Anda di sini

Dua lelaki hilang semasa memancing ditemukan lemas

Advertisement
 Mayat mangsa ditemukan di Pantai Kiamsam, Labuan.
LEMAS: Mayat mangsa ditemukan di Pantai Kiamsam, Labuan.

LABUAN: Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan pantai Kiamsam di sini pada 20 Ogos lalu ditemukan lemas petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata mangsa pertama berumur 20 tahun ditemukan pada jam 5.20 petang manakala mayat kedua iaitu mangsa berumur 19 tahun ditemukan selang dua minit selepas itu.

“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Kes disiasat mengikut laporan Kes Mati Mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Kastam, Kiamsam untuk mengkoordinasikan Carilamat bersama agensi sahabat dan komuniti maritim sebaik menerima maklumat kejadian.

Katanya, bot kilat 40 milik Maritim Malaysia ditugaskan untuk ke lokasi kejadian bagi pencarian awal membabitkan kawasan seluas empat batu nautika persegi sekitar perairan pantai Kiamsam.

"PHC melaporkan penemuan mayat pertama di anggaran posisi 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang kelmarin.

"Lokasi penemuan mayat kedua pula hampir 10 meter dari kedudukan mayat pertama pada jam 5.22 petang," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa ditemukan oleh bot nelayan tempatan dan dibawa oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke PHC.

"Keluarga kedua-dua mangsa sudah dihubungi bagi proses pengecaman dan mayat dibawa oleh polis untuk tindakan selanjutnya. 

"Operasi turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), JBPM, dan nelayan tempatan," katanya.

Terdahulu, kedua-dua mangsa dikatakan keluar memancing di perairan laut Kiamsam, pada 6 petang dan orang awam hanya mengesan bot dinaiki mereka dalam keadaan terapung berdekatan jeti Kiamsam.

Ahli keluarga mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan mencari dan menyelamat.

  • oleh
  • Advertisement