Anda di sini

Kejayaan negara dalam kes tuntutan, bukti kerjasama erat antara negeri dan persekutuan: Arthur

Advertisement
ARTHUR KURUP
ARTHUR KURUP


KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) komited untuk terus membawa suara rakyat Sabah, dan pada masa sama akan sentiasa menentang habis-habisan sebarang usaha dan cubaan untuk mencabar kedaulatan Sabah.


Arthur turut menyifatkan kejayaan yang dilakar negara dalam kes membabitkan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Sulu baru-baru ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.


Kerjasama itu memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan tekad dalam mempertahankan hak serta melindungi dan menjaga kedaulatan Sabah.


"Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan Paris telah membuat keputusan yang memihak kepada Malaysia dalam mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan 'Partial Award' kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu.


"Keputusan tersebut adalah selaras dengan hak serta undang-undang antarabangsa dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa tuntutan kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu adalah tidak berasas, " katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan kejayaan itu, PBRS merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua pihak yang terlibat terutamanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang berjuang bagi memastikan kemenangan ini.

 
"Saya percaya perjuangan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah bukan perkara yang mudah, namun dengan kesepakatan, kerjasama erat dan usaha yang gigih daripada semua pihak kita telah berjaya menghasilkan keputusan yang amat bermakna buat rakyat Sabah.


"Segala usaha ini membuktikan komitmen dan kejayaan Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan dan aset Negara.
"Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan elemen penting agar Kerajaan Perpaduan ini dapat meneruskan usaha mempertahankan kedaulatan Negara dan Sabah.


"Sehubungan itu, saya berharap seluruh rakyat Sabah sentiasa bersatu padu dan menyokong usaha Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dicabuli anasir luar, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement