
KUCHING: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan dokumentari mengenai lagenda pecut negara Watson Nyambek sempena Hari Kebangsaan ke-66.
Menurut kenyataan, Unit Sukan TV RTM akan menyiarkan program bertajuk “Watson The Flying Dayak” pada 30 Ogos jam 11.05 pagi di TV1 dan keesokan harinya 31 Ogos jam 9 malam di saluran sukan RTM.
Manakala, siaran ulangan di TV1 pada 2 September (Sabtu) pukul 11.00 malam dan 3 September (Ahad), pukul 10.00 malam.
Menariknya dokumentari "Watson The Flying Dayak" yang bersiaran satu jam ini bukan hanya paparan kisah kejayaan legenda negara semata-mata, tetapi juga medium untuk membangkitkan rasa semangat cintakan negara hasil daripada sebuah perjuangan.
Pengorbanan legenda pecut negara, Watson Nyambek harus dijadikan contoh terutama generasi muda.
Walaupun beliau sudah bersara sepenuhnya daripada lapangan olahraga, Watson tetap gigih menyumbang jasa kepada negara dengan melahirkan bakat-bakat baharu melalui penubuhan kelab olahraga miliknya dikenali sebagai The Flying Dayak Club yang berpusat di Miri, Sarawak.
Beliau merupakan ikon dan raja pecut legenda era 90-an yang telah mencipta fenomena apabila memecahkan rekod acara 100 meter kebangsaan berusia 26 tahun milik "The Flying Doctor", Datuk Dr. M. Jegathesan.

Rekod itu dicipta pada tahun 1998 dengan catatan 10.30 saat. Anak jati Sarawak ini juga sudah dua kali menjadi Olimpian iaitu di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000.
Watson juga merupakan satu-satunya anak Malaysia berjaya layak ke Sukan Olahraga Dalam Dewan Dunia iaitu pada 1999. Sepanjang kariernya, Watson pernah bersaing bersama jaguh handalan dunia termasuk Linford Christie dan Maurice Green.
Dokumentari khas ini juga boleh diikuti menerusi RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).