Anda di sini

UMS meterai kerjasama dengan UIN Salatiga Indonesia

Advertisement
 Kasim (kiri) bertukar dokumen LoI bersama Zakiyuddin menandatangani LoI di Bangunan Canselori UMS di sini.
TUKAR: Kasim (kiri) bertukar dokumen LoI bersama Zakiyuddin menandatangani LoI di Bangunan Canselori UMS di sini.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai satu hasrat kerjasama strategik bersama Universitas Islam Negeri (UIN) Salatiga Indonesia dalam majlis menandatangani dokumen Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak di Bangunan Canselori UMS di sini.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor mewakili UMS manakala UIN Salatiga diwakili Rektornya Prof. Dr. Zakiyuddin Baidhawy.

Terdahulu Kasim semasa mengalu-alukan kunjungan delegasi dari UIN Salatiga memaklumkan, hubungan silaturahim antara kedua-dua universiti sudah terjalin bagaimanapun perhubungan sebelum ini hanya melalui secara dalam talian.

“Justeru, kunjungan delegasi UIN Salatiga ke UMS ini adalah satu pertemuan dinamik yang mampu menjurus kepada perbincangan lebih lanjut berkaitan kecemerlangan akademik dan penyelidikan kedua-dua universiti.

“Kedua-dua universiti ini seharusnya menjalinkan lebih banyak kerjasama memandangkan Malaysia dan Indonesia secara dasarnya mempunyai banyak persamaan dan dalam negara serumpun,” katanya.

Tambahnya kerjasama ini juga adalah langkah awal yang bijak kerana lebih banyak aktiviti akan tertumpu di Kepulauan Borneo apabila pusat pentadbiran negara Indonesia berpindah ke ibu kota Nusantara di Kalimantan kelak.

“Saya percaya hasrat kerjasama ini akan disusuli dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dan beberapa aktiviti lain seperti penyelidikan bersama dan geran padanan.

“UMS juga sudah sekian lama menjalinkan kerjasama erat dengan universiti lain di Indonesia terutama universiti yang berada di Kepulauan Borneo.

“Terbaru, kita juga mengadakan kunjungan ke Universiti Tanri Abeng, dan kita berhasrat untuk mengadakan kerjasama serta menawarkan program secara dalam talian,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) dengan usaha yang membawa kepada kerjasama bersama UIN Salatiga.

Dalam pada itu Zakiyuddin dalam ucapannya pada acara tersebut memaklumkan UIN Salatiga baharu genap setahun dinaik taraf daripada institut kepada universiti penuh.

“Justeru, UIN Salatiga mahu terus melebarkan sayap melalui kerjasama di peringkat antarabangsa, serta ingin terus belajar dari universiti lain bagi meningkatkan pengiktirafan dan akreditasi universiti.

“Universiti juga menyasarkan untuk menghantar 10 peratus iaitu lebih 300 siswa ke luar negara melalui program mobiliti,” katanya.

Terdahulu, Zakiyuddin turut dijemput untuk menyampaikan Syarahan Umum Profesor bertajuk ‘Peneguhan Identiti Islam Dalam Interaksi Bersama Masyarakat Pelbagai Agama’ di Pusat Islam UMS.

Hadir sama pada sesi menandatangani LoI tersebut Dekan FIS Prof. Dr. Mohd Dahlan A. Malek, Pengarah PPPG Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din, Ketua Unit Penyelidikan dan Khidmat Komuniti UIN Salatiga Dr. Hammam, dan Ketua Kerjasama Antarabangsa UIN Salatiga Marisa Fran Lina.

  • oleh
  • Advertisement