Anda di sini

Sajak Paling Tajam untuk Mengerat Lidah Pengkritik

Advertisement
 
 

Oleh: Roslan Jomel

Lelaki itu, sehari suntuk, mengasah pisau dan kemudian menajamkan hujung mata penselnya (bak lembing) sebelum mengarang. Namun, pada setiap kali proses meruncingkan alat tulis, bukan sahaja ia mudah patah dan masih juga tumpul, akal dan tumpuannya menjadi tepu kepenatan. Hingga kemudiannya lelaki itu mencampakkan semua, kertas, buku nota, dan beribu-ribu pensel ke luar tingkap bilik. Malangnya, pada keesokan pagi, dia akan membeli berpuluh-puluh kotak pensel dan menajamkan mata pisau buat kali ke, entah berapa. Ia bagaikan suatu seksaan dan sumpahan.

     Namun tindakan itu belum menemui kesempurnaan. Bahagian katarsisnya akan diceritakan pada penghujung cerpen ini. Lelaki itu maklum, pisau dan pensel yang diasah dan diraut sepanjang hari hanyalah fasa awal dalam persediaan menjadi seniman tulen. Pisau dan ratusan pensel boleh dibeli. Adapun itu hanyalah alat. Apa yang lebih mustahak ialah isi penulisan itu sendiri. Maka, lelaki yang menghanyutkan dirinya ke dalam bidang penulisan perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan. Sama ada timbul di permukaan menjadi pulau, atau terperosok di dasar khayalan. Tidak boleh berhenti, berpatah balik, atau pasti kecewa di pertengahan usaha. Tragedi seseorang merupakan komedi kepada pihak lain. Jadikan ia seni, kata Meryl Streep. Hidup memang lebih menyakitkan berbanding filem Bong Joon-ho. 

     Abdullah duduk sendirian di kerusi paling belakang (tepi pintu utama, senang untuk beredar nanti) dalam acara pelancaran buku kumpulan sajak terbaharu penyair ternama tanah air. Seorang penyair generasi hipi, hidungnya mancung, memasuki usia 70 tahun dan kerap memenangi pelbagai hadiah. Sudah beberapa kali nama penyair itu dicalonkan sebagai penerima gelaran Pujangga Nasional, namun pengarang-pengarang lain yang dijemput naik ke pentas. Barangkali jiwanya terganggu (maklumlah), penyair itu saban tahun menerbitkan (mempromosi) buku demi buku untuk mengikat kedudukannya di mata pihak juri. Karya-karya yang ditulisnya terbaik, dahsyat, menakjubkan, dan wajar dibeli, demikian kata pengarang yang terluka itu.

     Secara prinsipnya, Abdullah tidak menyenangi penyair besar itu. Selain angkuh, suka membangga-banggakan diri, penyair ternama itu mengkritik sajak Abdullah yang terbit dalam majalah sastera kebangsaan dengan komen yang keras, tiada empati dan bercelaru. Kononnya sajak yang dihasilkan oleh penulis muda, seperti Abdullah, hanya sekadar coretan kosong, melebih-lebihkan permainan bahasa dan tidak keruan pula arahnya. Kritikan yang menyakitkan hati itu masih tersimpan dalam jiwa Abdullah. Namun Abdullah hadir juga pada petang Sabtu itu kerana bosan di dalam bilik sewanya. Dia tidak berminat pun untuk membeli buku terbaharu daripada sasterawan yang mengaku dirinya lebih hebat berbanding William Shakespeare.

     Sebelum acara bermula, seorang tokoh pengkritik, (semua golongan karyawan mengenali namanya), didatangkan khas dari universiti. Ketibaannya segera diabadikan dalam lensa kamera dan juga skrin telefon pintar oleh hadirin. Setelah mengambil tempat duduk masing-masing, pemilik kedai buku memberi kata-kata aluan dan berasa bangga kerana lokasinya menjadi pilihan figura persuratan tanah air melancarkan buku baharunya. Kini, tibalah masanya untuk tokoh pengkritik memulakan kerjanya. Dia bangkit, dengan sedikit kepayahan dibantu dengan sebatang tongkat dari kerusi bersebelahan penyair itu di barisan depan. Berkemeja batik tempahan dan memakai kasut sukan. Nada suaranya masih berwibawa.

