
KOTA SAMARAHAN: Fateha Nasleen Suhailin dari Sabah muncul johan Bintang Kecil RTM 2023, selepas mengatasi tujuh lagi finalis pada pertandingan akhir malam tadi.
Fateha atau lebih dikenali 'Kiki' berkata kemenangan itu cukup bermakna buatnya kerana beliau menjuarai pertandingan itu dalam cubaan keduanya tahun ini selepas hanya muncul naib johan pada tahun sebelumnya.
Berusia 12 tahun dan berasal dari Keningau, Fateha turut memenangi Anugerah Persembahan Terbaik.
"Saya telah menyertai banyak pertandingan nyanyian sejak berumur tujuh tahun. Saya menjalani latihan vokal bersama kakak.
“Saya merancang untuk meneruskan kerjaya saya dalam bidang nyanyian," katanya ketika ditemui pemberita.
Kemenangan itu menyaksikan Fateha membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan barang kemas ditaja oleh Kedai Emas Sarawak.
Grand final yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu merupakan acara kemuncak selepas pertandingan separuh akhir diadakan di Auditorium P Ramlee RTM Kuching pada 27 Ogos lalu.
Semasa pertandingan separuh akhir 13 peserta bertanding tetapi hanya lapan berjaya mara ke final.
Wa'ie Mohd Zain dari Johor pula memenangi tempat kedua dan Nurfarina Farha Abdul Zahir dari Selangor di tempat ketiga menyaksikan mereka masing-masing membawa hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000.
Seorang lagi peserta dari Sabah juga memenangi kategori 'Bintang Pilihan Prodigy'manakala lima lagi peserta membawa hadiah sagu hati berupa wang tunai RM5,000 masing-masing.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi hadir mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Penyiaran RTM Sarawak Wan Azhan Wan Hamat.