Anda di sini

Setiausaha Kerajaan Negeri berikrar bantu memperkemas industri burung walet di Sarawak: Tiong

Advertisement
Tiong (tiga kiri) mengetuai peniaga sarang burung walet yang terjejas ketika mengadakan pertemuan dengan Abu Bakar di Kuching pada 6 Jun lalu.
Tiong (tiga kiri) mengetuai peniaga sarang burung walet yang terjejas ketika mengadakan pertemuan dengan Abu Bakar di Kuching pada 6 Jun lalu.

SIBU: Isu permohonan lesen perusahaan sarang burung walet dan rampasan sarang burung walet yang bernilai RM3 juta di sini pada bulan lepas telah mendapat perhatian daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Dato Sri Tiong King Sing berkata, kedua-dua isu tersebut telah dibincangkan bersama peniaga terjejas ketika mengetuai pertemuan dengan Abu Bakar di Kuching pada 6 Jun lalu.

"Perbincangan ini adalah berkaitan dengan kes rampasan stok sarang burung walet yang dirampas oleh Pegawai Penguatkuasa Sarawak Forest Corporation (SFC) bernilai RM3 juta di Sibu di mana saya telah mengetuai delegasi (peniaga terjejas) untuk bertemu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Setiausaha Kerajaan Negeri berikrar untuk membantu memperkemas industri itu.

"Konsensus awal tentang cara untuk bergerak ke hadapan dicapai semasa perbincangan kami," katanya dalam satu kenyataan pada petang Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, selepas memahami isu itu, Abu Bakar berjanji untuk berkoordinasi dengan agensi berkaitan bagi membantu peniaga sarang burung dan pengusaha tidak berlesen menyelesaikan proses permohonan lesen bagi memastikan semua sarang burung dijual mengikut garis panduan.

Selain memastikan keselamatan kepada pengguna, ujarnya, langkah ini juga bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan peniaga. 

Sebaik sahaja urusan peniaga ini dipermudahkan dan sah di sisi undang-undang, tegasnya lagi, tindakan merampas bekalan sarang burung bernilai RM3 juta seperti insiden tersebut dapat dielakkan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian perniagaan yang tidak perlu.

"Maklum balas dan aduan daripada pengusaha sarang burung dan rumah burung walet semuanya tertumpu kepada proses yang panjang untuk mendapatkan permit bagi rumah ternakan itu yang menyebabkan banyak perniagaan seumpama itu di Sarawak beroperasi tanpa permit. 

"Kami memerlukan pihak berkuasa untuk melihat serta mengkaji semula proses permohonan (permit/lesen) bagi memudahkan dan menyelaraskannya, serta memendekkan masa untuk kelulusan. 

"Ini kerana masa adalah wang untuk perniagaan tersebut," tegasnya yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pada masa yang sama, Tiong menjelaskan juga semasa pertemuan itu mereka turut membincangkan bagaimana untuk menyelesaikan kes rampasan sarang burung dengan Jabatan Peguam Negara dan agensi penguatkuasaan lain yang terlibat.

Beliau berkata, penyimpanan dan penjagaan bekalan sarang burung walet ini perlu dikendalikan dengan teliti untuk mengelakkan lebih banyak kerugian. 

"Kita mahu mempercepatkan prosedur permohonan pemulangan rampasan yang dibuat pihak SFC tersebut bagi mengelakkan lebih banyak perkembangan yang tidak menyenangkan.

"Jika bekalan ini hilang disebabkan kelewatan prosedur, peniaga ini akan menanggung kerugian yang sangat banyak.

"Pihak berkuasa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka dalam perkara ini," katanya.

Justeru, beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu untuk penyelesaian situasi menang-menang kepada isu yang ini terutama dalam memulangkan sarang burung walet yang dirampas. 

Beliau turut memberitahu bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri akan melaporkan penyelesaian perkara ini kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Saya juga berikrar akan memantau perkara ini sehingga ia berjaya dimuktamadkan dan semoga isu sebegini tidak berulang lagi pada masa akan datang," tambahnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement