Anda di sini

Mencari Merdeka di Padang Merdeka

Advertisement
 
 


Oleh: Faizal Jarawi

Apa sahaja yang terlintas di hati dapat dipenuhi. Melancong ke luar negara, pakaian berjenama, kereta mewah malah rumah besar juga mampu dimiliki andai saja dia menurut kehendak ayahnya - mengurus perniagaan barangan perabot. Hampir setahun Lelaki Gen Z berkorban masa dan tenaga mengurus perniagaan ayahnya setelah tamat pengajian.
     Pagi ini, fikirannya keracauan setelah berbual dengan ayahnya malam semalam. Penghawa dingin di dalam kereta tidak dapat menenangkan hatinya. Celoteh penyampai radio tentang artis tempatan menambah serabut di dalam kotak fikiran. Lantas dia menekan butang padam.
     Tidak mungkin dia menjumpai seseorang yang bernama Merdeka. Bukan puluhan malah ratusan orang membanjiri Padang Merdeka. Lelaki Gen Z yakin perkara itu diketahui oleh ayahnya. Entah mengapa ayahnya menyuruh dia melakukan hal yang tidak masuk akal. Dia buntu. Dibiarkan saja persoalan itu berlegar-legar memenuhi fikirannya sehingga keretanya diparkir di seberang Padang Merdeka.
     Lelaki Gen Z memegang sampul surat yang berwarna putih. Wang bernilai RM50.00 tersusun di dalam sampul itu. Dia tidak ambil tahu jumlah wang yang ada di dalam sampul itu. Kata ayahnya, wang itu harus diberi kepada sesiapa sahaja yang ditanya. Sampul itu mesti kosong sebelum dia kembali ke rumah.
     Dia dapat menebak niat ayahnya. Mengapa tidak diberi saja kepada penghuni rumah anak yatim atau rumah orang-orang tua. Lebih mudah dan tidak perlu susah-susah memberi kepada orang yang ada di sini. Mencari orang yang miskin dalam suasana begini bukannya mudah. Apatah lagi, mencari orang bernama Merdeka. Kata-kata itu tidak terluah hanya rungutan di dalam hatinya.
     Langkah kakinya perlahan seakan disimen bebanan. Saat ini, Lelaki Gen Z memerlukan seseorang. Teman wanita, tidak mungkin kerana belum masanya untuk dia menjalin hubungan serius dengan mana-mana gadis. Ya, sahabat adalah orang yang paling tepat berkongsi masalah yang ada. Jika sahabat kita membawa wangian, kita akan terhidu wangian itu dan mungkin terkena wangian yang sama atau sebaliknya. Lelaki Gen Z yakin dengan falsafah itu. Disebabkan itu, dia tidak mempunyai ramai sahabat. 
     Lelaki Gen Z menelefon bekas rakan sekuliahnya. Rakannya itu sekarang bekerja di sebuah syarikat swasta. Kebetulan rakannya bernama Stanley berbangsa Bidayuh berniat untuk ke Padang Merdeka. Dari dulu hingga sekarang tujuan utamanya adalah mencari makanan digemari jika berada di tempat keramaian. 
     “Aku hendak makan mi Laksa Sarawak yang viral dalam Facebook. Hari ini saja beli satu percuma satu. Mujur kau ada, tidak larat aku makan semuanya.”
     Lelaki Gen Z melabuhkan punggungnya di bangku yang diperbuat daripada kayu. Sejujurnya, dia tidak selesa berada di tempat begini. Negatif menguasai dirinya melihat ragam manusia. Adakah dia ketinggalan fesyen atau mereka menzalimi fesyen? Mungkinkah dia ditinggalkan oleh kebebasan? atau mereka yang disukai kebebasan sememangnya diberi permit berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan walaupun bukan muhrim? Argh, Lelaki Gen Z menggeleng kepala.
     Kahadiran Stanley menjernihkan anak mata Lelaki Gen Z. Dia menggosok matanya berkali-kali seakan-akan dimasuki habuk. 
     “Buat apa duduk saja. Di sana ada jual barang kraf tangan tapi harganya, sendiri tahulah.”
Stanley sengaja berkata begitu walaupun dia tahu tiada masalah bagi Lelaki Gen Z membeli barang kraf tangan yang berharga sehingga ratusan ringgit. Pernah dia membeli ukiran sumpit yang diletakkan di dalam sebuah bingkai kaca sebesar 60CM X 30CM dengan harga RM300.00. Barang itu dikumpulkan di bilik khas yang ada di dalam rumah Lelaki Gen Z. Yang pasti, ayahnya juga penggemar barang-barang kraf tangan.
     Stanley melongo setelah mendengar masalah yang menghantui Lelaki Gen Z. Wajah Stanley kosong. Masalah itu seakan-akan angin melintas yang tidak menyentuh kulitnya.
     “Mungkin benar, orang yang bernama Merdeka ada di sini. Sambil kita berjalan kita tanya.”
     “Tanya siapa?”
     “Terpulang, yang penting sampul itu kosong.”
     “Aku hendak beri wang itu kepada orang yang betul-betul susah.”
     “Kalau begitu kita cari peminta sedekah.”
     Pada masa yang sama, Lelaki Gen Z terpandang seorang wanita yang berbadan besar. Dia agak umurnya awal 50an. Kulitnya sawo matang. Mengenakan seluar sehingga ke lutut. Berbaju kemeja warna hitam. Berselipar getah. Dia seorang yang ramah. Semua orang yang ada di sekelilingnya disapa dengan mesra.
     “Kau hendak tanya dia? Tak payah. Dia tu tidak betul. Lihat orang itu menggeleng kepala. Maksudnya, orang itu tidak mahu memberi wang kepadanya. Semua orang yang dia jumpa, dia minta wang RM3.00. Setiap hari dia minta wang. Bukan itu saja, rokok pun dia minta.” 
     Apa yang ada di dalam kotak fikiran Lelaki Gen Z berbeza dengan penjelasan Stanley. Tanggapan orang ramai terhadap wanita berambut ikal sehingga ke paras bahu itu tidak mempengaruhi Lelaki Gen Z.
     “Kita tanya dia,” ujar Lelaki Gen Z selamba. Wajah Stanley ditampal persoalan.
     Lelaki Gen Z menghampiri wanita itu dengan langkah yang laju. Stanley pula mengikut dari arah belakang. Langkah Stanley seakan-akan dipaksa dan berkali-kali dia menggeleng kepala. Sememangnya Stanley faham dengan perangai Lelaki Gen Z yang keras kepala. Selagi tidak dibuat, hatinya belum puas.
     “Saya boleh bagi awak wang, tapi jawab soalan saya dulu,” kata Lelaki Gen Z penuh harapan.
     Nah, tiada jawapan yang keluar dari mulut wanita itu malah dia ketawa terbahak-bahak setelah mendengar pertanyaan Lelaki Gen Z. Semua orang yang ada di situ memandang mereka. Pada masa yang sama, telinga Stanley seakan-akan ditarik. Jari tangannya digenggam lantas Lelaki Gen Z menyentuh bahu Stanley. 
     Sebelum meninggalkan wanita itu, Lelaki Gen Z memberi beberapa keping wang kepadanya. Wanita itu kemudian meninggalkan mereka berdua sambil mengira wang itu. Lelaki Gen Z menarik tangan Stanley. Langkah kaki Lelaki Gen Z laju berbanding langkahnya ketika menghampiri wanita itu. Dia yakin, marah Stanley cuma singgah. Dia sudah biasa dengan perangai Stanley.
     Sepanjang perjalanan mereka menuju ke sebuah gerai makanan, Stanley membisu. Mungkin dia perlukan sedikit masa lagi untuk menjernihkan amarahnya. Mata Lelaki Gen Z seakan-akan terkena sampuk. Melihat ke kiri kemudian ke kanan. Sesekali ke arah belakang. Janji kepada ayahnya harus ditunaikan. Fikirannya kembali diselubungi keresahan.
