Anda di sini

Sarawak sedia jadi tuan rumah konsert antarabangsa di Malaysia

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak sedia menjadi tuan rumah untuk penganjuran konsert antarabangsa di Malaysia selagi ia mematuhi peraturan dan undang-undang, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, seperti Festival Muzik Borneo Live yang disertai termasuk superstar antarabangsa Alan Walker dan DJ Soda tahun lalu, Sarawak memastikan konsert itu dapat dipentaskan dan dilaksanakan dengan teratur.

“Orang ramai yang menghadiri festival itu di luar jangkaan kami. Jadi kami tidak boleh generalisasi seluruh Malaysia sebagai sama. 

“Banyak acara yang kami adakan di sini tidak begitu ketat pada pakaian asalkan tidak berbogel," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan berita bahawa Malaysia terlepas 'loteri ekonomi' selepas kumpulan popular British Coldplay mengumumkan lawatan enam hari di Singapura pada 23, 24, 26, 27, 30 dan 31 Januari tahun depan.

Di Malaysia, satu-satunya konsert Coldplay di Kuala Lumpur pada 22 November mendapat tentangan antara lain oleh PAS atas dakwaan mempunyai kaitan dengan komuniti LGBT.

Abdul Karim mengatakan walaupun Singapura agak terbuka tetapi dalam keterbukaan itu ada juga had-had yang mesti diikuti oleh penghibur dan penonton konsert.

"Kalau berbogel, kena tangkap. Sama juga dengan mengambil dadah pun kena tangkap. Begitu juga di sini. 

“Yang penting bagaimana kita kawal dan laksana undang-undang. Ia (konsert antarabangsa) boleh dilakukan (di sini)," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement