Anda di sini

Dari Undup, Sri Aman ke kota New York, Amerika Syarikat

Advertisement

Dr Felicia Genie Tersan guru wanita pertama dari komuniti Iban berjaya menggenggam PhD dari Columbia University

 

Oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah

SIAPA yang menyangka bermula hanya sekadar angan-angan, Dr Felicia Genie Tersan muncul guru wanita pertama dari komuniti Iban yang berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Bahasa Inggeris (English Education) daripada universiti terkemuka dunia, Teachers College, Columbia University, New York, Amerika Syarikat. 

Columbia University merupakan salah satu daripada lapan universiti penyelidikan yang tersenarai dalam institusi Liga Ivy (Ivy League) sebaris dengan Princeton University, Brown University, Cornell University, Dartmouth College, Harvard University, University of Pennsylvania dan Yale University. 

Institusi dalam Liga Ivy dilihat sebagai universiti paling berprestij di dunia dan terkenal dengan saringan pemilihan pelajar pintar yang begitu ketat apabila kesemua institusi di dalamnya merekodkan kadar penerimaan pelajar di bawah 10 peratus. 

Felicia (dua kiri) sambil memegang bendera Sarawak merakamkan gambar kenangan di hadapan Statue of Liberty pada musim sejuk 2019.
Felicia (dua kiri) sambil memegang bendera Sarawak merakamkan gambar kenangan di hadapan Statue of Liberty pada musim sejuk 2019.

Menurut penarafan QS World University Rankings 2024, Columbia University berada pada kedudukan 23 universiti terbaik di dunia, manakala bagi Times Higher Education World University Rankings 2023, universiti berprestij ini berada pada kedudukan 11 terbaik di dunia. 

Felicia, 38, berasal dari Sungai Tanduk, Undup, Sri Aman, yang baru sahaja menyempurnakan upacara konvokesyennya pada 17 dan 18 Mei lepas, berkongsi pada awalnya pernah berasa dirinya tidak cukup ‘bagus’ untuk diterima masuk ke Columbia University, namun tidak menyangka usahanya untuk memperkenalkan Sarawak ke mata dunia diterima di institusi berkenaan. 

“Secara jujurnya, saya tidak terfikir akan diberi peluang untuk masuk ke Columbia kerana pertama yurannya mahal dan saya datang daripada keluarga yang sederhana, keduanya adalah saya berasakan tidak cukup ‘bagus’ untuk ke universiti ini. 

“Namun disebabkan minat penyelidikan saya dalam pembangunan profesional guru dan pendidikan komuniti luar bandar, saya memang tetapkan matlamat untuk sambung PhD di bawah penyelia saya yang kebetulan berada di Columbia dan sama minat penyelidikan dalam bidang ini. 

“Jadi saya mencuba nasib sahaja menghubungi beliau melalui e-mel dan menerangkan perancangan saya. Syukur juga dia memberi maklum balas yang positif dan menggalakkan saya untuk memohon ke situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di Miri. 

Beliau yang memulakan pengajian PhD pada Jun 2019 berkata, proses permohonan ke universiti terkemuka dunia ini juga cukup rumit dan mengambil masa. 

“Selain menuruti syarat di mana transkrip Sarjana dan Sarjana Muda, markah Ujian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (TOEFL), surat sokongan dan sebagainya perlu dihantar kepada pihak universiti itu, saya juga perlu menyediakan penyataan tujuan yang kukuh mengapa saya adalah orang yang sesuai bagi program PhD mereka. 

“Dari situ, ahli fakulti program pilihan saya menelaah permohonan saya dan memutuskan sama ada untuk menawarkan saya kedudukan untuk menjadi pelajar PhD Columbia University,” katanya.

Felicia mengetengahkan Sarawak di mata dunia dengan mengenakan selampai Iban pada jubah graduasi Columbia University semasa ‘Hooding Ceremony’.
Felicia mengetengahkan Sarawak di mata dunia dengan mengenakan selampai Iban pada jubah graduasi Columbia University semasa ‘Hooding Ceremony’.

PENGAJIAN DITAJA KPM

Felicia cukup bertuah kerana pengajian PhD beliau dibiayai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) di mana penerimanya adalah dalam kalangan pendidik yang mendapat cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa (CBBPDB). 

Felicia merakamkan gambar berlatar belakangkan para graduan lain semasa upacara konvokesyen Columbia University.
Felicia merakamkan gambar berlatar belakangkan para graduan lain semasa upacara konvokesyen Columbia University.

“Disebabkan itu, saya ‘berani’ memohon ke Columbia kerana dibiayai, itupun sebelum pergi, ibu bapa banyak berkorban untuk memastikan saya cukup berkemampuan secara kewangan untuk memulakan kehidupan di negara orang. 

“Tapi syukur apabila di sana, saya sedikit pun tidak menyusahkan ibu bapa berkenaan hal kewangan sebab memang tekad belajar PhD tanpa membebankan mereka memandangkan kedua-duanya telah bersara. 

“Sebagai anak rantau, kehidupan di negara orang bukannya mudah – sememangnya kos hidup di bandar New York adalah sangat tinggi. Ada ketika, parah apabila ketandusan wang amat dirasai kerana elaun tajaan semuanya digunakan untuk membayar sewa rumah yang mencecah lebih AS$2,000 (RM9,300) sebulan. Gaji yang diterima di Malaysia pula digunakan untuk komitmen-komitmen di Malaysia.

Selain mengenakan selampai Iban, Felicia turut membawa beg yang dibuat menggunakan kain pua kumbu yang ditenun menggunakan benang emas oleh mendiang neneknya semasa upacara konvokesyen.
Selain mengenakan selampai Iban, Felicia turut membawa beg yang dibuat menggunakan kain pua kumbu yang ditenun menggunakan benang emas oleh mendiang neneknya semasa upacara konvokesyen.

“Kadang-kadang bila terdesak, saya terpaksa mengambil bahan mentah dapur di pantri makanan percuma Columbia. Hakikatnya, kemahiran kebolehmandirian saya betul-betul diuji sepanjang tempoh pengajian. 

MENGETENGAHKAN BUDAYA IBAN DI AMERIKA

Felicia merakamkan gambar kenangan di hadapan pintu masuk ke Teachers College, Columbia University.
Felicia merakamkan gambar kenangan di hadapan pintu masuk ke Teachers College, Columbia University.

Felicia juga amat berbesar hati mewakili bangsa Iban memperoleh PhD di Columbia University, lebih-lebih lagi apabila tesis penyelidikannya bertajuk ‘Coaching Across Cultures: A Narrative Inquiry of Instructional Coaching in Rural Sarawak’ dipilih untuk menerima Anugerah Disertasi Kedoktoran. 

“Dari hasil pencarian saya dalam senarai alumni Columbia University, setakat yang telah saya temui memang tidak pernah ada pelajar bangsa Iban yang memperoleh PhD dari Columbia. Lantaran itu, saya nekad mengetengahkan identiti Iban semasa saya di sana, termasuklah di dalam tesis saya. 

Tangkap layar menunjukkan Felicia (atas kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Disertasi beliau selepas diumumkan tesis dibentangkan lulus.
Tangkap layar menunjukkan Felicia (atas kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Disertasi beliau selepas diumumkan tesis dibentangkan lulus.

“Dalam tesis, saya memang mengetengahkan negeri Sarawak dan budaya kita yang berbilang kaum, jadi apabila terpilih untuk menerima anugerah ini, saya sangat berbesar hati. 

“Bagi saya, ini bermakna negeri dan budaya masyarakat di Sarawak dihargai di pentas dunia. Apabila saya naik ke pentas untuk ‘doctoral hooding’, saya turut memakai selampai Iban pada jubah.

