Anda di sini

Kerajaan Sarawak akan terus teroka hidrogen ke arah ekonomi rendah karbon: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari melawat pameran yang diadakan sempena SAREF 3.0 di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari melawat pameran yang diadakan sempena SAREF 3.0 di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus meneroka hidrogen sebagai satu cara untuk mempercepatkan peralihan Sarawak ke arah ekonomi rendah karbon, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Malah katanya, ia dipercayai boleh memainkan peranan penting dalam menghijaukan lagi industri, sektor pengangkutan dan penjagaan kesihatan di negeri ini.

"Di bawah Agenda Tenaga Hijau, kita sedang meneroka beberapa cara untuk menyahkarbon sistem pengangkutan negeri dan seterusnya mengalihkan kita ke arah ekonomi rendah karbon yang sudah mempunyai kebanyakan tenaga elektrik hijau sebagai asas.

"Antaranya bas elektrik pertama kita yang dikuasakan oleh Sarawak Energy tiba di jalan raya Kuching pada 2019 dan ia masih beroperasi hari ini," ujarnya ketika berucap merasmikan Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 3.0) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Selain itu kata Abang Johari, usaha itu digambarkan menerusi ujian kejuruteraan prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di kawasan Ishthmus.

Katanya, apabila beroperasi sepenuhnya, ART akan membolehkan sistem pengangkutan orang awam dipertingkatkan, memudahkan rakyat bergerak sambil menghubungkan kawasan perumahan, perniagaan, kawasan perindustrian, institusi pengajian tinggi dan pelancong sambil juga mempromosikan mobiliti hijau.

"Tumpuan pada mobiliti hijau ini juga dicerminkan menerusi pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik atau EV kita di sekitar Kuching hingga menggalakkan penggunaan kenderaan hijau dalam kalangan rakyat.

"Kita bercadang untuk melanjutkan program ini kepada rakyat Sarawak yang lain bandar pada masa hadapan," katanya.

Abang Johari berkata hidrogen mempunyai banyak aplikasi dalam industri sedia ada di Sarawak dan boleh dieksport dalam pelbagai bentuk melalui kaedah yang berbeza.

Katanya, selain itu untuk menjadi sifar bersih dan ekonomi karbon rendah, Sarawak juga melihat pelbagai pilihan dalam Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon atau CCUS.

"Untuk meletakkan kedudukan yang lebih baik bagi membangunkan CCUS di Sarawak, kita meluluskan Rang Undang-undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022 tahun lepas untuk mematuhi amalan dan strategi baharu untuk kelestarian alam sekitar serta peluang selamat untuk sumber hasil baharu dengan mengawal selia dan mengawal penggunaan tanah untuk simpanan karbon," ujarnya.

Abang Johari berkata Petroleum Sarawak Bhd atau PETROS juga menerima lesen pertama untuk penyimpanan karbon pada Mac tahun ini, membolehkan mereka memulakan peranan strategik mereka sebagai pengurus sumber untuk CCUS di Sarawak, dengan sokongan dan kerjasama daripada kementerian berkaitan.

Sarawak Energy juga baru-baru ini bekerjasama dengan Kumpulan CHITOSE, ENEOS dan Pusat Biodiversiti Sarawak untuk melancarkan CHITOSE Carbon Capture Central Sarawak, iaitu kemudahan pengeluaran mikro lumut, industri pertama di negeri ini.

SAREF 3.0 yang bertemakan 'Sifar Bersih Serantau dan Komuniti Mampan' merupakan anjuran Sarawak Energy dengan sokongan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.

Hadir sama majlis Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi serta menteri-menteri kabinet lain.
 

  • oleh
  • Advertisement