
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) sedia membantu Persatuan Bonsai Sarawak (SBA) sekiranya mahu menganjurkan kejohanan bonsai dan suiseki bertaraf antarabangsa di negeri ini.
Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bantuan ini bukan sahaja dari segi dana, bahkan kemasukan tanaman bonsai dari luar Sarawak untuk menyertai kejohanan terbabit.
"Memang jabatan penguat kuasa ada syarat kuarantin ditetapkan sekiranya mahu membawa masuk tanaman dari luar Sarawak, namun ia hanya tertakluk mereka yang masuk menyertai kejohanan.
"Jadi, kita akan menunggu daripada pihak penganjur (Persatuan Bonsai Sarawak) jika mahu melibatkan penyertaan dari luar Sarawak bagi memudahkan mereka menganjurkan acara berprestij bertaraf antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis perasmian Kejohanan Bonsai dan Suiseki - Terbuka Sarawak 2023 di La Promenade di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Hock Seng Lee (HSL) Tony Yu, Presiden SBA Johnson John dan Pengerusi Penganjur Kejohanan Hayes Teo.
Abdul Karim percaya kejohanan bonsai itu dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi seperti penganjuran Pertandingan Landskap Orkid sempena Persidangan Orkid Asia Pasifik (APOC) di Sarawak sebelum ini.
Menurutnya, minat masyarakat terhadap tanaman bonsai telah berkembang dan apabila ia meningkat sudah pasti mereka mahu tanaman itu dipertandingkan.
"Justeru, kita tidak mahu kejohanan bonsai dan suiseki ini hanya dihadkan dalam Sarawak sahaja, tapi kita perlu berfikir lebih meluas dengan melibatkan penyertaan dari luar Sarawak.
"Hal ini kerana sebelumnya kita telah menganjurkan pertandingan antarabangsa orkid dengan penyertaan dari Taiwan, Indonesia dan banyak lagi negara-negara luar.
"Jadi saya percaya bonsai dapat dilaksanakan, namun kita perlu mengikuti syarat ditetapkan oleh pihak jabatan penguat kuasa sekiranya mahu membawa masuk tanaman dari luar," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Kejohanan Bonsai dan Suiseki -Terbuka Sarawak 2023 di La Promenade kerana berjaya menarik ramai penyertaan menyertai acara tersebut.
Terdahulu, kira-kira 185 penyertaan melibatkan tanaman bonsai mengambil bahagian dalam Kejohanan Bonsai dan Suiseki -Terbuka Sarawak 2023 di La Promenade.
Ia sekali gus menjadikan jumlah penyertaan terbesar hasil sokongan peserta bermula dari Kuching hingga ke Miri.
Majlis menyaksikan seramai 22 pemenang menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing, manakala bagi anugerah berprestij hanya dirangkul oleh empat penerima.