Anda di sini

Keluhuran Konsep Tasawuf Tazkiyah Al-Nafs dalam Kumpulan Puisi Mutakhir Abizai 

Advertisement
 
 


Oleh: Basri Abdillah

Mukadimah
AJARAN Islam yang paling hampir dengan kesusasteraan ialah tasawuf. Inti patinya ialah tentang kebaikan akhlak luaran dan akhlak dalaman. Akhlak luaran adalah berkaitan jasmani seperti tingkah laku, perbuatan dan ucapan berbahasa. Akhlak dalaman merangkumi batin, rohani, perasaan dan fikiran. Akhlak dalaman sangat rapat dengan sastera dalam konteks persuratan. Persuratan, khususnya penulisan kreatif banyak menyentuh hal rasa, jiwa dan pemikiran. Sastera tasawuf atau sastera sufistik adalah karya kesusasteraan yang kandungan penulisannya banyak berhujah untuk mengajak manusia berbuat kebaikan akhlak. Tujuannya adalah untuk mencapai kebersihan diri batin (rohani) dan kebersihan diri zahir (jasmani). Rohani dan jasmani yang bersih akan membawa manusia sampai ke hadrat Ilahi, iaitu merasakan kehadiran-Nya sekali gus mendapat keredaan-Nya. 
     Di tangan penyair, hubungan antara hamba-Tuhan diungkapkan melalui mata pena sastera dan melalui tindak-tanduk perbuatan hamba. Penyair mengekspresi luapan keasyikan cinta Ilahi, merasai kemesraan, dan kedekatan dengan kalimat yang indah dan berseni. Dalam lipatan sejarah, ramai ahli sufi menggunakan puisi sebagai satu bentuk interaksi ketuhanan yang paling simbolik kerana pemikiran, perasaan dan pengalaman dapat dipancarkan secara bertulis dengan keindahan bahasa dan makna mendalam. Pada zaman keprolifikan puisi metafizikal dan transendental, genre ini menjadi wadah untuk memancarkan citra tasawuf dalam magnum opus sastera sufistik seperti Masnawi (Jalaluddin Rumi), Ana al-Haq (Hussain Mansur Hallaj), Sidang Burung (Fariduddin Attar), Gullistan (Sa’di Shirazi) dan Syair Perahu (Hamzah Fansuri). Oleh yang demikian, tulisan ini akan metekuni keluhuran konsep tasawuf berteraskan Tazkiyah al-Nafs pada sepilihan sajak Abizai dalam Gelita Tak Berdaya Melenyapkan Cinta (GTBMC). 

Konsep Tasawuf Tazkiyah al-Nafs dan Metode Tiga Darjat Pembersihan Diri 
Dalam ilmu tasawuf, terdapat metode untuk mensucikan hati (kalbu) daripada pelbagai penyakit hati, iaitu terminologi Tazkiyah al-Nafs (TaN) yang membawa rasa kedekatan dengan Allah SWT dan merasakan kehadiran-Nya, serta dapat menyaksikan-Nya dengan mata hati (ainul basyirah). Metode ini mempunyai dua fungsi, iaitu untuk pembersihan (penyucian) dan penjernihan (pemurnian). Tumpuan pembersihan dan penjernihan ialah pada nubari (hati/kalbu) dan nurani (jiwa/batin). Jalan menuju Allah SWT bermula dengan taubat nasuha, menyesal, dan memohon keampunan atas segala dosa yang pernah dilakukan. Apabila hati telah suci dan bersih, upaya selanjutnya ialah mendidik jiwa dan akhlak agar terus taat dengan tuntutan syariat Islam. Merungkai makna kebersihan dan penyucian diri zahir dan batin merupakan inti pembicaraan pada konsep tasawuf TaN dalam karya sastera. Kebersihan diri zahir bermaksud kepatuhan anggota lahiriah dengan peraturan dan hukum-hakam agama. Kebersihan diri batin bermaksud kebersihan pada hati (kalbu/nubari) dan pada jiwa (nurani). Metode TaN terdiri daripada tiga darjat, iaitu:
(i)    Darjat Takhalli al-Nafs - penyingkiran, pengosongan, pencucian dan pembersihan sifat-sifat buruk; 
(ii)    Darjat Tahalli al-Nafs - pengisian diri dengan sifat-sifat mulia yang dipenuhi kontemplasi zikir ar-Rabb dan tafakur dengan menanamkan pengertian iman, Islam dan tauhid yang sebenar; dan  
(iii)    Darjat Tajalli an-Nafs - penampakkan dan manifestasi (mazahar). Tujuan utama untuk mencapai kesempurnaan jiwa dan kejernihan kalbu.
Darjat Tajalli al-Nafs merupakan kemuncak penyucian rohani dan kebersihan diri batin, yang dikonsepkan sebagai lengkapnya konsep tasawuf TaN. Penegasan pengertian ihsan tercapai dalam darjat ini. Hijab penyaksian batin tersingkap (mukasyaf), iaitu hal-hal yang menyaksikan hakikat ghaib kewujudan (wajibul wujud) dan kemaujudan hakiki (wajibul maujud). Di maqam ini, nikmat kedekatan dengan Sang Khalik sangat dirasai dan relung hati menjadi tenang dan damai. 

