
KOTA SAMARAHAN: Bengkel Rythm Of Borneo menjanjikan sebuah pengalaman memukau tentang pengenalan kepada identiti tiga masyarakat pribumi Sarawak di La Promenade Mall.
Menurut Penerbit Kreatif At Adau Meldrick Andrew Udos atau lebih dikenali sebagai Bob pihaknya mengumpulkan pemain seni dan kraf dalam satu tempat di sini.
"At Adau sebenarnya mahu menonjolkan seni muzik, tradisi dan makanan tiga suku kaum ahli dalam kumpulan kami iaitu Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.
"Idea ini hadir selepas kami cuba mencari cerita berkaitan dengan tiga suku kaum pribumi ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Pembuat sape, tatu, seni dan kraf serta makanan digandingkan bersama dalam satu bengkel walaupun berbeza latar belakang kaumnya.
Pihaknya tidak menyasarkan sebarang kategori umur dan ia terbuka secara percuma kepada semua pengunjung.
Artis tatu yang berada di sini adalah Jordan Baxx dan rakan-rakan selain pembuat sape Patrick Asau serta pembuatan manik dan kraf lainnya, tambah Bob.
Pada masa yang sama, beliau mendedahkan bahawa Sarawak mempunyai Pratuong, sebuah instrumen muzik kaum Bidayuh dan diperbuat daripada buluh.

Uniknya, alat muzik berkenaan menghasilkan alunan seakan-akan bunyi gong.
"Mengikut sejarah, Dayak Bidayuh tidak mempunyai gong dan hanya ada selepas pelayar dan pedagang dari China datang dan membuat sistem barter ke sini.
"Maka barulah kita mempunyai gong pada masa itu," ujarnya kemudian.
Seorang artis yang memainkan alat muzik itu bernama Arthur Borman dari Padawan sedang giat mempopularkan Pratuong.
Beliau jelasnya, bukan sahaja memberi pendedahan dan pengetahuan kepada generasi muda malah mahu mereka menjiwai alat muzik tradisional tersebut.
Kata Bob, untuk At Adau, semua cerita tradisi Bidayuh sedemikian adalah sebuah permata dan ia amat penting bagi pihaknya.
Sementara itu, terdapat bengkel muzik, menari dan banyak lagi bagi para pengunjung yang juga bakal diadakan pada 12 dan 13 Ogos ini.
Bob ditemani pemain sape dan pemain dram At Adau, Luke Wrender David.
La Promenade Mall juga akan mengadakan sambutan Oktoberfest bermula 14 September hingga 8 Oktober.