     Stanley duduk di gerai minuman tanpa mempelawa Lelaki Gen Z. Tanpa berlengah Lelaki Gen Z duduk di sebelahnya. Dia fikir, perasaan Stanley sudah kembali tenang. Mereka berada di gerai paling hujung. Telinga Lelaki Gen Z menangkap suara seseorang. Dia pasti bukan dia sahaja yang mendengar suara itu. Stanley kemudian berdiri dan melihat arah yang sama. Puluhan mata memandang gerai yang berada di tengah-tengah. Stanley kemudian duduk. Mereka berdua saling berpandangan.
     “Nah, seorang lagi,” ujar Stanley.
     “Dia bukan seperti orang gila,” balas Lelaki Gen Z.
     Dahi Lelaki Gen Z berkerut. Mata Stanley yang sepet sedikit terbuka. Mereka berdua senyap seketika mendengar kata-kata seorang lelaki berkepala botak dan berbaju kemeja berwarna putih. Suaranya sangat jelas dan berkeyakinan seolah-olah dia sedang berpidato. Yang pasti, dia hanya berdiri seorang diri.
     “… Pengisytiharan Kuching sebagai sebuah bandar raya pertama di Sarawak pada 1 Ogos 1988 dan diikut Miri sebagai bandar raya yang kedua pada 20 Mei 2005. Kita semua wajib tahu sejarah dahulu. Perlembagaan Sarawak diisytiharkan pada 24 September 1941. Pada 22 Julai 1963, satu peristiwa penting bagi Sarawak dengan peralihan dan penyerahan kuasa kepada anak negeri. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil daripada pengorbanan para pemimpin dan generasi terdahulu, yang telah berjuang dalam usaha memastikan kemerdekaan itu adalah milik seluruh rakyat Sarawak. Kejayaan dan perpaduan yang dikecapi merupakan kebanggaan terbesar untuk Sarawak. Tidak kira bangsa Melayu, Iban, Cina, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Punan, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum, Longkiput dan Murut. Kemerdekaan harus dipelihara dan dikekalkan demi Sarawak Ibu Pertiwiku!”
     Mulut Lelaki Gen Z seakan-akan dikunci. Stanley pula menggaru-garu kepalanya yang tidak terasa gatal. Tidak semua orang yang ada di gerai bertepuk tangan. Lelaki berkepala botak itu kemudian duduk dan perlahan-lahan mencicip air. Siapakah lelaki itu? Sejarah Sarawak berada di dalam genggamannya. Adakah dia penulis buku tentang sejarah Sarawak atau seorang ahli politik? Tidak mungkin kerana di sini bukan tempatnya untuk berpidato. Mungkinkah lelaki itu bernama Merdeka? Perasaan ingin tahu menebal di hati Lelaki Gen Z.
     Kali ini bukan dia yang meninggalkan tempat duduk tetapi Stanley. Dia pasti Stanley menghampiri lelaki berkepala botak itu. Mujurlah pelayan di gerai belum mengambil pesanan mereka berdua. Sebelum duduk semeja dengan lelaki itu, Stanley bertanya khabar lalu bersalaman dengannya kemudian diikuti Lelaki Gen Z. Stanley memulakan bicara,
     “Tuan mahu makan. Saya belanja.” Tiada reaksi pada wajah lelaki itu.
     “Saya pesan mi kolok daging,” sambung Stanley lagi. 
     Lelaki Gen Z cuba memberanikan diri bertanya kepada lelaki berkepala botak yang berjanggut itu.
     “Tuan kenal Merdeka?” Lelaki itu memandang tepat ke wajah Lelaki Gen Z.
     “Kamu berdua dilahirkan selepas merdeka?” 
