Anda di sini

Pengiktirafan menyemarak semangat wartawan: Fahmi

Advertisement
 Pemenang pelbagai kategori yang dipertandingkan bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MALAM WARTAWAN: Pemenang pelbagai kategori yang dipertandingkan bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berjaya merangkul tiga anugerah bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022, pada Malam Wartawan Malaysia 2023.

Wartawan Meja Rencana dan Isu Semasa Bernama, Nurul Isnaini Mohd Muslim dinobatkan pemenang emas bagi kategori Rencana Cemerlang yang membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 dan sijil.

Beliau berjaya menambat hati panel juri menerusi tiga rencana bertajuk High Schools for Girls Become Battleground for Afghanistan's Future, Under Taliban 2.0, Women Wait in Fear for the Real Face to Emerge dan Desperate Afghans Beg for Crumbs at Bakeries.

Sementara itu, bagi kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang tiga wartawan Bernama, Sakina Mohamed, Wan Muhammad Aslah Wan Razali dan Ummul Syuhaida Othman, dinobatkan pemenang gangsa yang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil.

Bagi kategori Laporan Radio Terbaik, wartawan penyiaran Bernama Radio Muhammad Azim Zaid muncul sebagai pemenang perak menerusi laporan ‘Menara Gading di Sebalik Tirai Besi’ dan membawa pulang hadiah wang tunai serta sijil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke majlis berprestij itu, diiringi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya dan Naib Presiden Eksekutif Petronas Liza Mustapha.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.

Nurul Isnaini ketika ditemui berkata beliau tidak menyangka laporan rencana itu mampu menarik perhatian juri, lebih-lebih lagi penulisan itu menyentuh isu antarabangsa.

 Pengarah Urusan The Borneo Post, Dato Henry Lau Lee Kong, dipilih penerima Anugerah Tokoh Media Tahun 2022.
TOKOH MEDIA: Pengarah Urusan The Borneo Post, Dato Henry Lau Lee Kong, dipilih penerima Anugerah Tokoh Media Tahun 2022.

“Saya berbesar hati untuk menerima anugerah ini dan saya berharap kami akan menghasilkan lebih banyak berita berkualiti tinggi dan mungkin menyasarkan kejayaan lebih tinggi seperti Hadiah Kajai pada masa akan datang,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia media.

Bagi Muhammad Azim, beliau menyifatkan kemenangan itu merupakan pengiktirafan besar selepas 10 tahun berada dalam bidang kewartawanan.

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan cemerlang sepanjang tahun.

Sementara itu bercakap kepada pemberita, Fahmi berkata pengiktirafan diberikan kepada wartawan dan petugas media itu, diharap mampu menyemarak semangat golongan tersebut untuk melaksanakan tugas secara lebih beretika.

“Selain itu, kementerian juga dengan MPI serta agensi media akan terus mencari ruang dan peluang memastikan isu-isu berkaitan media khususnya perihal etika dapat ditambahbaik,” katanya. - Bernama.

 Wartawan veteran, Datuk Seri Azman Ujang (tengah) dan Datuk Dr Jeniri Amir (kiri) bersama Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui (kanan) antara yang hadir pada majlis itu.
ORANG MEDIA: Wartawan veteran, Datuk Seri Azman Ujang (tengah) dan Datuk Dr Jeniri Amir (kiri) bersama Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui (kanan) antara yang hadir pada majlis itu.
Advertisement