Anda di sini

JIM hantar 4,060 PTI pulang ke negara asal

Advertisement
 Sebahagian PTI yang dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
PULANG: Sebahagian PTI yang dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar sejumlah 4,060 pendatang tanpa izin (PTI) daripada empat depot tahanan di negeri ini pulang ke negara asal masing-masinh setakat 9 Jun lalu.

Pengarah JIM Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussoff berkata semua tahanan terbabit dipindahkan ke negara asal menggunakan pengangkutan laut dan udara.

"Penghantaran ini termasuklah 52 PTI warga Filipina pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PTI Siri 13, melalui Pelabuhan Sandakan. 

"Tahanan PTI terbabit hanyalah tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Papar, Kota Kinabalu dan hanya seorang dari Depot Imigresen Tawau.

"Semua tahanan itu diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1," katanya dalam satu kenyataan semalam.

SH Sitti Saleha berkata, kesemua PTI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

"Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

"Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara," katanya.

Menurutnya operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

"JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PTI.

"Proses dijalankan selepas semua PTI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing," katanya.

  • oleh
  • Advertisement