Anda di sini

Pupuk hobi tanam bonsai, suiseki dalam kalangan anak muda

Advertisement
Johnson bersama salah satu bonsai miliknya.
Johnson bersama salah satu bonsai miliknya.

KUCHING: Persatuan Bonsai Sarawak (SBA) menggalakkan lebih ramai anak muda dari peringkat sekolah rendah dan masyarakat Bumiputera untuk memulakan hobi menanam bonsai dan suiseki.

Dalam budaya tradisional Jepun, suiseki ialah batu kecil yang wujud secara semula jadi atau berbentuk yang dihargai kerana nilai estetika atau hiasannya. 

Sementara itu, bonsai pula adalah seni Jepun dan Asia Timur menanam dan melatih pokok kecil dalam bekas yang dibangunkan daripada bentuk seni tradisional Cina penjing.

"Anak-anak hari ini banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit atau peranti teknologi lain. 

Johnson (kiri) bersama Teo bergambar bersama trofi dan plak Kejohanan Bonsai dan Suiseki - Terbuka Sarawak 2023 di La Promenade Mall hari ini.
Johnson (kiri) bersama Teo bergambar bersama trofi dan plak Kejohanan Bonsai dan Suiseki - Terbuka Sarawak 2023 di La Promenade Mall hari ini.

"Cara kita mengajar mereka untuk memulakan hobi baru ini yang akan diteruskan sehingga mereka berusia nanti adalah dengan penglibatan ibu dan bapa sekali.

"Supaya suatu hari nanti, hobi menanam bonsai akan menjadi popular mengikut peredaran zaman," ujar Setiausaha SBA yang juga Pengerusi Penganjur Kejohanan Bonsai dan Suiseki - Terbuka Sarawak 2023 Hayes Teo.

Teo berkata, ramai yang tidak tahu bahawa bonsai mempunyai nilai tinggi mengikut umur dan keseniaan yang ada padanya.

Di Indonesia dan Semenanjung Malaysia katanya, masyarakat pelbagai kaum dan agama menyertai hobi berkenaan, selain kaum Cina.

Oleh sebab itu katanya, sempena dengan kejohanan itu pada 20 hingga 29 Julai ini, pihaknya menjemput 50 pelajar dari Sekolah Chung Hua di sini untuk menyertai bengkel bonsai pada 27 Julai jam 2 hingga 4 petang.

Teo berkata, beliau berharap lebih banyak sekolah menghantar penyertaan sebagai kesedaran kepada anak-anak hari ini untuk mencintai alam hijau dan terutama bonsai.

Sebanyak 22 kategori dipertandingkan untuk kejohanan kali ke-25 itu melibatkan 209 penyertaaan dan 185 daripada adalah untuk kategori bonsai sahaja.

"Kita juga mempunyai penyertaan yang teramai berbanding tahun lalu dan melibatkan mereka di dalam Sarawak sahaja," tambahnya.

Beliau bagaimanapun merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bagi memberi kelonggaran berkaitan kemasukan bonsai dari luar Sarawak.

Abdul Karim turut dijadualkan untuk merasmikan kejohanan berkenaan pada 23 Julai, jam 11 pagi.

Orang ramai boleh melayari Sarawakbonsaiassociation di laman sosial Facebook untuk sebarang pertanyaan atau penyertaan.

Sementara itu, Presiden SBA Johnson Jong turut menyatakan perancangan untuk menganjurkan Jelajah Bonsai bersama peserta dari lebih 50 negara yang menyertai 10th World Bonsai Convention pada 28 hingga 31 Ogos 2026.

"SBA mengubah masa penganjuran ke pertengahan tahun bermakna pokok-pokok akan mekar sepenuhnya. Biasanya, selepas musim hujan, bonsai tidak akan berada pada tahap terbaik. 

"Memandangkan sekarang adalah musim kemarau, pokok-pokok itu berada pada kemuncak kecantikan," jelasnya.

Turut hadir sama adalah Pengarah HSL Realty Sdn Bhd Yu Ji.
 

  • oleh
  • Advertisement