

Oleh: Jawa Manggau
“Siapa di dalam ni, pintu terbuka?” tanya hatiku. Aku melangkah perlahan masuk ke ruang dapur, kelihatan sebidang belakang yang biasa aku kenal. Orang tua itu duduk membelakangi pintu masuk ke dapur sedang menikmati secangkir kopi panas.
“Bila ayah sampai?”
“Baru. Kopi pun masih panas lagi. Ayah balik sekejap saja, mau jenguk kamu. Kebun macam mana, banyak buah?” tanyanya sambil meneguk air kopi.
“Ah, adalah sedikit. Kurang baja, mahal tak mampu beli. Harga sawit turun,” balasku sambil melabuhkan punggung di atas kerusi di sampingnya. Aku menuangkan air kopi ke dalam cangkir yang sudah tersedia di atas meja.
“Itulah masalahnya sekarang ni, harga sawit naik, baja, racun naik. Bila harga sawit turun, tak juga harga barang itu turun,” katanya. Aku diam saja.
Kami membisu seketika. Lama ayah tidak datang melawat, seakan-akan rumah pusaka ini sudah asing bagi dirinya. Aku merenung keluar tabuk, ada sesuatu yang ingin aku luahkan kepada ayah, tetapi mulut aku kelu, terkunci rapat. Aku tahu hal yang hendak aku bicarakan menjadi beban dalam jiwanya sekarang. Aku kenal sikapnya yang sekeras batu kelikir, jarang mahu mendengar pendapat orang terutama dalam menentukan arah tuju hidupnya. Egonya setebal tembok lima inci, sukar dirobohkan. Dulu mendiang emak pun tidak dapat merobohkan tembok itu, hanya dalam beberapa perkara dia akan bertolak ansur. Tetapi sekarang egonya terhadap isteri semakin nipis, mudah dijinakkan oleh orang baharu.
“Kelmarin aku pergi ke rumah Mak Cik Atong. Ramai adik-beradik ayah datang. Mak Cik Piah kirim salam, Pak Cik Amai pun sama.” Aku membuka bicara, seperti memasang umpan.
“Ada mereka kutuk ayah?” soalnya.
“Ssh, ke situ pula soalan orang tua ni,” bisik hati kecilku. Aku diam mendengar persoalan itu. Terasa menyesal juga aku membuka cerita, seperti umpan yang aku pasang dimakan buaya bukannya ikan.
“Selalunya mereka mengata ayah bila berkumpul, ayah tahu. Ibarat kacang lupakan kulit. Dulu masa keluarga kami susah, ayah dijadikan kambing hitam. Ayah tak diberi pendidikan seperti mereka. Ayah tolong atuk kamu cari duit untuk sekolahkan mereka. Tapi sekarang mereka benci ayah, sepakat!” Suaranya ditinggikan, nampak ketidakpuasan hatinya.
“Tak ada mereka mengata ayah. Hanya bertanyakan khabar dan kesihatan ayah,” balasku.
“Kenapalah sikap orang tua ni tak pernah berubah, walaupun sudah menerjah usia 73 tahun,” bisik hatiku. Kepala sudah beratap seng, walaupun badannya masih tegap, namun kekuatan jauh sudah pudar. Kalau dulu dialah tulang belakang keluarga kami, membesarkan tiga orang anak lelakinya. Dia sangat keras mendidik kami tetapi di hatinya tersimpan kasih sayang yang mendalam. Dia meluahkan bukan dengan peluk, cium atau memanjakan anak-anaknya tetapi setiap keperluan hidup kami sekeluarga cukup dia berikan, selagi dia mampu.
“Ayah pun tak tahu apa dosa ayah dan ibu tiri kamu, sehinggakan mereka membenci kami berdua. Ayah sedar, ayah hanya orang kecil, tak berduit dan tak berharta seperti mereka. Kalau tak kerana ayah, mereka tak hidup senang sekarang. Hanya Piah yang faham. Tomy, Atong, Gayah, Amai semuanya bongkak!”
