Anda di sini

Cerita pengalaman pengamal media buat liputan Kembara Kenali Borneo Agong dan Permaisuri

Advertisement
Jurugambar media semasa merakam detik Agong dan Permaisuri berkenan menandatangani plak Kembara Kenali Borneo Rumah Raymond Plen.
Jurugambar media semasa merakam detik Agong dan Permaisuri berkenan menandatangani plak Kembara Kenali Borneo Rumah Raymond Plen.

Oleh Abang Ismail Abang Su'ud

BINTULU: Pertama kali dalam seumur hidup beberapa pengamal media tempatan membuat liputan berita Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai detik terindah yang tidak akan dapat dilupakan.

Tidak hanya gembira dan puas kerana dapat membuat liputan berita secara langsung program-program Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bahkan menjadi kenangan warna- warni menarik dalam kerjaya seorang pengamal media.

Pengalaman ini juga disifatkan sebagai tuah yang jarang diperolehi memandangkan pertama kalinya, ketua negara dan lambang perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama ini berkenan mencemar duli singgah menyantuni rakyat jelata di wilayah Borneo Sabah dan Sarawak.

Bolhan merakam gambar di hadapan kenderaan yang diguna Agong dan Permaisuri dalam Kembara Kenali Borneo.
Bolhan merakam gambar di hadapan kenderaan yang diguna Agong dan Permaisuri dalam Kembara Kenali Borneo.

Antaranya singgah di Kampung Penan Muslim Batu 10 Jalan Bintulu-Miri dan Rumah Raymond Plen Sungai Gelam Ulu Sebauh sempena Kembara Kenali Borneo menyusuri perjalanan sejauh 2,154 kilometer di Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei bermula di Tawau pada 3 hingga 13 September dan berakhir di Telok Melano Sarawak.

Baginda berdua turut ditemani anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 
Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Pada awal kembara juga turut disertai anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Bolhan (tengah) bersama wartawan dan jurugambar media lain sabar menunggu untuk merakam detik bersejarah keberangkatan tiba Agong dan Permaisuri.
Bolhan (tengah) bersama wartawan dan jurugambar media lain sabar menunggu untuk merakam detik bersejarah keberangkatan tiba Agong dan Permaisuri.

Mengungkap kembali perasaannya semasa membuat liputan, jurufoto media Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Bolhan Hj Basah, 53, berkata, ini merupakan pengalaman pertama kali beliau mengikuti Kembara Kenali Borneo Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta julung-julung kali diadakan di negara ini.

Katanya, beliau pernah menyertai dan membuat liputan Kembara Merdeka anjuran jabatan sendiri sejak beberapa tahun lalu tetapi berbeza rasanya untuk kali ini.

"Saya amat gembira serta puas sebab ia benar-benar menguji ketahanan diri mengikuti perjalanan jauh, cuaca panas serta menyerlah kepakaran merakam gambar sudut terbaik dan detik indah kemesraan Agong dan Permaisuri mendekati serta menyantuni rakyat," katanya semasa dihubungi Utusan Borneo semalam.

Abang Iskandar Shah (kanan) bersama rakannya jurukamera video RTM.
Abang Iskandar Shah (kanan) bersama rakannya jurukamera video RTM.

Katanya, bersesak-sesak dengan orang awam yang juga amat berkeinginan merakam gambar melalui telefon pintar semasa mendekati dan berswafoto dengan Baginda berdua antara situasi yang benar-benar menguji tahap kepakaran kita sebagai seorang jurugambar merakam momen tersebut.

Bercerita lanjut skop tugas rasminya katanya, kebanyakan gambar-gambar yang dirakamnya adalah untuk tujuan siaran akhbar, percetakan majalah-majalah jabatan, media sosial jabatan, foto untuk simpanan arkib jabatan dan foto-foto untuk album cenderamata rasmi.

Sementara itu, Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berpangkalan di Bintulu Abang Iskandar Shah Abang Rosli, 38, berkata, beliau gembira dan berpuas hati membuat liputan berita berkenaan kunjungan Agong dan Permaisuri ke Bintulu bahkan sebagai peluang sekali seumur hidup.

"Berhadapan dengan masalah liputan talian Internet perlahan serta perlu mengejar tetapan masa siaran bukan perkara yang melemahkan semangat kita semasa membuat liputan sebaliknya komitmen tugas diamanahkan perlu diselesaikan dengan sebaiknya," katanya.

Tay Leng Kim berswafoto di hadapan Rumah Raymond Plen Sungai Gelam Ulu Sebauh.
Tay Leng Kim berswafoto di hadapan Rumah Raymond Plen Sungai Gelam Ulu Sebauh.

Katanya, kesesakan semasa merakam gambar pada sudut terbaik dan cantik antara perkara biasa dilalui jurugambar media dalam keterujaan rakyat mendekati keluarga diraja untuk bersalaman dan merakam swafoto memandangkan kesempatan itu sangat jarang diperolehi.

Wartawan akhbar berbahasa Cina See Hua Daily News, Tay Leng Kim, 38, yang begitu ceria semasa membuat liputan berita Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta ahli keluarga diraja itu berkata, ini merupakan detik pengalaman yang sangat berharga dalam diri beliau.

Yunus Yussop.
Yunus Yussop.

"Saya sangat teruja untuk melihat secara langsung baginda raja mendekati serta menyantuni rakyat dan peluang sebegini jarang diperolehi bukan sahaja saya bahkan rakyat di wilayah Sabah dan Sarawak ini," katanya.

Menurutnya, yang membuatkan beliau berasa terharu apabila Agong dan Permaisuri serta anakanda Putera dan Puterinya sangat merendah diri dan mesra rakyat.

Kehadiran ramai rakyat yang setia menunggu sama ada di pinggir-pinggir jalan dan tempat-tempat yang disinggahi baginda berdua memperlihatkan perpaduan, kesaksamaan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

"Situasi itu membuatkan saya bangga dan gembira untuk hidup bersama kaum-kauam lain di Sarawak," katanya.

Senada dengannya wartawan akhbar berbahasa Inggeris The Borneo Post, Yunus Yussop, 40, berkata, ini adalah pengalaman pertama beliau membuat liputan media untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong termasuklah tiga putera Baginda.

"Seperti rakyat Sarawak yang lain, kedatangan YDPA Agong dan Raja Permaisuri memang cukup mengujakan, memandangkan Sarawak bukanlah negeri beraja dan ia merupakan lawatan pertama baginda berdua ke Sarawak," katanya.

Yunus (dua kiri) bersama jurugambar media lain merakam detik Agong dan Permaisuri dan anakanda Puteranya menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk Rumah Raymond Plen.
Yunus (dua kiri) bersama jurugambar media lain merakam detik Agong dan Permaisuri dan anakanda Puteranya menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk Rumah Raymond Plen.

Kebiasaannya katanya, program yang melibatkan golongan diraja, protokolnya agak ketat, namun apabila melihat YDPA memulakan jelajah Kembara Kenali Borneo di Sabah, Baginda cukup santai beramah mesra dengan rakyat dan ia sedikit memberi kelegaan kepada pengamal media.

Ternyata katanya, YDPA dan keluarga memang sangat mesra dengan rakyat dan ia adalah pengalaman manis buat semua rakyat yang berkesempatan berjumpa dan mengambil gambar kenangan.

Bagi pengamal media katanya, setiap tugasan melibatkan kepimpinan tertinggi negara memberi cabaran kepada pengamal media dan protokol yang ketat adalah antara aspek tidak digemari khususnya kepada jurugambar kerana ia memberi cabaran dalam mendapatkan gambar-gambar yang menarik.

"Untuk program YDPA yang santai, protokol keselamatan tetap dipatuhi kerana ia melibatkan ketua tertinggi negara dan kita akur," jelasnya.
Justeru katanya, pengalaman dimarahi, dijerit, ditarik, ditolak adalah lumrah kepada petugas media khususnya yang melibatkan program yang berprotokol ketat.

"Alhamdulillah, untuk program YDPA di Bintulu yang agak santai, kita seronok melihat keterujaan rakyat dan kemesraan YDPA Agong dan Permaisuri termasuklah tiga putera Baginda dan tidak dilupakan barisan pengawal peribadi Baginda yang berbudi bahasa," katanya.

Secara keseluruhannya katanya, beliau berpuas hati sepanjang membuat liputan selama dua hari program keluarga diraja tersebut.

"Untuk program Kembara Kenali Borneo YDPA, kesabaran tinggi memang diperlukan dalam proses menunggu kerana kita tahu, semua orang teruja untuk berjumpa dengan Baginda berdua dan ahli keluarganya.

"Saya ditugaskan untuk membuat liputan dua hari lawatan YDPA di Bintulu, lawatan di Kampung Penan Muslim Batu 10 dan rumah panjang Raymond Plen di Sebauh dengan faktor cuaca panas di hari pertama dan hujan hari kedua cukup memberi kesan kepada ketahanan emosi dan fizikal," katanya.

Katanya, proses mengambil gambar dan video Agong dan Permaisuri memang sudah dijangka agak sukar kerana perlu berebut dengan orang awam terutamanya di zaman sekarang, semua memiliki telefon pintar untuk mengambil gambar dan video sebagai koleksi peribadi.

"Agak sukar untuk mendapatkan posisi menarik merakam gambar namun ia adalah program untuk rakyat dan momen menarik yang dapat dirakam adalah kemesraan yang ditunjukkan oleh YDPA dan keluarga dengan rakyat jelata.

Jurugambar media sabar menunggu Agong dan Permaisuri yang akan melawat dan melihat pembuatan tenunan kain tradisional Iban di Rumah Raymond Plen.
Jurugambar media sabar menunggu Agong dan Permaisuri yang akan melawat dan melihat pembuatan tenunan kain tradisional Iban di Rumah Raymond Plen.

"Rakyat yang sudi menunggu kedatangan baginda berdua berjam-jam di bawah terik panas matahari dan hujan kerana kasih dan sayang mereka kepada baginda berdua," katanya.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau dan berakhir di Telok Melano Sarawak membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menyusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei sesuatu yang amat menarik untuk diungkap kisahnya. 

Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku. Menjunjung kasih Tuanku.
 

Advertisement