     Buku kumpulan sajak diperkenalkan, dibincangkan isi kandungan, diseluk biji-biji mutiara yang terpendam di dasar harfiah, dan diangkat segala idea, wawasan, keindahan serta inti falsafahnya. Ia sebuah buku yang tiada tolok bandingnya! Penyair telah meningkat daripada segi pengucapan, penghematan kata-kata dan ketajaman renungan yang seiring dengan kematangan usia kepengarangan. Tiada lagi metafora basi dan pengulangan diksi yang sia-sia. Sama ada tema besar dan kecil, penyair telah merakamkannya dengan suatu sentuhan agung. Pendek kata, tiada sebutir pun debu kejelikan ditemui pada setiap sajak yang menjadi subjek perbincangan. Tidak mustahil, audiens yang arif dan rasional, pasti meluat mendengar timbunan pujian. Penyair yang dimaksudkan itu, menguntum senyum. Semakin kuatlah nilainya di mata pihak juri.

     Abdullah tersengih sinis. Dia melihat hidung mancung penyair itu mencecah siling kedai buku yang terletak di tengah bandar raya. Pengkritik yang sudah pun diiktiraf sebagai profesor itu, cenderung memuji beberapa barisan penyair seusia dengannya, (umurnya mereka berdua sebaya) sebagai contoh penulisan terbaik yang dicapai oleh para karyawan tanah air. Mahakarya. Apalah diharapkan dengan deretan penyair masa kini, bukan sahaja jahil tentang teori sastera, bahkan ketara memudah-mudahkan penulisan seenaknya sahaja. Nama penyair yang perasan dirinya lebih bagus daripada William Shakespeare itu disebut-sebut sebagai calon paling kuat meraih gelaran Pujangga Nasional pada tahun depan. Memang adatnya begitu, sahabat memuji sahabat atau mereka yang berada dalam lingkungan kenalan. 

     Kini Abdullah berada dalam bilik sewanya dengan riak wajah teramat kelat kerana hadir memeriahkan acara yang meraikan penyair dibencinya. Entah apalah motif dia hadir ke acara itu? Penulis marginal seperti dia langsung tidak diberikan perhatian oleh sasterawan sanjungan dunia itu. Konon kewujudan mereka, hanyalah tompokan toksik, merosakkan ketulenan sesebuah karya sastera. Dan kini, fikiran dan emosi Abdullah terseksa oleh bayangan, senyuman bongkak dan gelak tawa penyair itu. Bagi Abdullah, kesombongan dan keleluasaan pengarang-pengarang lama perlu dibentur dengan drastik dan revolusi pengucapan baharu. Maka, Abdullah dan beberapa orang pengarang yang dianggap debu di atas tunggul, terus-menerus menghasilkan karya, saban hari dan menyiarkannya di pelantar media sosial. 

     Seni untuk seni, konon. Seni untuk masyarakat, konon. Ia label perniagaan. Siapakah lagi yang mengambil peduli tentang isu begitu? Apabila idea dan ilham melintas dalam fikiran seseorang pengarang, entah ia bertema berat atau sekadar tentang kucing beranak di belakang rumah, hal itu perlu dirakamkan. Artistik atau sekadar curahan perasaan, biarlah pembaca menentukan. Tidak semuanya perlu diserahkan kepada barisan pengkritik dan sarjana untuk memberikan penilaiannya. Apa-apa sahaja tema penulisan, ada pengaruhnya. Demokrasi sastera, istilah itu baharu sahaja didengar oleh Abdullah sejak kebelakangan ini. Nadanya kedengaran seperti berbau politik. Hurrm. Maka, sudah tentu ada pengelasan yang membahagikan karya-karya sastera. Dikotomi sebegitu, semakin dibenci oleh pengarang-pengarang masa kini.

     Tetapi bukan mudah untuk melayakkan diri sebagai seorang pengarang sebenar. Bahkan mencari identiti dan suara asli dalam urusan pengkaryaan selalunya sukar. Identiti dan keaslian yang bagaimana? Berdesing telinga Abdullah apabila ditanya tentang identiti kepengarangannya. Pengaruh dan dipengaruhi oleh mana-mana pengarang lain, sudah biasa dalam kesusasteraan dunia. Bukannya Abdullah enggan menerima beberapa teguran dan pembetulan oleh pengulas dan pengkritik. Tetapi sebahagian pengarang berpengalaman, sudah mencipta identiti khusus (misalnya Kafkaesque) dengan kelompok masing-masing, sering memperkecil-kecil kehadiran gelombang baharu yang tidak mahu lagi terikat dengan bentuk tradisi dan fahaman lama. Itu semua beban generasi lama. Sewajarnya dibingkaikan dalam arkib.