Menyikapi Konsep Tasawuf Metode TaN pada Sajak Abizai dalam GTBMC
Metode tiga darjat TaN dikemukakan oleh tokoh tasawuf dan ahli sufi seperti Al-Ghazali, Al-Suhrawardi, Junaid al-Baghdadi dan Abu Yazid al-Bustami. Pada darjat pertama Takhalli al-Nafs, seseorang akan merancang perjalanan kerohanian riadah kontemplasi, menyerah diri dengan sepenuh jiwa raga kepada Allah SWT. Rohani dan jasmani dikosong dan dibersihkan. Segala sifat dan perilaku buruk dan penuh dosa dibuang jauh-jauh. Ciri-ciri ini cukup kental dalam sajak “Mengenal Laut” (GTBMC, hal. 3):  
          Mengenal Laut
          Cuma sedikit anak penyu   
          sempat mengenal laut
          tempat leluhur wujud   
          kerana terleka oleh jelita daratan
          sehingga kecundang kaku
          dicengkam kuku burung
          dan taring anjing
          yang lama mengintai
          di rusuk pantai.

          Hanya yang tajam
          menghidu asin laut  
          dan mengukur pasang surut
         akan sampai ke dasar hidup.

     Subjek utama sajak ialah imej “laut”. Ia juga objek tamsil perbandingan sebuah kehidupan. Konsep laut sangat luas serta dalam. Tidak ada sesiapa dapat meneka ketika mana laut tenang atau bergelora. Sebuah kehidupan juga tidak akan dapat diduga ketika mana menempuh dugaan atau akan mendapat kesejahteraan. Semua tertakluk kepada suratan takdir Ilahi. Dalam rangkap pertama, penyair mengungkapkan bahawa dalam kehidupan dunia ini, ramai manusia (anak penyu) yang gagal memahami dan mengenal hakikat matlamat kehidupan (cuma sedikit anak penyu / sempat mengenal laut). Sedangkan konsep kehidupan sudah awal-awal diingatkan Allah SWT (tempat leluhur wujud) ketika manusia berjanji di Hari Alastu (Hari Perjanjian), bahawa di alam kehidupan (alam syahadah) nanti manusia akan mengaku malah bersaksi akan tetap menjadi hamba yang patuh kepada perintah Allah SWT. Allah SWT memberikan peringatan dalam al-Quran yang bermaksud, “Bukankah Aku ini Tuhanmu? Ya, aku bersaksi.” (Surah al-’Araf). Namun manusia ingkar janji, gagal dan tergoda dengan kecantikan serta kebendaan yang ditawarkan oleh dunia (kerana terleka oleh jelita daratan). Akibatnya, manusia tewas dan kalah pada ujian (sehingga kecundang kaku) disebabkan gagal mengawal nafsu dan tunduk pada pujukan syaitan (dicengkam kuku burung / dan taring anjing). Iblis pula sudah mendapat keizinan Allah SWT untuk sentiasa menyesatkan manusia sepanjang masa (yang lama mengintai / di rusuk pantai). Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan, “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji.” (Surah al-Ankabut: ayat 2-3). Manusia berjaya melalui ujian ini dengan bertaubat nasuha, membersihkan diri rohani dan jasmani, membuang segala perbuatan maksiat dan meninggalkan sifat-sifat buruk (Hanya yang tajam / menghidu asin laut / dan mengukur pasang surut), dan akhirnya kembali ke jalan Allah SWT (akan sampai ke dasar hidup).  
Selanjutnya, perhatikan sajak “Jika Liar Serakah Tak Mampu Dijinak” (GTBMC, hal. 19) di bawah:  
          Jika Liar Serakah Tak Mampu Dijinak
          Jika lincah nafsu belum dijerat
          pasti rohanimu tidak sihat
          setiap keindahan yang dilihat
          hanya dengan mata syahwat.

          Jika liar serakah belum dijinak
          tentu jasmanimu banyak kehendak
          laluan mungkar sentiasa dinampak
          denai keinsafan dipenuhi semak.

Penggunaan kalimat gaya berbahasa persis gurindam yang segar dan jernih berupaya menyindir pembaca agar segera bangun daripada tidur panjang, bermimpikan kecantikan dunia yang palsu akibat nafsu dan syahwat sudah dipikat oleh kelalaian (jika lincah nafsu belum dijerat / setiap keindahan yang dilihat / hanya dengan mata syahwat). Tidak ada jalan pintas, nafsu dan syahwat yang bersifat syaitani dan haiwani wajib ditundukkan (jika liar serakah belum dijinak / denai keinsafan dipenuhi semak) sebelum berjalan dalam laluan kebaikan dan kebenaran menuju Allah SWT. 
    Dalam sajak “Bayang-bayang dan Tubuh” (GTBMC, hal. 4), Abizai menyimpulkan bahawa tidak mudah bagi manusia mengaku sebagai hamba Tuhan. Manusia wajib menempuh perjalanan panjang lagi berliku sebelum dapat mengenal Tuhan. Pertualangan yang wajib membersihkan zahir dan batin serta membuang keakuan diri seperti ego, riyak dan lain-lain dengan penuh ikhlas. Keikhlasan tidak akan berbekas dalam jiwa jika hanya diaku di mulut, tetapi ia terbit daripada hati tanpa disedari. Jasad zahir hanya sekadar alat buat menampung kehendak seperti bicara penyair:
          Bayang-bayang dan Tubuh
          Bayang-bayang perlu kosong
          tulus terapung
          untuk menemui rahsia teragung.

          Bayang-bayang harus patuh
          mengikut gerak tubuh
          tanpa dibiasi anganan penuh.

          Bayang-bayang
          hanya sang alat
          pada tubuh yang punya sifat.   

     Menapak ke darjat Tahalli al-Nafs yang merupakan peringkat pengisian sikap zahir akhlak mulia dan sifat batin yang terpuji dengan kemasukan tahapan spiritual al-Maqamat seperti taubat, zuhud, sabar, warak, fakir, bertakwa, tawakal dan reda. Antara sajak Abizai yang memperkatakan tentang pengisian ini ialah “Tunggal Serupa Asal” (GTBMC, hal. 6). Gerak rasa nubari (intuisi) dan nurani penyair dalam sajak ini pada hakikatnya ialah zikrullah kepada Yang Maha Esa. Memetik kata-kata ahli tasawuf Abu Kassim al-Qusyairi dalam Risalah al-Qusyairiyah, zikir ialah unsur yang kuat seumpama tiang pada jalan menuju Allah SWT. Keseluruhan sajak ini merupakan simbol pelaksanaan sifat yang paling terpuji, iaitu kontemplasi berzikrullah. Sajak ini ringkas dan pendek diksi kalimatnya tetapi padat dan mendalam tingkat makna tasawuf dengan susun atur bahasa yang tinggi nilai estetika. Penyair mengutarakan natijah zikir ialah untuk mengenal maknawi, iaitu keagungan dan kesempurnaan Sang Khalik. Penyair menyimpulkan bahawa hakikat zikir adalah untuk melenyapkan segala yang ada dalam fikiran dan hati selain Allah SWT. Yang Wujud hanya Dia. Dialah Yang Tunggal serupa asal. Dalam sajak yang ringkas ini, Abizai meluahkan:
          Tunggal Serupa Asal
          Puja terus menjalar
          menuju maha benar.

          Ingatan dan seruan cinta
          tiba-tiba binasa.

          Pemuja bertukar rupa
          sebagai cahaya.

    
          Bentuk diri
          gagal ditemui lagi.

          Ada kepada tiada
          tiada menjelmakan ada.

          Wujud tunggal
          serupa asal.

Setelah melepasi darjat Takhalli al-Nafs dan Tahalli al-Nafs, maka insan pilihan ini akan sampai ke darjat Tajalli al-Nafs; satu tahap kemuncak dalam kembara rohani ke hadrat Allah SWT; satu harkat yang terletaknya maqam insan kamil (manusia sempurna) dalam perjalanan tasawufnya. Darjat ini merupakan stesen terakhir ahli tasawuf untuk mendapatkan keredaan Ilahi. Berada di maqam ini, kesedaran rasa bertuhan semakin intens dan meningkat. Ingatan sepenuhnya tertumpu kepada Allah SWT kerana merasakan sentiasa dilihat dan diawasi oleh-Nya. Apabila jiwa telah bersih dan jernih, dan keberadaan Sang Khalik semakin dekat, maka Allah SWT melimpahkan nur cahaya keghaiban ke dalam kalbu dan jiwa sehingga tersingkap (kasyaf) hijab untuk menyaksikan alam malakut yang memperlihatkan segala keajaiban dan segala rahsia ketuhanan. Ketika berada dalam darjat ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan laduni, setiap hamba berbeza pengalaman, penglihatan dan rasa. Apa-apa jua perkara ghaib yang dirasai di luar logika akal, setiap ketepatan serta kebenaran pada pertistiwa yang dialami, tidak akan dapat diungkapkan dengan kata dan bahasa. Sebuah sajak yang terkait kuat dengan darjat Tajalli al-Nafs ini ialah “Kemanisan Anggur dan Keharuman Mawar” (GTBMC, hal. 10). Penyair menyimpulkan, sesiapa yang pernah merasai dekatnya kehadiran Sang Khalik pada saat Dia menjuruskan pandangan-Nya kepada hamba terpilih, sudah pasti pengalaman dan perasaan tersebut tidak sama. Ada perkara yang tidak dapat dijelaskan melalui kata dan bahasa kepada orang yang belum pernah merasakannya, terutama yang berkaitan dengan pengalaman kerohanian. Bagi penulis, sajak ini merupakan yang terbaik dalam kumpulan puisi GTBMC.
        Kemanisan Anggur dan Keharuman Mawar 
        Bagaimanakah
        dapat kujelaskan padamu
        tentang kemanisan anggur
        yang dipetik di ladang terpencil
        sedangkan kau
        tiada dikurnia kehalusan rasa
        untuk berdaya tepat mengukur?

        Bagaimanakah
        mampu kunyatakan padamu
        tentang keharuman mawar
        yang tumbuh di lembah jauh
        sedangkan kau
        tidak dibekal ketajaman hidu
        buat mengenal sejati bau?    
      

Penutup 
Menanggapi sajak-sajak terpilih Abizai dalam kumpulan puisi GTBMC, sungguhpun ruwet, ambiguos dan berlapis-lapis sirat maknanya, namun dengan hemat dan cermat, falsafah tasawuf bermetodekan TaN dapat dirungkai. Analoginya bermula daripada kapas menjadi benang dan kemudian menjadi kain. Maknanya, harus ada aturan atau metode yang dipatuhi, khususnya dalam konteks ilmu tasawuf. Demikian proses bandingannya dalam fasa pencerakinan, pencernaan dan penghadaman dalam pemikiran tasawuf Abizai ketika merandaukan GTBMC. Dengan peranti konsep tasawuf TaN melalui metode tiga darjat, maka usailah sebidang kain untuk disarungkan ke tubuh. Justeru terpulang kepada yang empunya tubuh dan pembaca untuk memakai dan menikmatinya. Wallahualam. 

 
 
Advertisement