Felicia (tengah) bersama penyelianya Profesor Ruth Vinz (kanan).
Felicia (tengah) bersama penyelianya Profesor Ruth Vinz (kanan).

“Perasaan terharu dan bangga yang tidak dapat digambarkan – mengalir juga air mata saya bila mengenang dapat mengangkat nama dan bangsa Iban dan negeri Sarawak. 

“Bila memakai selampai Iban itu, sememangnya komuniti di sana bertanya dan saya ambil kesempatan itu untuk menerangkan mengenai ukiran pada selampai yang dipakai dan kaitannya dengan budaya masyarakat Iban.

Felicia (kiri) bersama suaminya ketika makan malam di kediaman Profesor Ruth bagi meraikan lulus PhD beliau.
Felicia (kiri) bersama suaminya ketika makan malam di kediaman Profesor Ruth bagi meraikan lulus PhD beliau.

“Semasa upacara konvokesyen, saya juga membawa beg yang dibuat oleh ibu saudara saya menggunakan kain pua kumbu yang ditenun menggunakan benang emas oleh mendiang nenek saya semasa saya masih kanak-kanak. Kain itu kini berusia lebih 30 tahun,” kongsi beliau.

Felicia ketika selesai menulis dan menghantar disertasi penuhnya ke pejabat Teachers College, Columbia University sebelum melalui proses viva voce.
Felicia ketika selesai menulis dan menghantar disertasi penuhnya ke pejabat Teachers College, Columbia University sebelum melalui proses viva voce.

BERDEPAN DENGAN LUMRAH HIDUP SEMASA DI PERANTAUAN

Felicia berada di hadapan arca gangsa Alma Mater dan Low Memorial Library Columbia University.
Felicia berada di hadapan arca gangsa Alma Mater dan Low Memorial Library Columbia University.

Felicia menyifatkan tempoh pengajian PhD selama empat tahun di Amerika Syarikat sebenarnya sangat singkat memandangkan adanya kelas-kelas yang perlu diambil dan tugasan yang perlu disiapkan pada setiap semester. 

“Cabaran paling besar buat saya adalah terpaksa berada jauh daripada keluarga – hanya berdua sahaja dengan suami di sana sepanjang tempoh tersebut. 

“Di pertengahan pandemik COVID-19, nenek suami saya meninggal dunia disebabkan kanser. Kami berdua amat sedih kerana tidak dapat pulang ke Malaysia di ketika itu oleh kerana prokotol yang ketat. 

“Dan, apabila mendapat khabar bapa saya pula yang menghidap kanser dan saya tidak dapat berada di Kuching untuk menjaganya, hati memang sangat pilu pada masa itu. 

“Justeru, saya kuatkan semangat untuk habiskan PhD secepatnya supaya dapat balik ke Sarawak untuk kembali bersama dengan bapa dan keluarga, ditambah pula mengenangkan ibu bapa yang semakin tua menguatkan semangat dan ikhtiar saya untuk fokus menghabiskan pengajian,” katanya.

Felicia (duduk dua kanan) bergambar di hadapan Graduate Writing Center dan ahli akademik dari University of KwaZulu-Natal (UKZN) Afrika Selatan yang mengadakan lawatan ke Teachers College, Columbia University.
Felicia (duduk dua kanan) bergambar di hadapan Graduate Writing Center dan ahli akademik dari University of KwaZulu-Natal (UKZN) Afrika Selatan yang mengadakan lawatan ke Teachers College, Columbia University.

TUBUHKAN KUMPULAN PENULISAN PELAJAR KEDOKTORAN

Felicia tidak menafikan menyiapkan PhD merupakan satu perjalanan sunyi yang dihadapi bersendirian seperti mana yang dikongsikan oleh pemegang PhD yang pernah menempuhinya sebelum ini. 

“Di Teachers College, Columbia University memang sudah ada ‘Graduate Writing Center’ yang lama ditubuhkan di mana mereka membantu pelajar dalam bidang penulisan akademik.

“Mereka sudah ada kumpulan penulisan untuk pelajar-pelajar PhD dan apabila mereka bersemuka kumpulannya tidak besar, dan sesi perjumpaan mereka lebih kepada duduk bersama untuk menulis dan tiada perkongsian ilmu.

“Disebabkan itu, apabila COVID-19 melanda dunia, saya memulakan ‘Doctoral Writing Group’ atau Kumpulan Penulisan Pelajar Kedoktoran dengan kerjasama ‘Graduate Writing Center’ berkenaan dan kami bertemu sekali seminggu secara dalam talian selama tiga jam untuk menulis bersama. 

“Setiap minggu saya akan mengetuai pertemuan itu, dan kami bersama-sama membuat penetapan matlamat, menjejak progres penulisan dan membuat perkongsian berkaitan dengan penulisan akademik dengan ahli-ahli kumpulan. 

“Ahli-ahli yang terdiri daripada pelajar PhD turut bersama membuat perkongsian. Bagi saya, kewujudan komuniti penulisan akademik seperti ini sangat penting agar pelajar PhD tidak berasa sunyi dan bersendirian dalam menyiapkan tesis,” jelasnya. 

PENGALAMAN, CABARAN DAN KEPERLUAN PEMBIMBING GURU (SISC+)

Pengalaman Felicia sebagai School Improvement Specialist Coach Plus (SISC+) atau dikenali sebagai Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah sejak 2014 memberi inspirasi kepadanya untuk menjalankan kajian kualitatif berbentuk inkuiri naratif yang berfokus kepada pengalaman, cabaran dan keperluan pembimbing guru SISC+.

“Informan kajian saya terdiri daripada SISC+ yang membimbing guru-guru di kawasan pedalaman Sarawak yang memang kita tahu terdiri daripada etnik yang berbilang kaum. 

“Antara dapatan kajian penting yang diketengahkan oleh para informan ialah perlunya persediaan dan sokongan untuk para pembimbing guru ini mengikut konteks masing-masing dan perlu menitikberatkan budaya komuniti di kawasan masing-masing. 

“Hakikatnya, cabaran dan keperluan kita di Sarawak adalah lain dan unik, maka perlu adanya persediaan dan sokongan yang beracuankan Sarawak,” ujarnya. 

Oleh itu, beliau berharap dengan kepakaran yang beliau miliki ini dapat menyumbang dari segi meningkatkan sokongan kepada guru-guru di Sarawak terutamanya guru-guru Bahasa Inggeris mengikut keperluan dan kekuatan serta kelebihan komuniti di tempat sekolah mereka berada. 

Selain itu, Felicia juga berharap dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris melalui program-program yang beracuankan Sarawak demi meningkatkan potensi dan kebolehpasaran anak-anak Sarawak di pentas dunia.

IMPIAN BESAR DAN BERCITA-CITA TINGGI

Dengan itu, Felicia menasihatkan anak-anak Sarawak yang sedang menempuh alam persekolahan mahupun pengajian tinggi agar berusaha dan tidak putus asa dalam menggapai cita-cita tinggi. 

“Tiada apa yang mustahil. Tetapi, tanpa usaha, kita tidak dapat merealisasikan mimpi kita. Semuanya boleh digapai bila kita ada usaha dan matlamat,” nasihatnya. 

Dalam pada itu, Felicia telah berada dalam perkhidmatan pendidikan selama 14 tahun di mana beliau memulakan kerjayanya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa pada tahun 2009 dan sekolah terakhir di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching Utara pada tahun 2014 sebelum berkhidmat sebagai Pegawai SISC+ Bahasa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan dari tahun 2014 hingga kini. 

Terdahulu, Felicia memiliki Sarjana Muda Pendidikan (Dengan Kepujian) Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Pendidikan TESL dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
 

Advertisement