Anda di sini

HKM suburkan kewartawanan beretika, bertanggungjawab

Advertisement
 Chamil (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Perdana Menteri, sambil disaksikan Fahmi (kanan).
PENGHARGAAN: Chamil (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Perdana Menteri, sambil disaksikan Fahmi (kanan).


KUALA LUMPUR: Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang diperkenalkan pada 1980 bertujuan menyemarak dan menyuburkan kewartawanan beretika dan bertanggungjawab dengan menjunjung prinsip kewartawanan yang mulia.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata ia termasuk menghasilkan karya-karya pelaporan yang berteraskan kebenaran dan ketepatan fakta dan maklumat.

Selain itu, ia turut fokus meminimumkan kemudaratan, bertimbang rasa serta dapat memberi pencerahan kepada khalayak mengenai isu-isu dan peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.

"Kelahiran HKM dimodelkan kepada hadiah kewartawanan Pulitzer atau Pulitzer Prize yang terdapat di Amerika Syarikat. 

"Bezanya cuma, hadiah wang tunai kepada para pemenang Pulitzer dibiayai oleh wang yang diwasiatkan oleh jutawan yang bernama Joseph Pulitzer," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 di sini malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah utama.

Chamil yang juga Pengerusi MWM 2023 berkata HKM diperkenal bagi memberi penghargaan kepada hasil kerja wartawan meliputi semua media massa, termasuk cetak, elektronik dan digital.

Katanya, selain memberi hadiah kepada para wartawan yang menghasilkan tugas cemerlang tanpa mengira bahasa karya-karya digarap, HKM juga bertujuan meningkatkan mutu kewartawanan di negara ini.

Sementara itu, Chamil menghargai komitmen Petronas menaja HKM sejak 1994 yang bermula dengan RM70,000, kemudian dinaikkan kepada RM100,000 dan mulai 2007 hingga sekarang sebanyak RM300,000 setahun. 

 Perdana Menteri bergambar kenangan bersama sebahagian tetamu kehormat pada majlis itu.
ALBUM: Perdana Menteri bergambar kenangan bersama sebahagian tetamu kehormat pada majlis itu.

Beliau juga mengumumkan bahawa PETRONAS bersetuju untuk menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai tahun hadapan.

"Bagi MWM 2023, sebanyak 51 entiti tampil menghulurkan sumbangan dan tajaan masing-masing," katanya. 

Mengenai HKM MPI PETRONAS edisi 2022, MPI menerima sebanyak 368 penyertaan pelbagai karya kewartawanan untuk dihakimi, berbanding 350 bagi tahun 2021. 

MWM pertama kali diadakan 42 tahun lalu iaitu pada 16 September 1981 dan ia telah dianjurkan secara berterusan sejak itu  untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang  HKM.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut hadir  Pengarah Urusan The Borneo Post, Datuk Henry Lau Lee Kong; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, Liza Mustapha; Pengerusi Sarawak Media Group,  Dato’ Hajah Norhyati Haji Mohd Ismail, dan Pemegang Amanah MPI, Brian Martin.
 

Advertisement