KUCHING: Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan menganjurkan dua ceramah umum oleh penceramah dari Namibia dan Jerman yang akan membincangkan mengenai kemasukan digital, inovasi serta daya tahan.
Menurut kenyataan SDI, ceramah pertama akan mengetengahkan kerjasama serta kolaborasi dalam bidang kesejahteraan masyarakat, teknologi, pendidikan dan inovasi dengan kajian kes daripada dua komuniti di Donkerbos, Afrika Selatan dan di Long Lamai, Sarawak.
Sementara itu, ceramah kedua akan mengetengahkan pengalaman dan refleksi penceramah berhubung kerja mereka bersama pasukan kanak-kanak dari Namibia, Malaysia dan Finland dalam mereka bentuk bersama (co-designing) ruang reka bentuk dalam talian.
Jelasnya, ia bertujuan untuk menggalakkan penyertaan lebih meluas membabitkan kanak-kanak di seluruh dunia dalam mereka bentuk bersama, selain mewujudkan lebih banyak teknik dan alatan pemudahcaraan dalam talian.
Ceramah pertama bertajuk ‘A Global South Perspective on Digital Inclusion and Resilience’, akan disampaikan oleh Prof. Heike Winschiers-Theophilus dari Universiti Teknologi Namibia, Namibia pada hari Isnin, 24 Julai 2023, jam 2.30 petang di Bilik Persidangan, Kompleks AZAM.
Prof. Heike akan menyerlahkan perspektif, pengajaran dan peluang mengenai rangkuman dan daya tahan digital yang timbul daripada tindak balas terhadap pandemik COVID-19 melalui kerjasama Selatan-Selatan.
Ceramah kedua iaitu anjuran bersama Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang pula akan membincangkan ‘Teknologi, Alat, dan Teknik untuk Aktiviti Berasaskan Reka Bentuk Dalam Talian Bersama Kanak-kanak’.
Ia akan diadakan pada hari Selasa, 25 Julai 2023, jam 9.30 pagi di Auditorium, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang.
Ceramah akan disampaikan oleh Prof. Heike; Dr. Naska Goagoses dari Carl von Ossietzky University of Oldenburg Jerman dan Profesor Madya Dr. Tariq Zaman dari Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Media Kreatif UTS Sarawak.
Ceramah terbuka kepada orang ramai dan ia adalah atas dasar 'siapa cepat dia dapat'.
Individu yang berminat boleh mendaftar di https://tinyurl.com/6sv5dacd untuk ceramah pertama dan di https://tinyurl.com/5eumxrcf untuk ceramah kedua atau imbas kod QR di halaman FB dan laman web Institut Pembangunan Sarawak atau hubungi pejabat SDI di 082-415484/416484 atau e-mel [email protected] untuk maklumat lanjut.