Aku diam saja. Terasa air kopi yang aku telan terlalu pahit dan tawar seperti tidak bergula. Kata-kata ayah seperti membunuh angin baikku pada ketika itu. Memang aku sedar perkahwinan ayah yang kedua kurang direstui oleh adik-beradiknya. Tetapi aku tidak menyebelahi dan menyalahkan sesiapa. Kedua-dua pihak sama, memasang tembok ego yang sukar dirobohkan. Tetapi mereka lupa tembok kekeluargaan yang telah terbina sekian lama, kini semakin retak.
“Aku perlukan orang jaga aku, waktu susah dan senang. Itu sebab aku perlu kahwin lagi. Aku tak akan bawa harta dari rumah pusaka untuk menyara isteri baharu. Harta itu untuk anak-anak aku,” katanya kepada Mak Cik Atong.
“Anak-anak kamu ada, jangan susah-susah nak membanting tulang lagi. Kita ibarat hari yang semakin senja, tenaga semakin pudar. Sekarang ni masa kamu rehat. Semua adik-beradik kita tak setuju kamu nikah lagi. Tak kasihankah kamu dengan mendiang Dayut?” nasihat Mak Cik Atong.
“Dia sudah tiada, jangan disebut lagi. Kamu semua pun tahu bagaimana keadaan aku beberapa tahun dulu sesudah pemergiannya. Menjadi seorang pemabuk. Tengok keadaan aku waktu itu. Kamu semua kutuk aku. Sekarang aku perlukan teman hidup, tak biasa hidup sendirian. Tak mahu jadi pemabuk lagi,” balas ayah.
“Itu bukan alasan, itulah guna anak-anak. Kita sudah tua, tinggal dengan mereka jaga cucu,” Pak Cik Amai mencelah.
“Kamu mana tahu, kahwin pun tak pernah. Uruskan masalah kamu dulu baru boleh ajar aku!” Pak Cik Amai terdiam mendengar herdik ayah. Pak Cik Amai sudah berusia setengah abad tetapi macam tidak berminat untuk menamatkan zaman bujang walaupun berpangkat dan bergaji besar.
Terlalu sukar aku mempercayainya sekarang, ayah mudah dikawal oleh isteri baharunya. Kenapa kini ego terhadap pasangan hidupnya semakin retak, dulu dengan mendiang mak tidak walaupun telah melayari bahtera hidup bersama berpuluh tahun. Mungkin ini alasan adik-beradiknya tidak suka. Apakah kuasa “sihir” yang ada pada ibu tiriku itu. Kalaulah tembok egonya bisa berubah terhadap adik-beradiknya dan anak-anak mungkin perkara ini tidak menjadi masalah bagi pihak kedua-dua ini.
“Ibu tirimu mahu pinjam, pakai barang kemas mak kamu tapi aku tak bagi,” Mak Cik Atong memberitahu aku.
“Jangan, itu aku tak izinkan. Untuk apa?” soalku.
“Dia nak pergi pesta Gawai Antu. Aku takut dia tak bagi balik nanti,” katanya lagi.
“Itu harta mak, orang lain tak boleh sentuh. Aku simpan dekat mak cik supaya selamat. Adik-adikku pun aku tak izinkan,” balasku.
“Ayahmu masam muka sebab itu.”
“Pedulikan, harta milik mak. Kalau milik ayah, biarlah.”
“Tak tahu kenapa dia senang dikawal perempuan itu, lain dengan mak kamu dulu,” keluh Mak Cik Atong, mengulangi kata-kata yang sama.
“Biarlah dia merajuk, lambat-laun dia akan sedar,” bisik hatiku.
