
KOTA SAMARAHAN: Borneo Illustration and Creative (BIC) Festival Vol. 2 yang bermula hari ini hingga 9 Julai di La Promenade Mall di sini bakal memberi pengalaman yang mengujakan kepada para pengunjung.
Hock Seng Lee (HSL) menerusi satu kenyataan hari ini menjemput peminat seni untuk bersama menerokai dunia seni kreatif yang pelbagai dan bertenaga dalam persekitaran yang inklusif pada pameran tersebut.
Pameran itu dirasmikan oleh Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah diiringi isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.
"Sudah dua kali saya menghadiri pameran berkaitan seni di La Promenade Mall dan saya gembira kerana HSL sememangnya memberi sokongan kepada para artis mempamerkan hasil mereka," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Menurut kenyataan HSL lagi, para pengunjung bukan sekadar berpeluang menonton, malah melibatkan diri dalam pelbagai acara menyeronokkan sepanjang festival itu berlangsung.
Ia juga salah satu usaha untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu serta sebagai penghormatan kepada artis tempatan.
"Ia berfungsi sebagai saluran untuk mencari bakat tempatan dan meraikan kreativiti, bertindak sebagai jambatan penghubung antara pemain industri kreatif dan orang ramai.
"Selain itu, ia bertujuan untuk meningkatkan penerimaan dan meningkatkan tahap kesedaran dan penghargaan terhadap seni, warisan dan budaya," kata penganjur Creative Umbrella Co Nia Latif.
Seramai 36 peserta menyertai pemasangan 'pokok solidariti' pada pameran tersebut dan para pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam acara percuma seperti projek seni kolaboratif 'Perpaduan dalam Kepelbagaian' yang mempromosikan perpaduan dan toleransi budaya.
Artis dan pengunjung juga boleh merakamkan kenangan indah dan keistimewaan Sarawak dalam sudut ilustrasi 'Love For Sarawak,' manakala kaligrafi dan lukisan Cina turut dipamerkan.
Tiada bayaran masuk ke Festival BIC Vol. 2 yang berhasrat untuk memberi inspirasi dan perubahan, mempamerkan inti pati kreatif Sarawak dan menggalakkan keamanan budaya melalui seni.