

Oleh: Shield Sahran
KEHIDUPAN telah menyatakan bahawasanya, Maha Pencipta telah mencipta tiga rahsia untuk setiap manusia. Rahsia itu ialah rezeki, jodoh dan ajal. Tiada kunci yang dapat membuka rahsia itu, melainkan manusia itu harus mengharungi seluruh takdirnya.
Ketika manusia di dunia sibuk mencari rahsia tersebut, ada tiga orang sahabat yang sudah lama bersama-sama menghadapi takdir mereka. Mereka berlainan latar belakang tapi punya kisah tersendiri. Seorang pemburu bernama Siad, si orang kaya bernama Assayid dan si penasihat yang bernama Mustashar. Sejujurnya, mereka sentiasa berjumpa tapi atas urusan kerja sahaja. Tetapi jika berpeluang untuk bertemu, mereka saling bertukar cerita. Melalui penceritaan, mereka memahami banyak hal tentang diri mereka dan alam sekeliling. Lama-kelamaan, mereka mula mencerap kisah manusia di sekeliling mereka.
“Kuasa ingin tahu ni ... besar. Macam pendorong untuk mulakan ikhtiar,” Pemburu Siad memulakan bicara sambil membetulkan jubah hitam panjang yang membaluti dirinya dari kepala hingga ke kaki. Wajahnya langsung tidak kelihatan, hanya tampak seperti lohong gelap.
“Kadang-kadang rahsia itu seperti godaan yang membuatkan manusia berusaha untuk mencari tahu,” Orang Kaya Assayid menambah, tampil dengan pakaian serba putih yang kemas lagi menawan hati.
“Begitulah, betapa ajaibnya sesuatu yang bernama ‘rahsia’,” celah si penasihat, Tuan Mustashar, tampil yakin dengan pakaian seragam dan sentiasa membawa buku yang mengandungi senarai nama dan menarik perhatian si pemburu.
Lantas, Pemburu Siad pun berkata tenang, “Kita bertiga punya buku masing-masing. Nama yang berada dalam senaraiku itu mereka yang berhutang. Aku memburu mereka apabila tiba masanya. Pekerjaan kita lebih kurang saja.”
“Ya, betul. Kita melakukan kerja kita apabila tiba masanya,” balas Tuan Mustashar. “Tapi aku tidaklah memburu mereka seperti kau. Aku menguruskan pertemuan setiap pelangganku mengikut jadual yang disediakan. Kiranya, aku orang tengah untuk setiap pertemuan yang berlangsung dan memberi nasihat kepada mereka yang sedang berurusan,” sambung Tuan Mustashar lagi seraya tersenyum kecil.
Kemudian, Orang Kaya Assayid pun menambah, “Tapi aku menyedari sesuatu hal tentang pekerjaan kita. Pekerjaan kau amat ditakuti oleh pelanggan kau, Siad. Pekerjaan kau memenuhi keinginan pelanggan kau, Mustashar. Pekerjaan aku pula memudahkan segala kesulitan pelangganku mengikut keperluan mereka.”
“Ya, benar sekali,” balas Pemburu Siad. “Jujur aku katakan, pekerjaanku tidak begitu indah sebenarnya.”
Lalu, Pemburu Siad pun menceritakan perihal pekerjaannya. Sebagai seorang pemburu, kerjanya ialah memburu pelanggan yang pernah datang meminjam. Ada yang meminjam sedikit, ada yang meminjam banyak. Bagi pelanggan yang meminjam sedikit, pemburu tidak perlu berkasar. Bagi pelanggan yang meminjam banyak, pemburu perlu melihat dulu bagaimana pelanggan itu memanfaatkan pinjaman. Jika pinjaman itu digunakan dengan baik, maka pemburu akan menuntut hutang dengan cara yang baik juga. Jika tidak, pemburu terpaksa melakukan kekerasan yang sudah pasti menyakiti pelanggan tersebut. Bagi pemburu, itulah padahnya apabila bermain-main dengan pinjaman dan hutang kerana penghujungnya sudah pasti tidak menyenangkan.
Setelah mendengar perihal ringkas tentang pekerjaan si pemburu, ia menimbulkan rasa ingin bercerita dalam kalangan mereka bertiga. Lantas, si penasihat pun menceritakan hal-hal yang terjadi dalam pekerjaannya. Seperti mempertemukan sekalian manusia sama ada dalam majlis yang besar atau kecil, seterusnya memberi ruang dan peluang kepada pelanggannya berkenal-kenalan dan selepas itu, mendekat-dekatkan pelanggannya agar urusan mereka dipermudahkan. Juga menangguhkan pertemuan jika perlu.
“Jelas sekali kau mahir menguruskan hal ehwal perhubungan,” celah Orang Kaya Assayid setelah mendengar cerita Tuan Mustashar. Si penasihat segera mengiyakan.
“Ya, akulah yang bertanggungjawab. Bukan mudah untuk mempertemukan pelanggan-pelangganku. Ada yang berada di utara, ada yang berada di selatan. Seorang di timur, seorang lagi di barat. Ada yang berada begitu jauh, aku terpaksa menangguhkan sehingga tiba masanya. Ada yang enggan bertemu dan menolak peluang. Tapi ada juga yang berada di sebelah rumah sahaja, itu pun mengambil masa juga untuk menguruskan mereka. Kau faham sajalah, manusia. Macam-macam ragamnya.”
“Aku fikir, pekerjaan kau ini merupakan satu urusan pertemuan yang sukar, tapi disukai,” Pemburu Siad mencelah semula.
“Aku pernah mendengar salah seorang pelangganku mengatakan bahawa pertemuan antara manusia itu seperti menunggu giliran di kaunter. Aku tahu ia tidak mudah tetapi ramai juga yang berani menanti,” ujar Tuan Mustashar.
“Tapi ada juga penantian pelanggan kau yang berakhir ke dalam senaraiku,” balas Pemburu Siad lagi. “Kasihan, aku mahu berfikir begitu tapi malang sekali aku tak punya perasaan seperti itu.”
“Ya, aku faham. Aku juga seperti kau tapi aku tidak punya masa untuk mengubah keputusan. Seperti yang aku katakan tadi, ia tidak mudah. Mempertemukan pelangganku mengikut kehendak adalah mustahil, tapi lebih kepada memenuhi keperluan jadual yang sudah pun ditentukan. Meskipun pertemuan itu sukar, tapi aku harus juga melakukan kerjaku kerana sama ada ia berakhir elok atau sebaliknya, semuanya berbalik semula kepada perihal takdir,” jelas si penasihat, membuatkan Pemburu Siad kagum pada pekerjaan sahabatnya lalu dia pun berkata, “Aku selalu memikirkan pekerjaanku adalah yang paling rumit. Menuntut hutang bukannya kerja mudah. Aku banyak melihat perkara yang teruk, aku ditakuti. Tak sangka, kerja kalian juga amat memeningkan kepala.”
“Tapi aku mendapati ada juga pelangganku yang mahukan kau datang. Malah mereka sendiri yang memaksa nama mereka dimasukkan ke dalam senarai daftar buku kau,” ujar Orang Kaya Assayid, teringat dengan beberapa orang pelanggannya yang diberi begitu banyak peluang yang baik-baik belaka dan segala kesulitan juga sudah diselesaikan, tetapi kesenangan itu menimbulkan kesusahan yang lain pula sehingga hati mereka kosong.
“Itulah, apabila aku melihat nama mereka daripada senarai buku kau … aku bingung juga. Aku, si pemburu yang selalunya ditakuti, tiba-tiba diingini dan aku berasa aneh juga. Selalunya, aku dikenang-kenang saja oleh sesetengah golongan tapi apabila dimahukan ia menimbulkan persoalan dalam fikiran aku mengenai kau, Sayid,” ujar Pemburu Siad.
Lantas Orang Kaya Assayid memberi pandangan hairan kepada sahabatnya, begitu juga dengan si penasihat.
“Maksudmu?”
“Aku tahu kaulah yang paling diingini, diharapkan dan dicari-cari oleh pelanggan. Setiap kali aku lalu di luar rumah orang aku terdengar doa dan harapan dari mulut orang. ‘Aku harap ada rezeki bulan ini, aku mohon supaya dikurniakan rezeki, semoga rezeki menyebelahiku, bantulah aku dalam mencari rezeki,’ begitulah doa dan harapan yang sering aku dengar. Kemudian aku melihat kau mendatangi mereka dan kau berikan mereka apa yang mereka perlukan. Betapa bahagianya wajah mereka tatkala kau datang, sama seperti apabila aku melihat Mustashar berjaya membantu pelanggannya dalam urusan mereka.”
“Namun jika difikirkan semula, pekerjaan kita ini sebenarnya saling berhubungan antara satu sama lain,” tambah Tuan Mustashar lalu menyambung lagi kata-katanya.
Kemudian, si penasihat itu menceritakan perihal pemuda yang galau memikirkan hidupnya yang serba tidak kena dan mengharapkan petunjuk daripada Tuhan. Lalu Tuan Mustashar pergi menjenguknya sebentar lalu bertanya apa yang menjadi kebimbangan pemuda itu sebenarnya? Lalu si pemuda mengatakan dia galau memikirkan soal rezekinya pada masa hadapan, siapakah pasangan hidupnya dan bagaimanakah pengakhirannya nanti.
“Berbalik semula dengan perihal rahsia yang selalu dicari-cari manusia …,” celah Orang Kaya Assayid. “Sejujurnya pada pendapatku, rahsia itu bisa diraih jika mereka berkeyakinan.”
Kemudian, Pemburu Siad menyampuk, “Dan mereka juga harus tahu semua perkara perlu ditunggu. Untuk melihat dunia juga manusia perlu menunggu giliran, tak kurang sesaat dan tak lebih sesaat. Sama seperti saat manusia mesti pulang, tidak lambat dan tidak juga cepat. Semuanya sesuai dengan waktunya.”
“Maka aku pun berkata pada pemuda itu, apakah kebimbangannya itu menyebabkan pengetahuan dan kehendak Tuhan akan luput? Dia menjawab, tidak. Aku bertanya lagi, adakah rezekinya akan berkurangan setelah melayani galaunya? Dia menjawab, tidak. Semalam dia makan malam seperti biasa dan secukupnya. Lalu aku bertanya lagi, adakah galaunya itu telah mempercepatkan jodohnya dan juga kematiannya? Dia tidak menjawab pertanyaanku. Dan aku mengatakan bahawa dia tidak usah risau tentang urusan tersebut. Itu bukan urusannya. Urusannya ialah berikhtiar dan bertawakal. Itu saja.”
Selepas mendengar cerita pemuda tersebut, Orang Kaya Assayid tertawa dan mengakui apa yang diperkatakan oleh Tuan Mustashar. Bertemu dan berkumpul di meja bulat sambil berkongsi alkisah, Orang Kaya Assayid pun berkata tenang.
“Sememangnya pekerjaan kita ini saling berhubungan antara satu sama lain. Aku telah memberi kemudahan kepada pelangganku agar mereka senang, kemudian kau mengaturkan pertemuan antara pelangganku agar mereka dapat menambahkan kesenangan itu. Itulah perhubungan antara kau dan aku, Tuan Penasihat.”
“Dan aku pula menerima pelangganku, menguruskan mereka dan menunaikan keperluan mereka. Seperti firman Maha Pencipta, hidup berpasang-pasangan dan diciptakan laki-laki dan wanita. Aku membuka peluang itu dan membenarkan mereka menzahirkan rasa bahagia. Tapi sesudah itu, urusan ini akan berpindah semula kepada kalian berdua. Sama ada urusannya dipermudahkan atau urusan hutangnya dituntut. Aku cuma boleh melihat saja,” sahut Tuan Mustashar seraya memandang Pemburu Siad yang bersetuju dengan kata-kata sahabatnya.