Aku menjadi bingung. Sejak peristiwa itu, lama ayah seperti menghindarkan diri daripada aku, apatah lagi dengan Mak Cik Atong. Hubungan menjadi semakin dingin. Bahtera kekeluargaan semakin banyak yang berlubang, dimasuki air, bila-bila masa boleh karam dan tenggelam. Aku merasakan aku perlu menampal dan membaiki kebocoran ini agar selamat. Aku telah merelakan diri menjadi orang tengah, sebagai utusan pendamai kedua-dua pihak. Tetapi sekarang aku ibarat inti roti sandwic, tersepit di antara dua tembok. Semakin aku mahu bertindak, semakin tebal dan panjang lagi tembok pemisah yang bertakhta di hati mereka. Aku buntu, serba salah.
“Ayah, apa kata hujung tahun ni kita sambut tahun baharu bersama-sama. Tidak terasa sekarang dah bulan Sembilan.” Pernah aku cadangkan ketika aku menelefon dia dulu.
“Boleh juga, nanti ayah bawa mak tirimu sekali.”
“Kita sambut di rumah nenek, nanti aku bagi tahu mak cik.” Ayah lama terdiam dan akhirnya tiada jawapan langsung. Cadangan itu aku usulkan kepada mak dan bapa saudara, hanya Mak Cik Piah yang mengiyakan.
“Jangan paksa ayahmu, biarkan dia dengan hati batunya. Dia lebih pentingkan bini, anak dan cucu tirinya. Mungkin pada dia, keluarga ni dah tak wujud lagi dalam hidupnya.” kata Pak Cik Tomy.
“Dah banyak kali aku menghubungi dia, tak diangkat. Mungkin dia takut isterinya marah,” celah Mak Cik Gayah.
“Sudahlah, cukup! Jangan salahkan dia saja, cermin juga diri kita. Kalau berterusan macam ni, bila masa kita boleh berdamai. Tembok Berlin masih dapat dirobohkan inikan pula tembok keegoan antara kita adik-beradik. Satu pihak harus mengalah, harus tunduk,” rayu Mak Cik Piah. Dia seorang guru sekolah dengan jawatan Penolong Kanan.
Aku diam saja. Aku hanya pangkat anak. Aku masih hormat namun dalam hatiku kadangkala meluat dengan sikap ego mereka, bersesalan bagai Batak lari. Semuanya berpendidikan, kerja makan gaji tapi sikap “jahil” mereka mengalahkan orang yang buta ilmu. Pemikiran mereka masih dibaluti kabus tebal, masih samar, cuma pandang diri sendiri saja.
“Begitulah sikap mereka, hanya pandai kutuk dan menyalahkan ayahmu. Tak pernah cari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” bisik Mak Cik Piah kepadaku.
“Betul tu mak cik. Darah dalam tubuh adik beradik lebih pekat daripada darah orang lain. Satu hari nanti bila seseorang sudah tiada barulah kita sedar dan menyesal atas perbuatan kita terhadap adik beradik,” balasku. Aku merenung Mak Cik Piah. Kelihatan matanya berair, sebak.
Aku perhatikan ayah secara diam-diam. Aku kasihan, wajahnya menceritakan betapa rindunya dia pada saudara-saudaranya. Kerinduannya tidak dapat disembunyikan. Aku sebagai anak sulung yang sering mendampinginya, sudah faham dengan gerak-geri dan bahasa badan orang tua ini. Matanya kelihatan sayu, mungkin ada timbul penyesalan dalam lubuk hatinya tetapi dia tidak dapat memangkas ego itu. Dulu, waktu mak masih hidup, masalah ini tidak terjadi, bahkan hubungan dia dengan adik-beradiknya amat rapat. Kalau melawat rumah nenek ada saja cerita dan gurau senda ditimbulkan oleh ayah dan mak. Riuh dengan bunyi ketawa, ada saja buah tangan seperti ikan dan daging binatang hasil pemburuan ayah yang mereka bawa. Ipar-iparnya sayang pada mendiang mak. Pemergian mak membawa perubahan besar dalam hubungan ayah dan keluarganya. Begitu besar kuasa mak dalam menghubungkan saudara-mara, dia ibarat jambatan emas.
