besar bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dan mampan melalui pemantauan dan penguatkuasaan setiap projek yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti NREB Tahun 2023 yang berlangsung di Hotel Waterfront di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua turut menyarankan NREB menyertai Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) peringkat kebangsaan bagi tahun 2024.
Katanya melalui penyertaan dalam anugerah itu, komitmen pihak pengurusan tertinggi terhadap penyataan di dalam Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa akan diukur berdasarkan kriteria-kriteria AIGA.
Sementara itu, Kontroller Kualiti Alam Sekitar NREB, Jack Liam dalam ucapannya berkata NREB telah membangunkan OACP 2021-2025 dan telah mengadakan bengkel semak semula OACP berkenaan pada 16 dan 17 Ogos lepas dan dilancarkan hari ini.
OACP versi semak semula ini katanya telah ditambah baik di mana 31 inisiatif sedia ada dikekalkan, 17 inisiatif digabung, 7 inisiatif digugurkan dan 7 inisiatif baharu dimasukkan.
“Penambahbaikan yang dilakukan telah menjadikan pelan tersebut lebih komprehensif dan fokus, mempunyai ciri Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang boleh diukur serta boleh dicapai mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Pada majlis itu, turut diraikan seramai 18 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2022 NREB.
Anugerah itu adalah sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi motivasi warga NREB dalam memberi perkhidmatan yang cemerlang bagi mencapai visi NREB iaitu ‘Green, Clean and Healthy Sarawak’.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Pengerusi NREB, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya serta yang lain.