Anda di sini

Poey dan Shidi hiburkan peminat di Kampung Maludam 25 Ogos ini

Advertisement
Dayang Noorazah ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Tinju Peringkat Sarawak 2023 di Stadium Sri Aman, semalam.
Dayang Noorazah ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Tinju Peringkat Sarawak 2023 di Stadium Sri Aman, semalam.

SRI AMAN: Dua vokalis terkemuka tanah air Poey (kumpulan Stings) dan Shidi (kumpulan Data) akan menemui peminat sekali gus menggegarkan pentas di Kampung Maludam pada malam 25 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor menjelaskan, kedua-dua artis itu telah mengesahkan kehadiran untuk menampilkan persembahan sempena Maludam Explore Race pada malam 25 Ogos ini.

"Ini secara tidak langsung untuk memeriahkan program berkenaan selain dapat menambah pendapatan penduduk di kawasan sekitar.

"Justeru, penduduk sudah tentu berasa bertuah dengan kehadiran vokalis ini di mana mereka akan menampilkan lagu yang pernah dipopularkan pada zaman kegemilangan mereka," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak di Stadium Tertutup Sri Aman, malam tadi.

Mengenai Maludam Explore Race, Dayang Noorazah memberitahu bahawa ia akan diadakan pada 25 hingga 26 Ogos ini.

"Maludam dipilih untuk acara besar berkenaan sebagai pentas untuk mempromosikan Taman Negara Maludam.

"Walaupun ia pertama kali diadakan di daerah tersebut namun kita telah menerima penyertaan seramai 30 kumpulan dari seluruh Sarawak untuk menyertai explore race tersebut," ujarnya.

Jelasnya, penyertaan tidak dapat dibuka kepada terlalu ramai peserta berikutan masalah kemudahan kediaman di kawasan sekitar.

"Pada awalnya, kita merancang untuk menerima 50 peserta namun disebabkan kekangan penginapan, kita hanya menerima 30 peserta sahaja.

"Bagaimanapun, sekiranya aktiviti ini berjaya dilaksanakan tahun ini, kita merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengendalikan Maludam Explore Race yang dianjurkan secara besar-besaran tahun depan.

"Kita akan berbincang bersama penduduk bagi merancang mengenai perancangan yang akan diadakan untuk tahun depan terutama mengenai kemudahan penginapan," tambahnya.

Dalam pada itu, antara program yang turut diadakan ialah pameran daripada pelbagai agensi seperti pameran kebajikan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak Forestry Corporation (SFC), AgroBank dan sebagainya.

"Selain itu adalah aktiviti jualan melibatkan penduduk sekitar dan usahawan tempatan," jelas Dayang Noorazah.

Advertisement