
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri bakal membuka sebuah Galeri Seni di pusat bandar raya Kuching menjelang suku pertama tahun 2025 bagi mempamerkan lukisan mereka yang berbakat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bangunan tersebut masih dalam proses pengubahsuaian.
"Kami merancang untuk mempunyai Galeri Seni menggunakan bangunan lama yang pernah digunakan oleh Majlis Perbandaran Kuching (KMC) berhadapan dengan Balai Polis Sentral di sini.
"Ada sedikit pengubahsuaian yang perlu dilakukan terutama bahagian lantainya. Bahagian itu saya mahu ia diperkukuhkan dahulu. Setelah selesai semuanya, kami akan mengadakan pembukaan rasmi," ujarnya selepas merasmikan Borneo Ilustration and Creative (BIC) Festival Vol.2 yang bertemakan 'Hari Sarawak, Kebangkitan Budaya Perayaan' di La Promenade Mall di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, galeri pertama seumpamanya itu terletak berdekatan dengan bangunan-bangunan bersejarah lama di Kuching, sekali gus berupaya menjadi lokasi pilihan kepada para pelancong.
Bagaimanapun, beliau meminta cadangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan seni lukis untuk membantu dalam bidang pengurusan galeri berkenaan kelak.
"Saya tahu di seluruh Sarawak terdapat begitu ramai artis, saya rasa semua orang mahu melihat karya seni mereka berada (dipamerkan) di sana (galeri).
"Jadi kami serahkan kepada mereka sebuah jawatankuasa untuk menentukan hasil seni yang patut ada di sana dan bagaimana untuk menyimpan serta menukarnya (melibatkan lukisan untuk dipamerkan kepada orang ramai)," tambahnya.
Dengan usaha sedemikian jelasnya, ia berupaya membantu warga pelukis mempromosikan diri mereka ke peringkat antarabangsa.
Beliau sendiri tambahnya, begitu mengagumi hasil lukisan anak seni tempatan Sarawak yang banyak ditempatkan di pejabat rasminya di sini.