Tidak lama selepas itu, mereka menerima semboyan untuk kembali bekerja. Ketiga-tiga mereka bergegas ke kedudukan masing-masing bersama buku mereka. Tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kerana mereka tahu nanti mereka akan berjumpa lagi. Kemudian mereka menerima senarai nama pelanggan yang perlu diuruskan. Alhamdulillah, Tuan Mustashar telah berjaya menarik dua orang pelanggannya untuk menyertai pertemuan. Pada awalnya kedua-dua pelanggan itu kononnya menghayati tasawuf, menolak duniawi walhal mereka sebenarnya patah hati pernah dikecewakan. Tapi fitrah manusia itu adalah kepakaran Tuan Mustashar. Maka, berjayalah urusan Tuan Mustashar. Bergembiralah pelanggan tersebut kerana perancangan mereka telah berhasil.
Pada masa yang sama, Orang Kaya Assayid telah berjaya menolong pasangan suami isteri yang sudah lama mengharapkan anak. Benih bahagia terbit di rahim si ibu, menunggu giliran untuk melihat dunia. Menunggu, mengambil giliran di kaunter. Untuk sembilan bulan sepuluh hari Orang Kaya Assayid mengisi masa tersebut dengan menunaikan hajat pelanggannya yang lain. Pelanggannya sangat ramai, mujurlah Orang Kaya Assayid tidak pernah berkira dalam membahagikan kebaikan kepada pelanggannya. Tidak lebih, tidak kurang, segalanya mencukupi.
Apabila tiba hari si ibu membuka pintu rahim dan anaknya melangkah ke alam dunia yang penuh dengan gelombang kehidupan, si orang kaya itu sudah bersedia untuk meletakkan nama si anak ke dalam buku daftarnya. Orang Kaya Assayid perlu menguruskan keperluan anak itu juga. Anak yang masih kecil itu juga pelanggannya. Sejujurnya, ketiga-tiga sahabat itu tidak pernah memilih usia, bangsa apatah lagi jantina pelanggan. Semuanya mesti diuruskan dengan baik dan adil.
Namun, Orang Kaya Assayid telah didatangi oleh sahabatnya, Pemburu Siad. Riak wajah orang kaya itu langsung berubah.
“Salam sejahtera kepadamu. Ah, Siad. Kau datang.”
“Salam sejahtera kepadamu juga. Aku datang seperti biasa. Seperti semalam juga, dan sebelum-sebelumnya. Maaf mengganggu kau. Aku datang untuk mengambil senarai nama daripada buku daftarmu.”
“Ah, kau memang menepati waktu,” keluh si orang kaya. “Anak ini belum sempat pun berhutang apa-apa.”
“Maka sebab itulah aku diminta mengambilnya. Tuan kita tidak mahu dia melakukan hutang pada masa hadapan. Tuan mahu dia menjadi saham yang berguna pada kemudian hari.”
“Kalau begitu, ambillah. Aku tidak dapat berbuat apa-apa.”
Lalu, Pemburu Siad mengambil alih nama yang disenaraikan. Anak yang baru saja menjejakkan kaki ke dunia tidak sempat melebarkan bayangnya, dijemput pulang dengan segera. Orang Kaya Assayid membenarkan pelanggannya dibawa pergi. Namun, orang kaya itu enggan berputus asa.
“Akan kuperiksa semula jika mereka ada peluang lagi atau tidak,” getus Orang Kaya Assayid meskipun dia tahu pasangan suami isteri itu sedang terbenam di dalam kolam air mata kerana harapan mereka sudah dikembalikan ke tangan yang memberi.
