Anda di sini

Lelaki hilang jatuh bot ditemukan lemas

Advertisement
 Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.
LEMAS: Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari bot jongkong bersama isterinya ditemukan lemas di Muara Sungai Pukul, Pulau Sebatik, pagi tadi.

Mayat mangsa berumur 56 tahun ditemukan terapung oleh penduduk kampung pada jam 7.30 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tersebut daripada penduduk kampung.

“Sebuah bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Carilamat telah digerakkan ke lokasi penemun untuk membawa mayat ke Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).

“Sebaik selesai proses pengecaman dilakukan, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Semalam, mangsa bersama isterinya dipercayai tercampak ke laut selepas bot jongkong yang mereka naiki terlanggar sesuatu di perairan Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan hilang, manakala isterinya berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada di lokasi berhampiran.

Susulan itu, Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kejadian berikutan insiden tersebut.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta komuniti maritim.

  • oleh
  • Advertisement