     Lelaki Gen Z hanya mengangguk. Stanley pula menggaru hidungnya.
     “Anak muda seperti kamu berdua dinamakan Merdeka. Masalahnya, pemikiran dan sikap anak muda zaman sekarang dijajah oleh budaya barat. Rosli Dhobi, banyak yang tidak mengetahui perjuangan anak muda itu. Apatah lagi kalau ditanya tentang Awang Rambli bin Amit, Bujang bin Suntong atau Morshidi bin Sidek. Disebabkan perjuangan mereka, tercatat sejarah pada 3 Disember 1949.”
     Mereka berdua terdiam. Tidak ada satu pun soalan mahupun jawapan yang keluar daripada mulut mereka. Lelaki Gen Z memandang tepat ke wajah lelaki itu. Tangannya menongkat dagu seakan masih ingin mendengar kata-kata lelaki itu. Stanley menggaru kakinya yang terasa gatal.
     Tiba-tiba sahaja lelaki berkepala botak itu berdiri sepertinya mahu beredar meninggalkan mereka berdua. Dengan pantas Lelaki Gen Z membuka sampul surat berwarna putih lalu menyerahkan kesemua wang kepadanya. 
     “Saya ikhlas tuan. Wang ini amanah ayah saya. Saya rasa bersalah kepada ayah saya jika tuan tidak menerima wang ini,” jelas Lelaki Gen Z.
     Sebaik sahaja lelaki itu menerima wang dan dimasukkan ke dalam poket seluar, kepuasan terpancar pada wajah Lelaki Gen Z. Stanley pula masih menikmati mi kolok daging yang dipesan tadi. Kemudian, Lelaki Gen Z menyuruh pelayan membungkus mi kolok selebihnya untuk dibawa balik. Ketika berbual dengan pelayan, dia sempat bertanya tentang lelaki berkepala botak. Katanya, lelaki itu pernah bekerja sebagai penjawat awam. Disebabkan tekanan kerja dan masalah hutang, dia menghadapi masalah mental. Katanya lagi, kesihatan mentalnya bergantung dengan ubat yang dimakan. Jikalau dia berpidato, maknanya ubat sakit mental yang dimakannya mencukupi. 
     Sepanjang perjalanan menuju ke tempat parkir kereta, kecewa menguasai hati Lelaki Gen Z. Janji kepada ayahnya tidak dapat ditunaikan. Stanley pula meneruskan perjalanannya ke gerai makanan yang lain untuk mencari mi Laksa Sarawak. Pada masa yang sama, dia terlihat lagi lelaki berkepala botak tadi. Kali ini dia berpidato di tepi jalan raya sambil tangannya digerakkan persis seorang wakil rakyat. Lelaki Gen Z berdiri kaku seakan-akan tiang lampu isyarat yang ada di situ. Entah mengapa hatinya seperti dipaksa-paksa ingin mengetahui nama sebenar lelaki itu. Mengapa dia tidak bertanya dari tadi. Lelaki Gen Z menyalahkan diri sendiri. Tanpa berfikir panjang dia berlari ke arah lelaki itu.
     Melihat Lelaki Gen Z berlari ke arahnya, lelaki berkepala botak itu berhenti berpidato. Dengan nafas tercungap-cungap Lelaki Gen Z bertanya. Jawapannya mengejutkan Lelaki Gen Z.
     “Merdeka anak Manggu.” 
     Lelaki Gen Z duduk mencangkung. Anak lelah yang mengganggu pernafasannya perlahan-lahan menghilang. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan terus. Lelaki Gen Z memandang ke bawah. Agak lama. Dia menggeleng kepala berkali-kali. Ya, dia yakin bahawa ayahnya mengenali lelaki yang ada dihadapannya. Mungkin lelaki itu pernah menjadi sahabat baik ayahnya. Ah, baginya yang penting janji sudah dikotakan. Kepuasan terungkap pada senyuman.
     Wajah Merdeka memenuhi skrin telefon pintar.    

 
 
Advertisement