Anda di sini

Ahli ramai penanda aras Gagasan Rakyat penuhi aspirasi rakyat

Advertisement
 Amisah (tiga kiri) menerima borang keahlian baharu Gagasan Rakyat pada majlis itu.
BAHARU: Amisah (tiga kiri) menerima borang keahlian baharu Gagasan Rakyat pada majlis itu.

RANAU: Ahli Jawatankuasa Penaja Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dibentuk sebelum ini diingatkan untuk bekerja keras bagi memastikan lebih banyak cawangan dengan ahli yang ramai dapat ditubuhkan.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Paginatan Datuk Amisah Yassin berkata, kekuatan ahli yang ramai adalah satu penanda aras sebuah parti yang memenuhi sentimen dan aspirasi rakyat.

Katanya, ia seiring dengan kehendak rakyat yang mahu negeri ini dipimpin oleh parti tempatan dengan kombinasi pimpinan negeri yang disenangi ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik ini berkata, ahli yang menyertai Gagasan Rakyat adalah disebabkan percaya bahawa hijrah yang mereka lakukan itu kerana mahukan sesuatu yang lebih baik.

Sehubungan itu katanya, tindakan parti lain seperti UMNO dan Parti Warisan (WARISAN) yang melabelkan ahli Gagasan Rakyat sebagai 'katak' adalah satu kesilapan besar kerana menyamakan tindakan mereka dengan haiwan yang tidak mempunyai fikiran.

"Parti-parti yang kita sertai dahulu adalah baik dan kita berterima kasih atas kesudian pimpinan terdahulu untuk memberi tempat kita bernaung.

"Namun, peredaran masa dan keperluan di Sabah kini adalah pimpinan daripada parti politik tempatan," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Penubuhan Gagasan Rakyat Cawangan Libang di sini.

Amisah berkata, politik di Sabah bersifat memerlukan pembangunan dan rakyat sudah bosan dengan corak politik yang ekstrim dengan durasi berpolitik setiap masa.

Menurutnya, Sabah memerlukan sistem politik yang stabil demi memastikan agenda yang dirancang oleh kerajaan dapat dilaksanakan tanpa kerisauan risiko kerajaan yang berubah setiap masa.

Beliau berkata, dengan kekuatan Gagasan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, maka kuatlah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mana ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir juga adalah dari parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

"Kita berikrar untuk membantu dan menguatkan rakan-rakan kita dalam GRS yang terdiri daripada tujuh parti komponen sekali gus mengukuhkan Gagasan Rakyat.

Pada majlis itu, Amisah menerima penyerahan borang seramai 25 ahli baharu Gagasan Rakyat yang diserahkan oleh Jahili Saridi.
 

  • oleh
  • Advertisement