Anda di sini

Warga emas rugi RM1.2 juta jadi mangsa 'phone scam' 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang warga emas rugi RM1.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan melalui 'phone scam' yang menyamar menjadi kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia, pada Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (gambar) berkata, mangsa berumur 66 tahun itu merupakan seorang pesara swasta sebuah syarikat di daerah Miri.

Menurutnya, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali dari KKM pada 18 April sebelum panggilan disambung kepada suspek yang mengaku sebagai 'Sarjan Wong' dan 'Insp Khoo' dari Kota Kinabalu, Sabah.

"Suspek kemudian mengatakan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan tangkapan akan dibuat ke atas mangsa.

"Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan memohon agar dirinya tetap berada di Bandaraya Miri, Sarawak semasa siasatan dijalankan kerana menghidap kanser usus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Azman berkata, suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan milik mangsa sebelum suspek mengarahkan mangsa membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan.

"Mangsa bagaimanapun telah membuka dua akaun bank baharu di dua buah institusi kewangan tempatan di Miri pada 19 dan 20 April.

"Selepas itu, mangsa telah memberikan maklumat baharu serta ID dan kata laluan perbankan atas talian kepada suspek," jelasnya.

Tambahnya, mangsa seterusnya diarahkan oleh suspek untuk memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun Ambank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dua bank yang baharu dibuka.

Kata Azman, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah memeriksa baki wang dalam kedua-dua akaun bank baharu itu telah dipindahkan pada 8 Jun.

"Mangsa ketika itu menyedari wang keseluruhan RM1.2 juta telah dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei lalu.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Justeru, pihak polis mengingatkan orang ramai untuk tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali.

"Masyarakat juga dinasihatkan tidak memberi maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement