

(Bahagian 1)
Oleh: Abang Patdeli Abang Muhi
Awal Mula Bicara
ALKISAH, pada abad ke-19, seorang pemikir tersohor, John Ruskin, bertanya kepada para ahli Parlimen Inggeris tentang dua hal yang sangat signifikan berkaitan dengan kebanggaan dan jati diri Inggeris:
“Antara dua pernyataan yang berikut, yang manakah yang kalian pilih,
Inggeris kehilangan Shakespeare atau Inggeris kehilangan India?”
Seyogianya, Inggeris sebagai negara penjajah, termasuk menjajah India, sudah tentu sebahagian besar daripada bangsa Inggeris tidak menduga bahawa pada suatu ketika Inggeris akan kehilangan India - kerana India akhirnya menjadi negara yang bebas dan merdeka.
Syahadan, kendatipun kehilangan India, sesudah India merdeka, Inggeris tetap Inggeris. Walau bagaimanapun, Inggeris yang kehilangan Shakespeare, dalam gagasan John Ruskin, bukanlah Inggeris lagi. John Ruskin adalah benar sebab satu daripada kebanggaan dan jati diri Inggeris ialah Shakespeare (Budi Darma, 2003).
William Shakespeare seperti yang diketahui umum, ialah penyair, dramatis dan aktor Inggeris yang tersohor di serata dunia hingga kini, lahir pada tahun 1564 di Stratford-upon-Avon. Karya-karyanya, khususnya drama, terkenal di seluruh dunia, dan keberadaan Shakespeare sebagai pujangga dan sasterawan agung dunia merupakan satu daripada daya tarikan pelancong - Stratford-upon-Avon, kota tua yang cantik nian di pedalaman England, tanah kelahiran Shakespeare ialah satu-satunya kota di dunia yang didedikasikan khas untuk seorang seniman. Kota kecil molek itu juga dikenali dengan nama julukannya “Kota Shakespeare”, dan ribuan pengunjung atau pelancong melawatinya saban tahun.
Sengaja penulis mengawali makalah ini dengan memetik beberapa pernyataan dan peristiwa yang berhubung kait dengan sasterawan dan sastera di atas yang berlaku di luar, khususnya dalam peradaban Inggeris yang cukup besar itu - pernyataan dan peristiwa adalah sebagai cerminan dan testimoni bahawa sasterawan dan sastera juga signifikan untuk pembangunan pelancongan atau pariwisata.
Sastera dan Masyarakat
Kini masyarakat membikin sastera, sedangkan pada zaman silam masyarakat yang memiliki sastera, khususnya sastera rakyat, ataupun yang dikenali sebagai folklore dalam bahasa Inggeris, kerana satu daripada sifat dominan sastera rakyat ialah sastera itu ialah milik bersama, dan kolektif sifatnya.
Persoalannya, adakah kini sastera itu bukan milik masyarakat, dan masyarakat tidak begitu mempedulikan hidup matinya sastera, sekali gus berpandangan sarkastik terhadap sastera, dan sinis kepada sasterawan? - seolah-olah sastera tidak penting dalam proses pembangunan bangsa, masyarakat dan negara berbanding pembangunan sosial, ekonomi dan politik, kendati sastera adalah berkaitan langsung dengan pembangunan sosial, khususnya dalam aspek pembangunan sahsiah masyarakat.
Sesungguhnya, sastera itu banyak hubungannya dengan masyarakat, umpama isi dengan kuku, serta lagu dan irama. Justeru, tatkala dibicarakan hubungan sastera dan masyarakat, itu terangkum dalam ranah dinamai sosiologi sastera - pelancongan ialah perihal pergi ke sesuatu tempat dalam tempoh waktu tertentu untuk melawat, beristirahat dan sebagainya.
Sastera ialah penjernihan keyakinan, nilai-nilai, dan norma-norma yang disepakati masyarakat - setidak-tidaknya begitulah yang terjadi pada zaman lampau ketika kepengarangan tidak dipermasalahkan, dan berbagai-bagai jenis tradisi lisan dimiliki beramai-ramai oleh masyarakat, dan tidak oleh individu. Pada waktu itu, produksi, penyebarluasan, konsumen, dan sebagainya boleh dikatakan non-issue, hal yang tidak perlu digunjingkan kerana berlangsung begitu sahaja - demikian dikatakan oleh Sapardi Djoko Damono (2008).
Menurut Robert Escarpit dalam bukunya Sosiologi Sastera (2008:4), semua fakta sastera menyirat adanya penulis, buku dan pembaca, atau secara umumnya dapat dikatakan pencipta karya dan publik. Berbanding dengan masa lalu, kini jika ditinjau dari sudut pengarang, menulis ialah suatu profesion atau paling tidak suatu kegiatan yang menghasilkan wang, dan dilaksanakan dalam ruang lingkup suatu sistem ekonomi, yang pengaruhnya pada penciptaan tidak diragukan. Dari segi karya, buku ialah suatu produk industri yang disebarluaskan secara komersial dan tunduk kepada hukum penawaran dan permintaan.
Oleh itu, sesuai dengan pandangan Robert Escarpit di atas, sastera ialah buku, bukan sekadar gagasan mahupun pandangan tentang bagaimana dan seperti apa sastera itu seharusnya berfungsi dalam masyarakat. Dengan kata lain, persoalan tentang bagaimana sepatutnya sastera itu bukan lagi sesuatu yang difikirkan oleh masyarakat, termasuk pengarang, tetapi sebagai sebahagian material budaya yang dihasilkan daripada kegiatan industri moden.
Pelancongan Sastera
Sastera ialah ekspresi pemikiran artistik dan estetik yang sarat dengan perasaan dan imaginasi yang bererti. Antara genre karya sastera yang popular ialah puisi, cerpen, novel dan drama. Sesungguhnya, sastera dapat mentransformasikan sesuatu kejadian, peristiwa, tempat, watak/tokoh, dan aneka perkara lain menjadi tetap serta abadi.
Sastera yang menggarap, mendedikasikan, mengabadikan dan mempromosikan tempat pelancongan dalam pelbagai karya sastera yang diciptakan oleh penulis, hatta sasterawan, dapat merangsang lahirnya pelancongan sastera. Dalam konteks ini, karya sastera itu harus dilihat sebagai suatu produk yang boleh menyumbang kepada kemajuan ekonomi, khususnya industri pelancongan.
Pelancongan atau pariwisata dalam bahasa Indonesia merupakan fenomena baharu dalam ekonomi moden. Menurut Rais Yatim (2016):
Tourism or pelancongan as well as here in Malaysia and pariwisata in Indonesia is a modern phenomenon. It is believed to have the ready influence and capacity to attract visitors to a country on large scale. With a population of some 30 million or so, we are on record to have attracted last year 29 million visitors. Now that, calls for something surely goes beyond the National Park, the beaches, Gunung Kinabalu and the mountains, Kuala Lumpur and the cities and all the remaining myriad human interests.
Demikian betapa pentingnya bidang pelancongan terhadap pembangunan ekonomi moden, termasuklah kepada ekonomi dan masyarakat di Sarawak, sementelahan Sarawak mempunyai pelbagai daya tarikan pelancongan, khususnya yang berkaitan dengan pelancongan budaya, dan tentunya pelancongan sastera dalam waktu yang terdekat.
Pelancongan ialah bahagian daripada masyarakat. Kini pelancongan ialah industri yang perkembangan dan kemajuannya dipengaruhi oleh hukum permintaan dan penawaran serta didorong oleh kepentingan ekonomi atau komersial sebagai pulangannya. Dalam konteks bidang pelancongan yang nilai ekonomi dan komersialnya kini lebih diutamakan, maka wujudlah pelbagai jenis pelancongan. Antaranya, pelancongan budaya yang berasaskan kebudayaan setempat sebagai tarikan utama, dan pelancongan tani, iaitu pelancongan berasaskan pertanian bagi memperkenalkan masyarakat, hasil dan amalan pertanian sesebuah negara seperti mengadakan lawatan ke ladang kelapa sawit, kawasan ternakan atau dusun buah-buahan (Kamus Dewan Perdana, 2020).
Sesungguhnya, sastera dan pelancongan mempunyai hubungan timbal balik -banyak karya sastera memperoleh inspirasi daripada pelancongan, dan sebaliknya. Pun banyak destinasi pelancongan yang terkenal kerana sastera dan karyawan sastera. Namun demikian, kajian sastera yang mengaplikasikan pendekatan pelancongan belum begitu diberi perhatian yang serius oleh para pengkaji di negara ini, khususnya. Hal ini mungkin berpunca daripada tiadanya atau amat sedikit teori pelancongan sastera, dan amat sedikit pengkaji yang berminat untuk mengkaji bidang ini.
Menurut Samet Cevik (2020), kajian pelancongan sastera menunjukkan bahawa pelancongan sastera mempunyai potensi kajian yang tinggi sebagai bidang akademik memandangkan pelancongan sastera tidak dapat digeneralisasikan, dan ia boleh berbeza-beza mengikut tokoh sastera. Selanjutnya beliau menyatakan bahawa pelancongan sastera menyediakan pelbagai faedah kepada destinasi-destinasi apabila dibangunkan sebagai bentuk minat pelancongan yang istimewa.
Barangkali di Sarawak, istilah atau ungkapan pelancongan sastera itu masih asing dan tidak begitu difahami maksudnya - tidak demikian halnya dengan Indonesia, kerana sudah semakin merakyat bidang pelancongan wisatanya, dan di Barat, sudah tidak asing lagi apa-apa yang dikenali sebagai literary tourism - mungkinkah, nuansa atau aura itu juga yang ingin diperkenalkan oleh Sarawak?