     Misalnya, jika Abdullah mengarang sebuah sajak tentang perasaan ketika meninggalkan kampung halaman, apakah karya sedemikian terlalu basi dalam ranah kesusasteraan mutakhir? Bagaimana pula kalau menulis tentang isu sensitif, korupsi, penyalahgunaan kuasa politik dan penyelewengan dalam ajaran agama, adakah ilmunya cukup mantap mengangkat tema-tema ilmiah dalam karya kreatif? Sentiasa ada tembok di selekoh yang melemahkan keghairahan penulis hijau seperti Abdullah untuk berkarya dengan wadah yang selayaknya demi membuktikan bakat seninya. Seolah-olah pengarang besar dan berpengalaman itu tidak pernah muda, waham, bengkeng, dan pernah menulis hal-hal kecil dan absurd, dahulu.

     Selain menghasilkan sajak, penyair berhidung mancung semakin aktif menulis kritikan. Bukan hanya menerbitkan dalam media bercetak konvensional, malahan turut berlegar-legar di media sosial. Agar dianggap relevan dan tidak kolot pada era digital kini. Layaknya bagaikan seekor ikan paus, tenggelam timbul di perairan dan siap sedia membaham mangsa. Para editor mengenalinya dan sudah tentu ruangan untuk menampung setiap karya terbentang luas buat penyair narsis itu. Paling menyedihkan, tokoh penyair itu dilantik sebagai penilai setiap kiriman manuskrip. Malang bertimpa-timpa. Abdullah terpaksa bergelut, ditolak ke tepi, disingkirkan kiriman karya-karyanya dan tidak dipedulikan atas alasan, halaman untuk penerbitan karya kreatif semakin sempit. Kos sara kehidupan pula semakin meningkat. 

     Protagonis bagaikan terkunci oleh figura pengarang berpengaruh itu. Jika Abdullah mengarang sajak di mana-mana saluran media, penyair/pengkritik itu pasti menindih karyanya itu ke dalam lubang. (Tokoh penyair itu bagaikan sungguh kenal gaya bahasa yang digunakan oleh Abdullah). Maka, karya-karya Abdullah diselamkan ke tengah lautan paling jauh, lebih dalam daripada Jurang Mariana dan menimbusnya semula dengan bitumen. Entah apa sakit kalbunya dengan karyawan generasi baharu. Sebaliknya, penyair berhidung tinggi itu, bernada lembut, sopan dan sungguh positif ketika menangani tulisan-tulisan daripada pengarang seusia dengannya. Biarpun sajak-sajak diterbitkan itu skema dan ketinggalan zaman. Tidak cukup dengan pujian, dianalisis sajak-sajak biasa itu (atas belakang) dengan segala aneka teori sastera pascamoden yang paling mutakhir dari Eropah. Sungguh terperinci.

     Abdullah menguji ketajaman mata penselnya. Itulah rutin harian lelaki itu kini. Pensel yang sedang dipegangnya, entah yang ke berapa ratus batang. Ternyata masih tumpul. Abdullah melemparkannya ke sudut bilik. Duduk menyandar di dinding, terkenang masa lalu dan masa depan yang serba menakutkan. Maka, Abdullah duduk bersila lagi, mengasah mata pisau dengan semangkuk air di tepi pahanya. Selepas hampir sejam proses mengasah mata pisau, Abdullah bangkit berdiri. Meregangkan pinggangnya. Begitu sabar dan hati-hati Abdullah meraut hujung mata penselnya. Tetapi apabila ditekan mata pensel itu ke atas halaman kertas, ia segera patah, seperti sebelumnya. Proses yang amat berat itu benar-benar mendera batin Abdullah. Apakah dia seorang sahaja menanggung penderitaan (dramatik) sebegitu?

     Bilik sewanya yang sempit kini kian berserabut dengan timbunan batang pensel serta dengan sampah lainnya. Bukan sedikit wang dilaburkan untuk membeli berkotak-kotak pensel. (Kadang-kadang Abdullah terpaksa mengikat perut dan sekadar merebus mi segera untuk makanan hariannya). Namun hasil yang diharapkan masih belum menjelma. Aktiviti hidupnya terjejas. Abdullah tidak sempat membaca beberapa buah buku yang dibeli. Berkurung dalam kedukaannya. Setiap kali duduk mengarang sebuah karya kreatif, pada detik itulah, mata penselnya tiba-tiba rapuh dan patah. Ilham dan gagasan yang disimpan dalam fikirannya, menghilang ke udara. Sungguh merugikan. Ini semua gara-gara penyair paling dimusuhinya. Ada sahaja yang tidak kena di mata penyair angkuh itu. Kebencian Abdullah tidak dapat diukur dengan termometer.

     Abdullah menggeleng tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dia keletihan dan kelaparan sekali gus. Fikirannya bergentayangan. Apakah perlu dia singgah di kedai membeli berpuluh-puluh kotak pensel? Apakah perlu dia terus mengasah mata pisau setiap kali sebelum duduk mengarang? Menurut pendapat T. Alias Taib, kualiti keberkesanan sepucuk pistol ialah dengan melepaskan pelurunya melalui lubang telinga kanan dan menembus ke lubang telinga kiri. Tanpa mencederakan dan menumpahkan setitik darah si penembaknya. Ia bukan persembahan silap mata. Barangkali Abdullah perlu melakukan uji kaji sebegitu. Jika, perkara yang bertentangan seperti dimahukan, tentu ia lebih memalukan dirinya. Apakah salahnya untuk mencuba? Seni itu subjektif. Abdullah yakin, kesannya tidaklah membahayakan. Hal itu akan difikirkannya kemudian. Dia nekad. Apa yang berlaku nanti, Abdullah reda.

     Namun untuk mencapai kesempurnaan yang dimiliki oleh penyair legenda itu, bukan sekadar keberanian dan kegilaan (genius) sahaja. Apa yang telah dilakukan T. Alias Taib hanya satu dalam sejuta. Pengarang lain, tentu ada kaedah masing-masing. Benar, selepas sahaja melakukan ujian yang tidak masuk akal, keesokan harinya, penyair itu masih bernafas dan berkelakuan macam orang biasa. Malahan gigih mengarang sajak. Tiada kecacatan pada telinganya, tidak pekak atau sewel. Namanya terus kekal menjadi ikon sastera. Tentulah senjata yang digunakan oleh penyair itu, sepucuk pistol istimewa. Tidak dijual di pasar raya seperti kelazimannya barang mainan kanak-kanak. Ia merupakan peristiwa magis, spiritual, intelektual dan menyumbang khazanah ketamadunan bangsa. Abdullah mula berangan-angan.

     Abdullah membawa kesnya kepada beberapa orang pengarang berusia yang kerap didampinginya. Diceritakan secara terperinci permasalahan dan rutin hariannya. Tiada seorang pun tergelak sebaik sahaja mendengar cerita Abdullah. Kebanyakan mereka memuji tindakan Abdullah dan mendorongnya untuk terus konsisten mengasah mata pisau terlebih dahulu sebelum kemudian menajamkan mata pensel. Bahkan ia tindakan yang menunjukkan proses ikhtiar kematangan seseorang pengarang. Mereka tidak berkias atau bertamsil ketika melafazkannya kepada Abdullah. Sebaliknya turut memberi peringatan kepada Abdullah betapa ramai bakal pengarang sudah melupakan perkara-perkara asas dalam kanun penulisan. Abdullah dipuji kerana berinisiatif dalam memajukan bidang penulisannya. Mendengar dorongan daripada rakan-rakan penulis yang berusia daripadanya, Abdullah terus positif dan percaya, naskhah penulisannya selepas ini melepasi standard penulisan biasa. Abdullah semakin asyik mengasah mata pisau dan menghaluskan hujung pensel dalam bilik sewanya.

