Anda di sini

MoU perkukuh komitmen kerjasama antara Universiti UCSI dan FUI Pakistan

Advertisement
Prof Dr Amir Gulzar (kiri), Pro Rektor Dr Abdul Ghafoor (dua kiri), Rektor Mejar Jeneral Nasir Dilawar Shah (tiga kiri), Pro Mukvinder (tiga kanan), Christopher (dua kanan) dan Alexa ( kanan) merakamkan kenangan.
Prof Dr Amir Gulzar (kiri), Pro Rektor Dr Abdul Ghafoor (dua kiri), Rektor Mejar Jeneral Nasir Dilawar Shah (tiga kiri), Pro Mukvinder (tiga kanan), Christopher (dua kanan) dan Alexa ( kanan) merakamkan kenangan.

KUCHING: Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti UCSI (Kampus Sarawak) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Foundation Universiti Islamabad (FUI) Pakistan, baru-baru ini.

MoU itu akan memberi komitmen kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam pelbagai usaha tidak terhad kepada pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, memulakan penyelidikan kolaboratif, pemadanan geran pembiayaan dan artikulasi program program terpilih.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Hotel UCSI dan dirasmikan oleh Naib Pro Canselor Kampus Mukvinder Kaur Sandhu dan Mejar Jeneral Nasir Dilawar Shah selaku Rektor FUI.

Turut hadir Profesor Dr Abdul Ghafoor (Pro-Rektor FUI), Profesor Dr Amir Gulzar, (Pendaftar FUI), Alexa Loi (Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan) Penolong Profesor Christopher Wan Sageng (Dekan Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan) dan ketua akademik lain di Universiti UCSI Kampus Sarawak.

Mengenai MoU itu, Mukvinder dalam ucapannya menekankan bahawa Universiti UCSI menghargai perkongsian antarabangsa ini kerana mereka bekerjasama dalam program pendidikan dan inisiatif akademik. 

Pihak universiti katanya, juga akan terus menjalankan peranannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi untuk menyediakan pendidikan berkualiti di rantau ini dan menghasilkan pelajar yang bersedia untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan dalam negara dan dunia.

Kampus itu juga bertujuan menyediakan pelajar dengan persekitaran pembelajaran yang kaya dan mantap yang terdiri daripada pengalaman antarabangsa yang membolehkan mereka mengasah kecekapan silang budaya yang sememangnya penting hari ini, katanya.

Menurutnya lagi, baru-baru ini universiti menjadi tuan rumah kepada sejumlah 150 pelajar dari Sekolah Perniagaan Jaipuria, India dalam usaha memulakan program mobiliti dan pertukaran pelajar dengan lebih banyak rakan kongsi antarabangsa.

Universiti itu akan menerima pelajar dari Australia, Mauritius dan Filipina pada akhir tahun ini di bawah program sama, jelasnya.

Universiti UCSI kini merupakan salah satu daripada 284 universiti terbaik dunia menurut QS World University Rankings 2023, menempatkan 0.9 peratus teratas daripada semua universiti di dunia.

Ini menjadikan universiti itu universiti swasta terbaik di Malaysia, berada di kedudukan keenam selepas universiti awam negara dan universiti itu terus berinovasi dan mengangkat martabat universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 082-596965, log masuk ke laman Facebook UCSI Kampus Sarawak, www.facebook.com/ucsisarawak atau halaman pendaratan UCSI Kampus Sarawak, apps.ucsiuniversity.edu.my/ucsiswk/index.aspx untuk maklumat lanjut.
 

Advertisement