Bagi penulis, pelancongan sastera itu ialah pelancongan yang berasaskan karya atau produk sastera, tokoh sastera dan kegiatan sastera sebagai tarikan untuk pelawat atau pelancong berkunjung ke negeri ini. Ikhtisarnya, sastera harus dipandang dalam hubungan yang tidak terpisahkan daripada kehidupan bersosial dan berekonomi masyarakat. Penamaan genre ini sebagai pelancongan sastera ialah mengikut pola penamaan sosiologi sastera. Pendekatan kajian genre pelancongan sastera boleh ditinjau daripada empat persoalan utama, yakni:
i. Analisis tema ataupun wacana pelancongan dalam karya sastera;
ii. Tinjauan tentang kegiatan-kegiatan sastera yang berhubung kait dengan pelancongan;
iii. Kajian pelancongan sastera ke rumah sasterawan atau tempat-tempat lain yang bernilai sastera (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai literary places); dan
iv. Alih wahana (derivatives) sastera sebagai promosi pelancongan.
Analisis Ringkas Tema
Bidang sastera berpotensi untuk menjadi satu daripada elemen penting untuk diberikan tumpuan yang sewajarnya bagi memperlengkap pembangunan dalam bidang pelancongan. Para penulis dan sasterawan tentunya mempunyai tanggungjawab sosial untuk menggarap tema pelancongan dalam penghasilan karya masing-masing. Antara genre yang secara khusus memperkatakan persoalan tentang pelancongan ialah travelog.
Travelog ialah filem, buku atau ceramah bergambar tentang tempat-tempat yang dilawati atau pengalaman seseorang pengembara. Dalam Kamus Dewan Perdana (2020), travelog diperikan sebagai sesuatu ceramah, filem, brosur dan sebagainya yang berkaitan dengan pelbagai kisah perjalanan dan pengembaraan. Buku yang berkonsepkan travelog ini boleh sahaja ditulis dengan naratif sastera dan gaya sastera.
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Keris Mas (2003) telah memperkatakan tema pelancongan - keindahan alam semula jadi yang menjadi daya tarikan pelancong membolehkan kawasan sekitar yang diperkatakan dalam novel itu turut menikmati kemajuan lantaran wujudnya berbagai-bagai industri kecil dan sederhana.
Sarawak yang kaya dengan alam semula jadi ataupun flora dan fauna boleh menjadi sumber ilham untuk mencipta karya sastera yang bertemakan pelancongan. Novel Loagan Bunut (2018) oleh Dahiri Saini juga merupakan contoh karya sastera yang menjadikan tempat tarikan pelancong sebagai persoalan utamanya -keindahan alam semula jadi Loagan Bunut yang merupakan satu dari tasik semula jadi yang indah di hulu Sungai Bunut, kira-kira 120 kilometer dari Miri mampu menggamit sesiapa sahaja yang ingin merasai dan menikmati keindahan, kedamaian dan keheningan hutan hujan tropika yang malar hijau. Walau bagaimanapun, hutan hujan tropika yang malar hijau itu haruslah dipelihara dan dipulihara agar tidak tercemar serta dimusnahkan oleh ketamakan para usahawan.
Dalam hubungan pelancongan dengan penulis dan pengkaryaannya, boleh sahaja diadakan peraduan menulis karya kreatif, khususnya fiksyen yang bertemakan pelancongan bagi memperoleh lebih banyak buku berkaitan dengan tema dan persoalan pelancongan - motif naratifnya ialah pelancongan, dan dengan mengambil kira bahawa penulis lebih bebas dan lancar menulis tanpa terikat dengan tema-tema tertentu.
Sesungguhnya, banyak karya sastera yang memperoleh inspirasi ataupun mengangkat tema pelancongan dan sebaliknya banyak tarikan pelancongan yang popularitinya terhutang budi kepada karya sastera. Walau bagaimanapun, kajian atas sumbangan sastera dalam pengembangan serta promosi pelancongan, dan sumbangan pelancongan dalam inspirasi penciptaan karya sastera belum begitu diberi perhatian oleh para pengkaji.
Karya-karya sastera seperti novel, puisi dan cerpen boleh sahaja diadaptasikan dalam pelbagai wahana seperti filem dan drama yang motifnya adalah untuk memperkenalkan sesuatu masyarakat, amalan dan tempat yang boleh menjadi satu daripada daya tarikan kepada pelancong. Memang motif naratif utama pengarang adalah untuk menghasilkan karya sastera, fiksyen khususnya, yang sarat dengan nilai kemanusiaan, nilai keindahan dan nilai sastera dengan gaya bahasa yang menarik. Namun, dengan memilih alam semula jadi yang malar hijau dan memaparkan tempat-tempat menarik sebagai latar novel atau cerpen masing-masing, mereka telah membantu memperkenalkan dan mempromosikan tempat-tempat tersebut sebagai destinasi pelancong.
(Bahagian 2 akan disiarkan pada 21 Ogos 2023)

