
TENOM: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 63 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di lapan buah sekolah menengah di sekitar Tenom.
Majlis yang berlangsung di Tenom Sabah menyaksikan pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM menerima sijil serta insentif dengan harapan dapat membantu meningkatkan akademik serta memotivasikan mereka untuk lebih berjaya dimasa hadapan.
Penyerahan anugerah itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2022 di sini, kelmarin.
Turut hadir dalam sesi penyampaian itu adalah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Junik berkata, pihaknya amat mengambil berat dan terpanggil untuk membantu pelajar-pelajar cemerlang khususnya yang berada di luar bandar.
"Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pelajar untuk memulakan pengajian di peringkat seterusnya, serta sebagai pembakar semangat bagi meneruskan kejayaan untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga di masa hadapan," katanya.
Katanya, usaha itu juga menjadi salah satu inisiatif dalam memastikan masyarakat sentiasa mendapat pendidikan terbaik serta membantu melahirkan komuniti yang lebih berilmu di Sabah.
Pada majlis yang sama, seramai empat pelajar yang masih meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Sabah turut menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR sebagai bantuan untuk memulakan pengajian atau sebagai kegunaan menguruskan kelengkapan diperlukan bagi meneruskan pengajian.
Sejak Januari 2023 sehingga kini, YBR sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM237,000 menerusi BAP bagi membantu pelajar dari keluarga B40 untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).