Anda di sini

Sabah sasar lebih 30 peratus pelajar lanjut pengajian bidang STEM

Advertisement
 Mohd Arifin (tengah) merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan, penganjur dan peserta yang menjayakan karnival berkenaan.
KARNIVAL: Mohd Arifin (tengah) merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan, penganjur dan peserta yang menjayakan karnival berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memperkasakan usaha bagi mencapai sasaran lebih 30 peratus anak-anak negeri ini melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi 2023-2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setakat ini, kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM di Sabah hanya sekitar 27 peratus.

"Kadar 27 peratus ini masih agak rendah berbanding penglibatan pelajar dari negeri lain di Semenanjung yang melebihi tahap 30 peratus.

"Ia juga masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60:40 iaitu 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera. Hal ini sangat membimbangkan kerana kita mahu sediakan modal insan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

"Justeru, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menerusi pelbagai usaha termasuk khusus pencapaian atau usaha membudayakan bidang STEM  di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival STEM 2023 Kategori Sekolah Menengah di Maktab Sabah di sini hari ini.

 Salah satu kumpulan peserta memberi penerangan kepada Mohd Arifin mengenai produk inovasi yang mereka hasilkan sempena Karnival STEM 2023.
PESERTA: Salah satu kumpulan peserta memberi penerangan kepada Mohd Arifin mengenai produk inovasi yang mereka hasilkan sempena Karnival STEM 2023.

Menurutnya, penglibatan pelajar dengan aktiviti dan program berkaitan STEM akan membantu dalam mencapai sekurang-kurangnya sasaran 30 peratus itu.

Selain itu, pihaknya turut melihat para pelajar yang menyertai karnival berkenaan begitu teruja dan ia sedikit sebanyak menyumbang minat serta menyemarakkan semangat pelajar untuk mendalami bidang STEM.

Dalam pada itu katanya, tahun ini karnival berkenaan berjaya menarik penyertaan berganda kepada 70 penyertaan berbanding 30 kumpulan peserta tahun sebelum ini.

"Saya mahu semua sekolah melihat pencapaian ini sebagai usaha meningkatkan minat dan kecintaan anak-anak kita dalam bidang STEM dan inovasi.

"Salah satu perkara yang kita perlu fokus ialah mempergiatkan usaha bagi memastikan kadar 27 peratus di Sabah akan meningkat. 

"Kita akan cari jalan untuk membantu sekolah-sekolah khususnya yang aktif dalam menganjurkan aktiviti berkaitan bidang STEM," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement