Anda di sini

KKD sedia DKD RM3 juta kepada pengkarya seni di Sabah, Sarawak

Advertisement
Fahmi menandatangani plak perasmian Studio Sound Stage FINAS Sarawak, hari ini. - Gambar Penerangan
Fahmi menandatangani plak perasmian Studio Sound Stage FINAS Sarawak, hari ini. - Gambar Penerangan

KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyediakan peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM3 juta kepada pengkarya seni di Sabah dan Sarawak. 

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, permohonan bagi peruntukan khas itu mula dibuka pada 11 September lalu hingga 11 Oktober depan dengan maksimum RM100,000 bagi seorang pengkarya. 

"Selain DKD, kita turut menyediakan diskaun sebanyak 20 peratus untuk sewaan dan kemudahan fasiliti penggambaran FINAS selama enam bulan mulai hari ini. 

"Sekiranya pengkarya mampu meraih anugerah terutamanya di peringkat antarabangsa, kita akan beri lebih banyak diskaun termasuk 20 peratus yang disediakan. 

"Jadi saya berharap DKD yang kita umumkan serta diskaun ini akan dapat memberi satu suntikan semangat dan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak kandungan dari Sabah dan Sarawak," ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Seminar Fast Track: How To Be A Content Creator dan Majlis Perasmian Studio Sound Stage FINAS Sarawak di sini, hari ini. 

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi mengucapkan tahniah dan syabas kepada FINAS atas inisiatif melaksanakan seminar tersebut yang amat bermanfaat dalam era digital masa kini. 

Pencipta kandungan atau 'content creator' katanya, berperanan menyebarkan maklumat, menyuburkan budaya dan bersuara bagi pihak komuniti yang berbilang budaya serta lapisan sosial. 

"Saya berharap agar seminar yang mengetengahkan nama-nama besar pencipta kandungan dan pempengaruh tempatan seperti Ain Shuhada dan saudara Ngek Tsai akan memberikan nilai tambah dan input berguna kepada peserta," katanya. 

Mengenai Studio Sound Stage yang dirasmikan, Fahmi berkata ia adalah sebagai sokongan berterusan kerajaan dalam pertumbuhan industri kreatif di rantau ini. 

Studio tersebut katanya, dilengkapi dengan peralatan terkini dan fasiliti yang memenuhi piawaian antarabangsa untuk menghasilkan karya seni visual yang berkualiti tinggi.
 
Beliau juga yakin studio tersebut akan menjadi tempat yang penting bagi penggiat industri filem, televisyen, iklan dan produksi multimedia. 

Hadir sama Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman dan Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. 
 

  • oleh
  • Advertisement