Pada saat Orang Kaya Assayid sedang berikhtiar untuk meringankan kesulitan pelanggannya dengan apa-apa saja cara yang sesuai, Tuan Mustashar menyelesaikan dokumen pertemuan yang berhasil.
“Barakallah,” bisik si penasihat tersebut dengan hati yang lapang lagi ceria.
Malangnya, pintu pejabat si penasihat diketuk. Apabila daun pintu dibuka, Pemburu Siad berdiri di luar dan meminta dokumen tersebut.
“Salam sejahtera kepadamu, sahabat. Aku datang untuk meminta nama daripada senarai daftarmu. Aku tak punya masa, banyak lagi hutang yang belum kutuntut.”
“Salam sejahtera kepadamu juga, Siad. Ah, begitu awal kau datang. Oh tidak, kau tidak awal. Kau datang tepat pada masanya.”
Pemburu Siad tersenyum kecil, penuh pengertian lantas menghulurkan tangannya. Lalu, dokumen yang diminta itu pun diberikan ke tangannya dan si penasihat akur. Kemudian, si pemburu pun melangkah pergi untuk mengejar pelanggannya, pasangan muda yang sedang menikmati alam serba baharu. Tidak pernah mereka memikirkan bahawa begitu dekat sekali jarak mereka dengan Pemburu Siad. Hanya dengan sekali petik, Pemburu Siad pun menuai hasilnya. Hutang sudah dikutip, pelanggannya mesti ikut bersamanya.
Kemudian, urusan mereka bertiga berterusan tanpa rehat. Sejujurnya mereka sentiasa bekerja. Orang Kaya Assayid dan Tuan Mustashar sering menerima kunjungan sahabat mereka, Pemburu Siad. Dalam soal bahagia, orang kaya dan penasihat sentiasa bekerjasama. Mereka sering dipuja-puja oleh pelanggan mereka. Tapi ada juga beberapa urusan yang luar biasa. Pemburu Siad hampir mengutip hutangnya, tiba-tiba Orang Kaya Assayid muncul dan menerima arahan bahawa nama pelanggan yang berhutang itu dikembalikan ke dalam buku daftarnya. Pemburu Siad pun melepaskan si penghutang dan mengejar yang lain pula. Pelanggan yang kembali ke tangan orang kaya sering mengatakan bahawa mereka amat bertuah.
Juga, hubungan antara si pemburu dan si penasihat itu ada kejutannya. Seolah-olah batas antara mereka begitu nipis, mudah sekali mereka bertukar nama pelanggan dan urusan si pelanggan juga ikut berubah. Sehingga ada pelanggan yang mengatakan betapa halusnya garisan di antara mereka berdua. Apa-apa saja boleh berlaku, semuanya di luar jangkaan.
Pada akhirnya, mereka bertiga bertemu antara detik yang begitu pendek dan lebih cepat daripada kedipan mata manusia, sekelumit peluang yang diberikan oleh Tuhan Yang Maha Pengasihani pun dimanfaatkan dengan berkongsi cerita setelah sekian lama sibuk menguruskan pelanggan.
“Hakikat kita bukan sekadar rahsia, tapi misteri juga. Aku ini sudah ditetapkan. Tetapi tetap juga dirisaukan,” ujar Orang Kaya Assayid.
“Dan aku ini misteri. Tetapi tetap juga diragui,” sambung Tuan Mustashar si penasihat.
“Aku pula sememangnya pasti. Tetapi tetap juga ditakuti dan dijauhi,” ucap Pemburu Siad.
Begitulah, tiga orang sahabat itu akhirnya ketawa terhadap kerahsiaan mereka. Assayid si rezeki, Mustashar si jodoh dan Siad si ajal, merekalah rahsia yang sering diperdebatkan - rezeki bisa menjadi ujian, jodoh bisa menjadi dugaan, ajal bisa menjadi rahmat (juga sebaliknya). Merekalah tiga serangkai yang sentiasa terikat untuk bersama dan manusia terikat bersama mereka.

