Anda di sini

SEC bayar dividen RM10 juta kepada kerajaan negeri

Advertisement
 Hajiji (dua kanan) menerima bayaran dividen SEC berjumlah RM10 juta daripada Annuar (dua kiri). Turut kelihatan Adzmir (kiri).
DIVIDEN: Hajiji (dua kanan) menerima bayaran dividen SEC berjumlah RM10 juta daripada Annuar (dua kiri). Turut kelihatan Adzmir (kiri).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerima bayaran dividen berjumlah RM10 juta daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menerima cek pembayaran dividen berkenaan daripada Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEC Adzmir Abd Rahman di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Adzmir menjelaskan, SEC dan kumpulan syarikatnya mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM47.9 juta pada 2022.

Beliau berkata, anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn Bhd menyumbang kepada SEC dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM28.8 juta. Keuntungan persendirian sebelum cukai bagi SEC adalah berjumlah RM22 juta.

"Sehingga kini, jumlah sumbangan dividen SEC kepada kerajaan negeri berjumlah RM241 juta dengan peningkatan keuntungan terkumpul selepas pelaburan semula bagi Dana Pemegang Saham kepada lebih RM1 bilion pada akhir 2022.

"Sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Sabah, SEC kini memainkan peranan utama dalam pertumbuhan perindustrian dan ekonomi rantau ini," katanya.

Adzmir berkata, SEC komited untuk meningkatkan operasi perniagaan dan keuntungannya dalam sektor tenaga, sejajar dengan objektif kerajaan negeri untuk mempunyai lebih banyak penyertaan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam industri tenaga.

Menurutnya, dengan pangkalan pelanggan dan kawalan infrastruktur yang semakin berkembang, SEC berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti.

Katanya, ia sekali gus akan meningkatkan keuntungan dan memberi impak positif kepada rakyat Sabah melalui pembayaran dividen berterusan kepada kerajaan negeri.
 

  • oleh
  • Advertisement