KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak sebagai pertubuhan bukan kerajaan akan terus menyumbang usaha dalam memperkasa keharmonian dan perpaduan masyarakat di negeri ini.
Pengerusinya William Nyigor berkata, antara usaha berterusan ialah mengambil inisiatif menganjurkan sambutan perayaan sebagai keutamaan dalam program dan aktiviti.
“Usaha ini juga adalah untuk menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam memastikan nilai dan keharmonian pelbagai budaya di Sarawak boleh dikekalkan.
“Kita juga perlu menghargai dan menghormati seberapa banyak tradisi tempatan dan masyarakat yang pelbagai untuk membentuk identiti sosial tempatan dan pelbagai etnik di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program anjuran Kumpulan Besar AZAM Sarawak dengan bertemakan Raya Gawai di sini, hari ini.
Nyigor juga berharap Kumpulan Besar AZAM Sarawak akan sentiasa menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dan etnik masing-masing.
“Ini bagi mewujudkan keadaan harmoni antara pekerja serta mengukuhkan keharmonian sosial Sarawak sebagai tanggungjawab moral dan menyumbang untuk menjadikannya aset sosioekonomi yang kukuh.
“Justeru, acara ini diharapkan dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli dan kakitangan yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.
Dalam pada itu, majlis turut memuatkan program interaktif seperti cabaran menganyam ‘ketupat’, meniup sumpit, menembak belon serta hiburan lain.
Terdahulu, kira-kira 100 orang menghadiri program tersebut yang terdiri daripada ahli AZAM Sarawak dan Institut Pembangunan Sarawak (SDI), Sukarelawan Belia AZAM dan lain-lain.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi AZAM Sarawak Dato Norhyati Mohd Ismail, Ahli Lembaga Pengarah SDI Datu Hii Chang Kee dan tetamu kehormat lain.