Anda di sini

Henry Lau dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Media 2022

Advertisement
Anwar ketika menyampaikan anugerah kepada Henry Lau sempena Malam Wartawan Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.
Anwar ketika menyampaikan anugerah kepada Henry Lau sempena Malam Wartawan Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan The Borneo Post, Dato Henry Lau Lee Kong dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Media Tahun 2022 sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022 di sini, malam tadi.

Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku tetamu kehormat majlis tahunan berkenaan yang dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Hadir sama pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya.

Henry Lau yang juga Pengarah Urusan KTS Group dicalonkan bagi anugerah berkenaan sebagai penghargaan atas dukungan kuat serta komitmen tinggi terhadap tiga akhbar dalam kumpulan See Hua yang bernaung di bawah KTS Group, iaitu The Borneo Post, See Hua Daily News dan Utusan Borneo serta Oriental Daily (Media Online).

Hasil usaha yang ditunjukkan oleh Henry Lau dalam membawa kecemerlangan kepimpinan dalam transformasi kewartawanan menjadikan kesemua akhbar di bawah kendaliannya antara terunggul, sekali gus membawa impak kepada industri media di negara ini secara keseluruhannya.

Henry Lau, 70, menjadi Pengarah Urusan KTS Group pada 2000, selain menjadi Pengerusi Eksekutif BLD Plantation Bhd, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. 

Graduan kejuruteraan dari University of Adelaide, Australia ini juga menjadi Anggota Association of Professional Engineers, Scientists and Managers Australia.

KTS Group mempunyai lebih 10,000 pekerja dalam sektor pembalakan, pertanian, makanan, perdagangan, media, pembinaan dan pembangunan hartanah.

Dalam industri media, visi kepimpinan Henry Lau telah berjaya mengemudi syarikat akhbar yang diterajuinya menghadapi cabaran dunia digitalisasi dengan berpegang teguh kepada prinsip nilai dan etika kewartawanan secara bertanggungjawab.

Beliau juga memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dan integriti dalam kalangan wartawan, sambil memberi penekanan kepada aspek kewartawanan berlandaskan ketepatan, keadilan dan ketelusan, sekali gus meletakkan kedudukan akhbar yang diterajuinya itu pada kedudukan tertinggi.

Sementara itu, Henry Lau ketika ditemui selepas majlis itu menyatakan penghargaan kepada MPI atas pengiktirafan kepada kumpulan akhbar The Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua Daily News dan Oriental Daily.

Sambil menyatakan rasa terharu menerima Anugerah Tokoh Media yang sangat berprestij itu, beliau berkata ia adalah hasil sumbangan bersama pengarah, pemegang saham, kakitangan dan pembaca.

Beliau berharap pengiktirafan tertinggi peringkat kebangsaan itu akan menjadi pendorong kepada semua kakitangan, terutama wartawan untuk mencapai kecemerlangan.

"Kita akan terus bekerja keras dan berusaha menyediakan kandungan yang lebih baik," katanya.
 

Advertisement