Aku terkejut bila telefon berdering. Banyak panggilan daripada Willy yang aku terlepas. Lantas aku mengangkat telefon, mungkin ada perkara penting yang adik mahu beritahu aku.
“Siapa panggil?”
“Willy.”
“Helo dik, apa khabar? Maaf, aku terlepas panggilan kamu. Apa hal?” tanyaku.
“Baik, cuma mahu tanya berita. Ayah lama dah tak menghubungi aku. Dia macam mana?”
“Baik. Ada di sini. Mahu berbual dengan dia?”
“Boleh.
“Nah.” Aku serahkan telefon kepada ayah. Cepat-cepat ayah menyambut telefon, wajahnya ceria, mungkin rindu dengan adik.
“Ayah apa khabar?”
“Baik nak, kamu sekeluarga macam mana?” tanya ayah.
“Baik saja. Begini, apa kata ayah datang ke sini? Tinggal di sini sampai hujung tahun ni. Nanti aku hantar ayah balik dan kami sekeluarga sambut tahun baharu di kampung,” kata Willy.
“Tak terdaya ayah, nak. Di sana bukan boleh buat apa-apa, bosan. Ayah tak mahu lama-lama tinggalkan orang rumah, risau juga rasanya,” balas ayah. Dulu ayah tidak macam itu, dia suka melawat anak-anaknya walaupun kadangkala ibu tidak ikut sama. Aku tahu niat adik. Dia cuba mendamaikan keadaan dengan cara berbincang bersemuka dengan ayah. Mak Cik Atong pernah memberitahu adik masalah ayah dengan adik-beradiknya.
“Jauh dah berubah, macam kita ni bukan anaknya lagi. Itu sebab dulu aku bantah dia kahwin lagi tapi abang tak sokong aku. Abang biarkan saja,” kata Willy dalam mesejnya yang dihantar kepadaku sejurus habis berbual dengan ayah.
“Abang tak pentingkan diri, dik. Abang tak mahu ayah kemurungan dan menjadi pemabuk. Abang pun tak sangka ayah berubah macam ni,” jelasku.
“Lama dia tak hubungi aku, sebab dia tahu aku tak setuju dengan keputusannya. Aku tak suka cara isteri baharunya, dia macam kawal ayah. Dulu mak tak buat ayah macam tu. Abang tengoklah sekarang,” balas Willy. Aku tahu dia menyalahkan aku. Mesejnya tidak aku balas lagi.
Aku tahu bapa saudara dan mak saudara kami berkali-kali menceritakan perubahan sikap dan kesilapan ayah kepada adik. Willy mungkin rasa tertekan. Sekarang dia seperti sudah tutup pintu dengan penjelasan aku. Dia menganggap sebahagian masalah ini berpunca daripada aku. Aku tidak mahu mengeruhkan keadaan. Biarlah bahu aku yang memikul masalah ini.
“Anak kamu?” Tiba-tiba ayah bersuara.
“Biasalah ayah, tiap-tiap bulan aku bagi belanja. Dah lapan tahun tak terasa.”
“Kasihan Lennea, jauh daripada kamu,” katanya lagi.
“Apa boleh buat, kalau dulu aku ada sikap bertolak ansur dengan keluarga isteriku, mungkin rumahtangga aku masih berdiri kukuh. Walaupun aku sedar bukan semuanya silap aku,” kataku.
"Dah takdirlah tu,” celah ayah.
“Jangan selalu menyalahkan takdir, ayah. Dalam semua perkara tak semestinya kita saja yang menang. Mahu tengok keadaan, mungkin orang lain ada betulnya, terutama dalam hubungan keluarga,” sambungku lagi. Memang aku tunggu peluang macam ini untuk menyedarkan ayah. Muka ayah berubah mendengar kataku. Mungkin dia terasa dengan sindiran itu.
Dulu aku punya ego yang tinggi. Memang betul kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Selepas keruntuhan rumahtanggaku, aku sedar. Aku buang sedikit demi sedikit kuah itu dan aku biarkan nasi itu menjadi kering. Biarlah aku mewarisi sikap yang baik saja daripada darah ayah. Sekarang aku banyak mengalah, terutama dalam hubungan adik-beradik.
“Mengalah bukan bererti kita tak ada harga diri tetapi itu kemenangan, demi kesejahteraan semua pihak,” kataku.
“Aku balik dulu, tu ada sayur-sayuran yang aku bawa. Kami banyak tanam sayur untuk dijual di tamu. Itu saja kerja kami,” kata ayah sambil bangkit.
“Lekasnya.”
“Em, tu kereta Arip dah sampai. Ayah tumpang dia tadi. Motosikal ayah masuk bengkel.”
“Hati-hati. Bila ayah datang lagi?”
“Tengok keadaan. Kalau tak banyak kerja, ayah datang lagi. Hari-hari kerja di kebun sayur sekarang.”
“Kalau letih jangan paksa, ayah dah tua,” nasihatku.
“Tahulah ayah,” balasnya.
Selepas beberapa hari, ayah datang melawat. Aku berasa resah. Aku jadi tidak menentu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena tetapi dalam rasa bimbang, timbul rasa keterujaan di hati.
“Kenapa hati aku berdebar-debar?” Sedang aku asyik melayani rasa gundah itu, tiba-tiba telefon aku berdering. Panggilan daripada Mak Cik Atong. Lantas aku angkat.
“Pak Cik Tomy kemalangan, cepat datang ke hospital Spaoh,” beritahu Mak Cik Atong, sebelum sempat aku bertanya apa-apa.
“Macam mana keadaannya?” tanyaku sebaik saja sampai di hospital. Semua adik-beradik ayah ada di situ, termasuk ahli keluarga Pak Cik Tomy.
“Tidak begitu parah, cuma dia perlukan darah yang sama dengan darahnya,” kata Mak Cik Piah berbisik kepadaku.
“Tadi aku menghubungi ayah, tapi telefonnya dimatikan,” kataku. Mereka terdiam. Riak pada muka mereka berubah, aku hairan.
“Dia yang paling awal sampai di sini. Awal-awal lagi aku sudah menghubungi dia,” kata Mak Cik Piah.
“Mana ayah?”
“Di dalam, derma darah. Darah dia saja yang sepadan dengan darah Pak Cik Tomy,” kata Mak Cik Atong.
“Syukur kepada Tuhan, ada hikmah juga perkara ini terjadi,” bisik hati kecilku. Syukur kepada Tuhan, Pak Cik Tomy selamat.
“Aku berharap bahtera keluarga ini akan bertambah baik agar tidak karam dan tenggelam. Tumbangkan tembok keegoan yang telah meleburkan rantai silaturahim. Bersatu kita bina istana agar keakraban kekeluargaan kita kukuh. Hulurkan salam keikhlasan, mohon maaf dan keampunan, buang yang keruh ambil yang jernih. Nescaya pada masa hadapan hubungan baik akan berterusan hingga ke generasi seterusnya. Puji dan syukur kepada Tuhan. Selamat Tahun Baharu.” Mesej tahun baharu yang aku hantar kepada kumpulan WhatsApps keluarga kami.
“Ayah ada.”
“Awal-awal lagi dia dah datang. Dia sedang berbual dengan nenek. Yang lain sibuk,” kata Mak Cik Piah.
“Sibuk?” tanyaku.
“Dengan telefonlah, apa lagi,” jawab Mak Cik Piah.
“Dia datang seorang?”
“Ya, ibu tirimu tak ikut. Ayah kamu kata dia sibuk dengan anak cucunya,” jawab Mak Cik Atong. Tiba-tiba ayah muncul dari belakang kami sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan aku.
“Satu petanda yang baik. Umpama kerak nasi, lama-kelamaan lembut juga bila terkena air. Syukur kepada Tuhan.” Aku gembira. Semuanya selamat.

