Anda di sini

Menyuburkan kebebasan media dalam landskap kewartawanan terbuka

Advertisement
 Chamil (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Perdana Menteri selepas merasmikan MWM 2023 di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.
TERIMA KASIH: Chamil (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Perdana Menteri selepas merasmikan MWM 2023 di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.


TERBAIK, mantap dan gemilang. Demikian `posting' para jagoan wartawan di laman `sosmed' masing-masing seusai Malam Wartawan Malaysia (MWM) Jumaat lepas.

Ia merupakan perhimpunan terbesar kedua komuniti wartawan se-Malaysia berselang dua minggu, selepas Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Ipoh, Perak.

MWM siri ke-42 itu diadakan bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM). 

MWM kali pertama diadakan pada 16 September 1981, manakala HKM diperkenalkan pada tahun 1980. 

Syabas buat Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang diterajui oleh Datuk Dr Chamil Wariya selaku Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

MWM 2023 mencipta sejarah tersendiri. Selain menghimpunkan komuniti wartawan seluruh negara, ia turut merekodkan penyertaan terbanyak yang sememangnya diharapkan penganjur dan menawarkan hadiah lumayan yang pastinya mengembirakan para wartawan.

Lebih istimewa MWM 2023 dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat yang menyampaikan hadiah-hadiah utama.

Kehadiran Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil bersama timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, adalah manifestasi dukungan kuat KKD terhadap dunia kewartawanan.

Dua acara besar ini - Hawana dan MWM - adalah ubun-ubun dan penanda aras komuniti wartawan di negara ini. 

Justeru, kehadiran berturut-turut pemimpin tertinggi kerajaan dalam kedua-dua acara tersebut yang berselang cuma dua minggu, menjadi petanda jelas kesungguhan pimpinan mengiktiraf kepentingan wartawan dalam lingkungan luas dan terbuka dunia kewartawanan.

Ucapan Perdana Menteri pada MWM senada dengan amanatnya pada Hawana -- pentingnya kebebasan media disuburkan dalam landskap kewartawanan beretika dan bertanggungjawab.

Berucap tanpa membaca teks, Perdana Menteri menghuraikan peranan wartawan dalam mendidik dan membangun masyarakat. 
Baginya, cetusan idea yang pragmatik dan bertatasusila penting bagi pembinaan sebuah negara bangsa.

Yang lebih utama lagi, ia harus berpaksi pada tiang demokrasi tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dan integriti.

Mengakui situasi industri media yang merudum akibat rempuhan arus digitalisasi, Perdana Menteri turut mengajak komuniti wartawan bergandingan usaha ke arah memupuk semangat minat membaca yang mendalam dalam kalangan masyarakat, kerana ia penting sebagai wadah menimba ilmu selain mampu menyegarkan semula kemajuan industri itu dalam kerangka ekonomi jangka panjang.

Apapun, MWM 2023 sememangnya amat berjaya dan cukup gemilang sifatnya. 

 

Kejayaan luar biasa itu terhasil daripada komitmen tinggi dan dedikasi yang padu daripada Datuk Dr Chamil Wariya bersama pasukannya dalam MPI, dengan sokongan kuat Petronas selaku penaja utama.

Sebagai veteran media, Chamil menumpahkan sepenuh kudratnya bagi memastikan MWM dan HKM benar-benar berjaya demi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada rakan wartawan seperjuangan.

Tahniah dan syabas kepada Chamil dan pimpinan MPI atas kejayaan luar biasa MWM dan HKM.

Semoga HKM terus unggul dengan tiga misi utamanya. Pertama, memberi hadiah kepada para wartawan yang menghasilkan tugas yang cemerlang tanpa mengira bahasa karya-karya digarap; kedua, meningkatkan mutu kewartawanan dan ketiga, untuk menggambarkan usaha wartawan dalam memaklumatkan khalayak, meliputi semua media massa.

Penghargaan juga harus diberikan kepada MPI atas komitmen berterusan menerusi HKM bagi menyuburkan kewartawanan beretika dan bertanggungjawab di negara ini.
 

Advertisement