Anda di sini

Qistina Alya dan Fiedatul Eliya harumkan nama SMK Pantai

Advertisement
 Ismail merakamkan gambar kenangan bersama murid yang mendapat keputusan SPM 6A ke atas.
BERSEJARAH: Ismail merakamkan gambar kenangan bersama murid yang mendapat keputusan SPM 6A ke atas.

LABUAN: Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan, Qistina Alya Sulaiman dan Fiedatul Eliya Mohd Sapriah berjaya mencapai semua A dalam SPM 2022 yang diumumkan pada Khamis lalu. 

Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah berkata, Qistina Alya telah mendapat 10A iaitu 7A+ dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Sejarah, Fizik, Kimia dan Tasawwur Islam, manakala 3A Bahasa Melayu, Matematik Tambahan serta Biologi.

Katanya, Qistina Alya anak kepada pasangan Dr Sulaiman Ibrahim dan Dr Lily Suryati Alias telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran dan sentiasa menjadi pelajar terbaik semasa di sekolah.

Fiedatul Eliya pula telah mencapai 8A iaitu 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Tasawwur Islam, manakala 4A- dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah serta Pendidikan Seni Visual.

Fiedatul Eliya merupakan anak kepada pasangan Mohd Sapriah Asis dan Reiniah Kamis yang tinggal di Kampung Bukit Kuda WP Labuan. 

Fiedatul Eliya kini sedang melanjutkan pelajaran di University College MAIWP International (UCMI) Kuala Lumpur.

Ismail berkata, seramai 10 orang calon SPM 2022 SMK Pantai juga telah berjaya mencapai 6A ke atas iaitu Nur Afiqah Abidin (7A), Nur Batrisyia Adrina Roslan (7A), Anggun Nur Nafeesa Abdillah (7A), Muhammad Nuh Syakirin Kula (6A) dan Dk Marsya Maisarah Awang Alik (6A), 

Selain itu, Nur Athirah Syafiqah Izamain (6A), Muhammad Salahuddin Ayubi Rosnelizaide (6A), Nellvyna Angie Lik @ Alik (6A), Nur Deneesya Ellesya Mohd Isaac (6A) dan Nur Zahwa Abdul Hamid (6A).

Tambah Ismail, SMK Pantai yang mempunyai 153 orang calon SPM telah mencapai peratus lulus 94.77 peratus dan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.65. 

“Kejayaan ini adalah berkat usaha gigih guru-guru dan murid-murid serta sokongan daripada ibu bapa.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua calon yang memperolehi keputusan yang cemerlang pada SPM 2022.

“Terima kasih kepada semua guru, PIBG dan ibu bapa yang sentiasa membantu menjayakan pelbagai program kecemerlangan akademik SMK Pantai,”katanya.
 

Advertisement