KUCHING: Rumah-rumah panjang luar bandar dan pedalaman di negeri ini wajar mempunyai perpustakaan mini sendiri.
Dalam membuat cadangan itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia kini menjadi komponen penting dalam pendidikan.
"Perpustakaan boleh memupuk tabiat membaca dalam kalangan pelajar dari peringkat prasekolah. Ia akan membantu pelajar untuk sentiasa gemar belajar sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kursus penguasaan bahasa Inggeris untuk murid-murid SK St John yang diadakan di Rumah Jabin Begilie di Tembawai Tinting di Spaoh, Betong hari ini.
Uggah berkata, perpustakaan harus dilengkapi dengan buku-buku dan majalah dalam bahasa Inggeris, selain Bahasa Kebangsaan.
Menurutnya, pelajar boleh memanfaatkan perpustakaan semasa cuti sekolah untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran.
"Di Sarawak, kita memberi penekanan yang tinggi terhadap penggunaan bahasa Inggeris.
"Sebenarnya, Sarawak adalah satu-satunya negeri yang masih melakukan perkara ini kerana bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang sangat penting dalam komunikasi, pendidikan, perniagaan, sains, teknologi dan sebagainya.
"Walaupun Bahasa Kebangsaan adalah bahasa rasmi kita, kita mahu pelajar kita mahir berbahasa Inggeris," katanya.
Selain itu kata Uggah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), wakil-wakil rakyat juga menggunakan bahasa Inggeris dan Bahasa Kebangsaan untuk bercakap dan berdebat.
"Kita juga melihat sekarang bahawa sistem pendidikan negara amat mementingkan pengajaran mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
"Bahasa Inggeris pada asasnya digunakan dalam pengajaran (mata pelajaran tersebut)," katanya.
Uggah kemudiannya mengumumkan geran RM10,000 bagi mendapatkan lebih banyak bahan bacaan untuk SK St John, selain satu lagi geran RM100,000 untuk menambah baik bidang sukannya.
Beliau seterusnya dipelawa oleh Tuai Rumah Jabin untuk menyempurnakan upacara 'ngiling tikai' sebagai tanda berakhirnya sambutan Gawai Dayak bagi rumah panjang 26 pintu berkenaan.