
KUCHING: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) dengan bangganya memperkenalkan 'Projek My Malaysia', iaitu sebuah filem Hari Kebangsaan generatif AI sumber ramai yang pertama di Malaysia.
Menurut satu kenyataan hari ini, filem itu memanfaatkan teknologi AI dan perpaduan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dengan mentakrifkan semula cara mereka menceritakan mengenai makna 'Malaysia' dari sudut pandang masing-masing.
Untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, CelcomDigi mendekati rakyat Malaysia daripada budaya dan latar belakangnya yang kaya serta pelbagai untuk bersama-sama mewujudkan visi Malaysia lebih baik, bukan sahaja bagi diri mereka sendiri, tetapi juga keluarga dan komuniti.
Dengan menggunakan generatif AI iaitu alat inovatif yang mampu menghasilkan kandungan daripada teks, imej atau video, mereka dapat membayangkan semula adegan dan mengubah babak filem menggambarkan Malaysia moden.
Perspektif unik yang dibayangkan semula ini kemudiannya diselitkan melalui alat generatif AI ke dalam filem ‘Projek My Malaysia’.
Filem ini secara halus menyentuh nuansa sosial seharian yang dialami oleh rakyat Malaysia tanpa disedari seperti tanggungjawab sivik, hormat-menghormati, sopan santun dan mengambil berat antara satu sama lain.
Selain itu, filem ini juga mengetengahkan kesan alam sekitar yang berterusan seperti pemuliharaan hidupan liar, penebangan hutan, pembuangan sampah dan banyak lagi; yang mungkin menjejaskan mata pencarian generasi masa depan kita.
Rakyat Malaysia yang berminat boleh mencuba platform generatif AI CelcomDigi dengan melayari laman web rasmi ‘Projek My Malaysia’ di https://projekmymalaysia.com.
Untuk melihat filem generatif AI sumber ramai yang pertama di Malaysia berjudul ‘Projek My Malaysia’, sila layari laman YouTube rasmi CelcomDigi atau Facebook.