     Malangnya, karya-karya dikirim Abdullah sering disimpan di dalam laci para editor. Abdullah mengirim e-mel dan bertanya tentang manuskripnya. Namun dia mendapat maklum balas yang lebih menyayat jiwa. Menurut para editor, karya-karya yang dihasilkannya semakin merosot. Tahap penulisannya malahan menurun jauh berbanding karya-karya sebelum ini. Sudah tentu jawaban sedemikian mengelirukan perspektif Abdullah berhubung perkembangan karya kreatifnya. Kenapa? Setelah segala usaha dilakukan Abdullah selama ini, penulisannya tetap dangkal? Tentu penyair/pengkritik (dinosaur) yang paling menyakitkan hati turut masuk campur tangan dalam pemilihan karya-karya. Abdullah merasakan ia tidak adil untuk bakat generasi muda. Muka Abdullah memerah, terhina dan putus harapan.

     Abdullah menenangkan diri. Menyemak apa yang silap dalam kerja penulisannya. Dia telah menipiskan kata-kata dan hanya menurunkan isi yang bermakna sahaja untuk memperkuatkan sajak-sajak. Diksi menjadi lebih minimum. Segala daun, bunga dan lain-lain aksesori telah ditanggalkan. Dan yang bersisa pada sajaknya ternyata duri. Dia membaca berulang-ulang, sambil duduk, berdiri dan terlentang. Jelas, tiada unsur-unsur epigoni dalam karyanya itu. Tetapi apa yang ditulisnya di atas kertas, menjadi lebih samar dan lemah. Abdullah mundar-mandir dalam bilik dengan sebatang pensel terselit di telinga kiri dan sebilah pisau yang baharu diasah tergenggam di tangan kanannya. Jiwa dan perasaannya masih berbolak-balik. Apakah yang dimahukan oleh mahaguru sastera itu kepadanya? 

     Tiada pilihan lain, Abdullah mengambil jalan drastik, melangkaui apa yang pernah dilakukan oleh T. Alias Taib. Ia bukan semata-mata tindakan kesenian. Tetapi lebih kepada ekspresi dirinya setelah kerap dianiayai oleh pihak yang berniat untuk menenggelamkan kehadirannya sebagai pengarang tanah air. Apakah yang dilakukannya? Disebabkan tidak memiliki wang dan kemahiran menggunakan pistol, Abdullah memilih pisau untuk membuktikan sama ada uji kajinya benar-benar sebuah keajaiban sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh T. Alias Taib. Hasilnya, memuaskan perasaan Abdullah. Tidak sia-sia.

     Jika anda terserempak dengan lelaki bisu dan kudung kedua-dua tangan dalam acara sastera, itulah watak utama cerpen ini. Konon dikhabarkan, Abdullah nekad mengerat lidah dan memotongkan kedua-dua tangannya sendiri. Apabila terjaga selepas pengsan, Abdullah tidak mampu lagi meneruskan impiannya sebagai pengarang. Apakah yang diimpikan Abdullah melalui perbuatan drastiknya? Magis? Hakikat dunia nyata dan alam imaginasi - tidak serupa. Golongan sastera yang menjangkakan bahawa hayatnya tidak akan panjang selepas tindakan semberono itu, berasa hairan melihat Abdullah kerap hadir pada setiap kali acara sastera dilangsungkan. Dia sentiasa duduk di kerusi barisan belakang dengan jaket jean dan topi untuk menudung muka. Sementara sasterawan-sasterawan pilihan kekal berebutan untuk mendapat tempat duduk khas berbalut baldu emas di sebelah pembesar negara.

     Aku berkesempatan menemu bual (secara bertulis atas buku nota) lelaki malang itu di tepi pintu Starhill, Jalan Bukit Bintang, pada hujung malam minggu. Abdullah masih menulis sajak. Jiwa seninya belum berakhir. Rambutnya melepasi bahu dan berkaca mata. Dia menggunakan jari kaki, kanan dan kiri, untuk menaip di skrin komputer riba. Tiada lagi kotak-kotak batang pensel, termasuk sebilah pisau, dalam bilik sewanya yang berbau hapak. Hidupnya tanpa tekanan sekarang di pangsapuri, Bangsar. Menurut Abdullah, dia telah mengumpul 100 buah sajak. Jika wang mencukupi (hasil daripada mengemis), Abdullah segera ke kilang percetakan, menerbitkan bukunya sendiri. Adakah kualiti sajak-sajaknya lebih bagus? Persetan penilaian pengkritik, katanya sambil memesan Grab menggunakan jari kaki di telefon pintarnya. 

 
 
Advertisement