Anda di sini

KTS Plantation perbaharui MoU bersama SFD dan UMS

Advertisement
 Diana (dua kiri), Kasim (tiga kiri), Frederick (empat kiri) dan Jeffrey (tengah) merakamkan gambar kenangan selepas majlis MoU.
MOU: Diana (dua kiri), Kasim (tiga kiri), Frederick (empat kiri) dan Jeffrey (tengah) merakamkan gambar kenangan selepas majlis MoU.

KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) Pengurusan Hutan Lestari di Segaliud Lokan Forest Reserve (SLFR) yang diperbaharui sudah pasti akan terus menyumbang ke arah pengurusan hutan lestari di kawasan berkenaan melalui kemajuan saintifik.

Pengarah KTS Plantation (KTSP) Diana Lau berkata, MoU itu adalah kerjasama tiga pihak diantara Jabatan Perhutanan Sabah (SFD), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan KTSP.

Katanya, pembaharuan MoU itu akan terus menyumbang ke arah kemajuan saintifik yang lebih ketara serta pembangunan strategi pengurusan yang berkesan bagi menangani cabaran serta ancaman dalam pengurusan hutan ke arah kelestarian seperti di SLFR.

MoU itu dimeterai diantara Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan, Pengarah KTSP Diana Lau dan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur. Ia disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffery Kitingan.

Majlis itu diadakan pada Persidangan Antarabangsa 'Heart of Borneo' (HoB) yang diadakan di di sini baru-baru ini.

Diana berkata, kerjasama berkenaan sudah terjalin selama lapan tahun dan ia merupakan satu pencapaian cemerlang.

"Majlis ini juga menandakan hubungan jangka panjang terjalin diantara institusi penyelidikan, industri hutan dan pentadbir perhutanan di Sabah," katanya.

 Diana (tiga kanan) menyampaikan Coffee Table Book kepada Frederick sambil disaksikan Jeffrey (dua kanan).
SERAH: Diana (tiga kanan) menyampaikan Coffee Table Book kepada Frederick sambil disaksikan Jeffrey (dua kanan).

Beliau berkata, program itu bercirikan usaha untuk melatih saintis muda tempatan, khususnya rakyat Sabah dalam penyelidikan alam sekitar tropika dan menyumbang kepada pembangunan pemulihan, pengurusan hutan serta strategi pemuliharaan.

Katanya, program itu juga melibatkan lebih 15 penyelidik dan berjaya menerbitkan sekurang-kurangnya 10 kertas kerja.

Selain itu katanya, usahasama itu memberi ruang dan peluang untuk penyelidikan dan latihan dalam ilmu sains hutan hujan, sekali gus mampu memupuk generasi baharu pakar yang dilengkapi pengetahuan bagi menangani isu berkaitan amalan pengurusan hutan mampan seperti hutan hujan di Sabah.

"Seramai 17 mahasiswa dan lima lepasan ijazah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam perkara ini.

"Dengan kesemua pencapaian ini, SLFR berjaya mengumpulkan banyak data saintifik penting untuk membangunkan aktiviti pelancongan mampan dengan menggunakan pendekatan tidak merosakkan hutan hujan tropika," katanya.

 Diana (dua kanan) menyampaikan sumbangan Ekspedisi Saintifik 2.0 kepada Frederick sambil disaksikan oleh Jeffrey (tiga kanan).
SERAH: Diana (dua kanan) menyampaikan sumbangan Ekspedisi Saintifik 2.0 kepada Frederick sambil disaksikan oleh Jeffrey (tiga kanan).

Sementara itu, Diana turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Projek Profesor Dr Baba Musta kerana berjaya mengetuai penerbitan 'Coffee Table Book' mengenai projek yang dijalankan dibawah MoA sejak empat tahun lalu.

Beliau juga menyerahkan bantuan kewangan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk pelaksanaan Ekspedisi Saintifik 2.0 di kawasan Pemuliharaan Sungai Rawog, SLFR yang dijadualkan dari 4 sehingga 15 September 2023.
 

  • oleh
  • Advertisement