Anda di sini

Kementerian akan bantu promosi makanan tradisi setiap etnik: Tiong

Advertisement
 

BINTULU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membantu dalam mempromosikan makanan tradisi setiap etnik di negara ini bagi membolehkannya dikenali pelancong dari dalam dan luar negara, kata Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, Malaysia yang didiami masyarakat majmuk sememangnya mempunyai pelbagai juadah unik serta eksotik yang mana mampu menarik minat pelancong datang ke negara ini untuk mencubanya.

“Justeru, ingin saya tekankan di sini selain aspek kebudayaan serta cara hidup yang unik, makanan dan minuman tradisi boleh menjadi salah satu faktor terpenting bagi menarik pelancong untuk datang ke negara ini,” ujarnya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Beliau memberi contoh hidangan tradisi dan istimewa masyarakat Cina yang dikenali sebagai bak kut teh.

Jelasnya, walaupun pada asalnya ia dimasak dari daging khinzir, namun cara penyediaan serta penggunaan daging lain yang halal mampu menjadikannya salah satu menu yang dapat dinikmati oleh komuniti Islam.

Katanya, dalam kerajaan Madani, apa yang ingin ditekankan ialah semua rakyat harus bekerjasama serta menjalinkan hubungan yang erat antara satu sama lain yang mana makanan dilihat boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Jika anda lihat sebelum ini, sekiranya kita terlihat menu bak kut teh, sudah pasti dalam kepala kita khususnya komuniti Islam membayangkannya merupakan masakan tidak halal,” ujarnya.

“Namun dengan pengubahsuaian atau penggantian kepada daging dan ramuan halal akan membolehkan masyarakat Islam menikmatinya,” katanya.

Isu makanan menurut Tiong tidak harus diperbesarkan kerana apa yang penting ialah penyediaan makanan secara halal akan membolehkan semua kaum menikmati juadah berkenaan.

“Apa yang penting, kita rakyat Malaysia harus berpegang teguh kepada prinsip saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni tanpa mengira kaum,” tegasnya.

Di pihak kementerian jelasnya, beliau amat memandang serius isu ini dan akan terus berusaha untuk memasukkan bak kut teh sebagai makanan kebangsaan atau warisan negara. 

Tiong pada masa sama berharap agar isu sebegini tidak lagi dipolitikkan bagi menjaga sensitiviti agama dan kaum kerana sekiranya tidak dibendung dikhuatiri akan mengakibatkan perbezaan pendapat serta perbalahan yang menjurus kepada perpecahan kaum di negara ini.

“Saya percaya bahawa Timbalan Menterian Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Langkawi baru-baru ini sebagai kurang memahami akan asal-usul hidangan bak kut teh kerana ia mempunyai bahan serta cara penyediaan sesuai dengan daging yang dimakan oleh sesebuah komuniti itu,” ujarnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement