

(Bahagian 2)
Oleh: Abang Patdeli Abang Muhi
Tinjauan Kegiatan Sastera
Kegiatan-kegiatan sastera seperti seminar, wacana, seni persembahan, dan sebagainya boleh menjadi satu daripada sekian banyak kegiatan menarik pelancongan untuk berkunjung ke negeri ini, dan sekali gus membantu menjanakan kemajuan ekonomi, kerana banyak limpahan faedah lain turut wujud seperti perhotelan, katering dan lain-lain.
Sebagai rekod, dan daripada segi sejarah perlu dinyatakan bahawa Sarawak pernah menjadi tuan rumah bagi acara-acara besar sastera yang bertaraf nasional, Nusantara dan antarabangsa seperti Hari Sastera sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 1974, 2001 dan 2013 yang bukan sahaja telah disertai oleh para penulis dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia, bahkan turut disertai oleh penulis dan sasterawan dari Eropah, Jepun, Korea dan Indonesia.
Pada tahun 1988, Sarawak merupakan tuan rumah bagi acara Pertemuan Sasterawan Nusantara VI yang telah menjadi medan pertemuan para penulis dan sasterawan Nusantara, terutamanya dari luar Sarawak seperti Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.
Selain itu, Sarawak banyak kali menjadi tuan rumah acara Hari Puisi Nasional, Dialog Borneo - Kalimantan, serta masing-masing sekali menjadi tuan rumah Pertemuan Budayawan BIMP - EAGA II (2003), dan Pengucapan Puisi Kota-kota Dunia (2003) yang menyaksikan penyertaan penyair-penyair terbilang dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Chile dan lain-lain.
Beberapa contoh acara yang disinggung di atas bukan sahaja mengimarahkan wacana sastera dan menyuburkan hubungan silang budaya serta persefahaman antarnegara, walau bagaimanapun, secara tidak langsung turut menyerlahkan kemampuan Sarawak sebagai penganjur acara besar bertaraf antarabangsa, sekali gus menonjolkan fungsi sastera dan peranan karyawan sastera dalam membantu merangsang kemajuan bidang pelancongan kerana yang bertandang sebagai pemakalah dan peserta dari luar Sarawak bukan sekadar bersastera, tetapi juga pelancong yang teruja untuk turut mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar acara besar itu diadakan.
Faktor Sastera dan Sasterawan
Seperti yang dibicarakan terdahulu, yakni rumah dan kampung halaman sasterawan dunia tersohor, William Shakespeare, yang telah menjadi satu dari tempat yang mampu menarik ribuan pelancong untuk berkunjung ke situ jelas memperlihatkan bahawa keterampilan sastera dan ketokohan sasterawan merupakan faktor penggalak dan daya tarikan pelancong - sama seperti bidang sejarah dan sejarahwan serta budaya dan budayawan.
Di Malaysia, antara program pelancongan sastera yang memperkenalkan serta mempromosikan sasterawan dan kampung halamannya (termasuk rumah dan/atau sekolah rendah/menengah) adalah berkaitan dengan Sasterawan Usman Awang. Usman Awang atau nama samarannya Tongkat Waran ialah tokoh pelancongan sastera, dan kampung halamannya di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor sering menjadi medan diadakan pelbagai kegiatan sastera seperti baca puisi, bicara karya, pementasan teater dan seumpamanya. Mawar Safie dan rakan-rakan (2021) pernah membuat kajian berkaitan dengan permasalahan ini yang berjudul “Usman Awang dan Sedili: Hubungan daripada pelancongan kesusasteraan dunia”.
Pengalaman peribadi penulis melawati Goethe Haus di Frankfurt dalam bulan Oktober tahun 2019 amat memberi kesan, dan mengujakan. Goethe Haus ialah muzium kediaman, tempat lahir dan kediaman zaman kanak-kanak penyair dan dramatis Jerman, Johann Wolf von Goethe. Goethe Haus ialah satu daripada tempat tarikan pelancong yang sangat terkenal, dan harus dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang bertandang ke Frankfurt. Bahkan Goethe Haus disenaraikan sebagai muzium, institusi kebudayaan dan tapak memorial yang dimasukkan dalam pakej pelancongan Jerman.
Seyogianya, keberadaan sastera dan sasterawan sebagai faktor penyumbang kepada industri pelancongan, memang sesuatu bidang yang relatif baharu di negara ini, khasnya di Sarawak. Kendatipun begitu, Malaysia haruslah meneladani negara-negara lain seperti United Kingdom, Rusia dan Jepun misalnya, yang mengiktiraf serta menghargai sumbangan sastera dan sasterawan dalam memperlengkap kemajuan bidang pelancongan.
Apa-apa pun, harus ada sasterawan yang setaraf sasterawan Nusantara atau Sasterawan Negara di Sarawak yang boleh diangkat sebagai Tokoh Kesusasteraan Pelancongan, yakni kesusasteraan yang bermuatan nuansa-nuansa pelancongan yang dominan - ketokohan dan kewibawaannya memang terserlah yang mewajarkannya diangkat sebagai sasterawan pelancongan, sekali gus ketokohan dan kewibawaannya mampu menjadi tarikan pelancongan.
Dalam pada itu, beberapa Sasterawan Negeri Sarawak dan Penerima S.E.A. Write Award yang terdiri daripada anak Sarawak boleh juga dipertimbangkan untuk diangkat sebagai Tokoh Kesusasteraan Pelancongan bersandarkan kewajaran-kewajaran dan kriteria-kriteria yang autentik yang menjustifikasikan pemilihan seseorang itu sebagai “tokoh”. Bahkan sahaja soal ketokohan seseorang penulis, dan apatah lagi seseorang sasterawan perlu diberi perhatian dalam ranah pelancongan sastera, tetapi juga menyangkut soal karya-karya sastera atau produk sastera yang dihasilkan yang dapat diangkat sebagai karya pelancongan sastera sesuai dengan pandangan Bidaki dan Hosseini (2014) dalam Isti Ismawati (2020) tentang pelancongan sastera:
Tujuan dalam pariwisata sastera dipertimbangkan dari dimensi produk-produk pariwisata. Tujuan wisata sastera harus menghasilkan produk wisata sastera yang mengakui kapasiti mereka sendiri. Produk pariwisata ialah kombinasi daripada tarikan, aksesibiliti, kemudahan fundamental, layanan perhotelan serta elemen, institusi dan organisasi.
Alih Wahana
Bidang kesusasteraan ialah lubuk emas bagi pemain industri kreatif kerana tersedia ribuan puisi, cerpen, novel, dan malah, naskhah drama pentas yang boleh dialih wahana atau diadaptasi kepada filem, drama televisyen, Youtube dan banyak lagi wahana lain yang difikirkan sesuai untuk tujuan itu.
Dalam memperkatakan hubungan novel dan filem, contohnya dalam konteks promosi pelancongan dan tarikan pelancong, didapati filem yang diadaptasi daripada novel cukup besar sumbangannya kepada industri pelancongan. Contoh yang paling sahih ialah pengadaptasian novel Harry Potter ke filem, tempat-tempat yang terjadinya berbagai-bagai peristiwa dalam novel dan filem tersebut telah menarik ribuan pelawat untuk berkunjung ke tempat-tempat itu. Ini merupakan testimoni bahawa karya sastera yang dialih wahana atau diadaptasi kepada pelbagai subgenre yang lain seperti filem berpotensi untuk ikut mengembangkan bidang pelancongan.
Bahkan, adaptasi karya sastera dalam wahana drama pentas atau teater juga boleh menjadi daya tarikan pelancong, sekali gus sumber ekonomi. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan pementasan teater komersial atau profesional yang mengangkat naskhah-naskhah besar negara atau luar negara seperti yang dilakukan di luar negara. Misalnya, Boishoi Theatre, Moskow dengan balet dan operanya, Broadway Theatre, New York yang meriah dengan aneka persembahan teater dan tempat pengunjung dari serata dunia berkumpul untuk menonton persembahan muzikal ternama dan teater-teater ulung, dan Shakespeare’s Globe, London yang merupakan mercu tanda teater dan kebudayaan yang menarik ribuan pengunjung di sana saban tahun - kendatipun hanya sekadar keinginan, dan tetapi harus diusahakan untuk menjadikan impian itu suatu kenyataan.
Paling tidak pun, bagi kita di Saraswak, harus ada semacam repertoir, yakni stok drama, tarian mahupun sesuatu persembahan yang sedia ada untuk dipersembahkan, selain perlu dibangunkan gedung teater yang bertaraf dunia serta sumber manusia yang profesional dalam bidang seni persembahan serta pengurusan seni. Tentu sahaja semua ini memerlukan perancangan yang sistematik dan strategik bagi melahirkan para pengurus produksi teater yang profesional.
Jika boleh diadakan Rainforest World Music Festival setiap tahun dengan jaya dan cemerlang, tidak mustahil Sarawak juga mampu mengadakan Festival Puisi Etnik Dunia, misalnya, yang diisi dengan bengkel puisi dan lagu puisi etnik, peragaan alat muzik tradisional, konsert lagu puisi etnik, dan sebagainya.
Tentu sahaja sebagai pencipta karya, penulis amat mengharapkan pelancongan sastera terus berkembang maju, dan makalah sederhana ini dapat merangsang kajian yang lebih mendalam berkaitan dengan permasalahan pelancongan sastera, terutamanya di Sarawak.
Harapan dan Cadangan
Sekurang-kurangnya, penulis menaruh tiga harapan yang terkait dengan persoalan dan perkembangan pelancongan sastera sebagai genre ataupun subgenre, khususnya untuk negeri Sarawak. Harapan pertama ialah, akan lahir lebih banyak karya sastera yang berwibawa, terutamanya genre puisi, cerpen, novel dan drama pentas yang bertemakan pelancongan. Karya-karya itu tentunya tetap tinggi nilai keindahan dan sasteranya, meskipun tema yang ditetapkan demikian akan membataskan imaginasi pengarang.
Harapan kedua ialah, akan lahir karya-karya sastera seperti puisi, cerpen dan novel yang bertemakan pelancongan yang boleh dialih wahana atau diadaptasi dalam pelbagai format yang mudah diakses, selain boleh dimanfaatkan sewajarnya oleh para pemain industri kreatif.
Harapan ketiga ialah, akan ada sasterawan Sarawak yang rumah atau kediamannya suatu masa nanti akan menjadi daya tarikan untuk orang berkunjung ke situ, sekali gus menyemarakkan kegiatan pelancongan sastera.
Justeru, dengan rendah dirinya, penulis ingin mencadangkan perkara-perkara yang berikut untuk diberi perhatian serta pertimbangan, dan seboleh mungkin diambil tindakan yang sewajarnya:
(i) Diadakan sayembara menulis novel atau kumpulan puisi atau kumpulan cerpen atau skrip filem atau skrip drama televisyen yang bertemakan pelancongan yang ditaja oleh sektor swasta/korporat dan/atau oleh pihak berwenang;
(ii) Diwujudkan Muzium Bahasa dan Sastera Sarawak yang khusus tentang sejarah dan perkembangan bahasa dan sastera di Sarawak, termasuk sastera rakyat, bahasa sukuan dan sebagainya. Sebagai permulaan, boleh diwujudkan Galeri Bahasa dan Sastera Sarawak di Muzium Budaya Borneo; dan
(iii) Diperkenalkan mata kuliah Kesusasteraan Borneo di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Renungan Terakhir
Penulis sudahi makalah ini dengan memetik pandangan Nicola J. Watson (2006) tentang dasar pelancongan sastera:
Literary tourism occurs when authors or their literature become so popular that people are drawn to either those locations associated with the author for example birthplace, home, graveside or those featured within their writings.
(Makalah ini dibentangkan dalam Festival Sastera Borneo di Kuching, Sarawak pada 22 hingga 23 Oktober 2022)
Rujukan
Isti Ismawati, 2020. Pujangga Terakhir Keraton Kasunanan Surakarta Raden Ngabehi Ranggawarsita: Kajian Pariwisata Sastra. Sastra Pariwisata. Penerbit PT Kanisius, Yogyakarta, Indonesia.
Mawar Safei et al., “Usman Awang dan Sedili: Hubungan daripada pelancongan kesusasteraan dunia” dlm. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space 17 issue 2, 2021 https://doi.org/10.17576/geo-2021-1702-26.
Nicola J. Watson, 2006. The Literary Tourist. Readers and Places in Romantic & Victorian Britain. PALGRAVE MACMILAN. Houndmills, Basingstoke, Hamspire, New York.
Robert Escarpit, 2008. Sosiologi Sastra. Yayasan Obor Indonesia, Jakarta.
Safian Hussain et al. (Peny.), 2014. Glosari Istilah Kesusasteraan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Samek Cevik, “Literary tourism as a field of research over the period 1997-2016” dlm. European Journal of Tourism Research Vol. 24, Varna University of Management, Turki, 2020.
___Kamus Besar Indonesia Edisi Kelima, 2017. Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta.
___Kamus Dewan Perdana, 2020. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

