Anda di sini

Program mobiliti UMS beri pengalaman menarik kepada pelajar Universiti Indonesia

Advertisement
 Delegasi Universitas Muhammadiyah Surakarta merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan FPSK UMS.
KENANGAN: Delegasi Universitas Muhammadiyah Surakarta merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan FPSK UMS.

KOTA KINABALU: Seramai 23 pelajar Universitas Muhammadiyah Surakarta Indonesia menimba pengalaman menarik melalui program mobiliti yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Penyelaras e-mobiliti program kejururawatan yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS Mazlinda Musa berkata program diadakan selama tujuh hari memuatkan aktiviti pendidikan yang merangkumi jalinan sosial, ikatan silaturahim dan pembelajaran tanpa sempadan.

Katanya jalinan kerjasama antara Jabatan Kejururawatan FPSK UMS dengan Fakultas Ilmu Kesehatan Universitas Muhammadiyah Surakarta Indonesia sudah dimulakan sejak 2020.

“Sejak 2020, kita sudah menjalankan satu semester penuh program e-mobiliti inbound danoutbound, seminar dalam talian, projek penyelidikan kecil dan ceramah umum antara kedua-dua fakulti.

“Selepas dua tahun hubungan maya antara universiti yang berterusan ini, Universitas Muhammadiyah Surakarta Indonesia memutuskan untuk datang dan melawat FPSK UMS secara fizikal.

“Antara aktiviti yang diadakan pada program mobiliti kali ini ialah program pendidikan kesihatan bersama 150 pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, ceramah berkaitan bidang kejururawatan serta lawatan tempat-tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Mazlinda berkata beberapa tempat lawatan sambil belajar turut dikunjungi seperti Muzium Negeri Sabah dan Perpustakaan Negeri Sabah.

“Dengan adanya program seumpama ini, peserta dapat mempelajari topik tertentu sambil membantu pelajar memperluas pemahaman mereka tentang budaya, bahasa, hubungan antarabangsa, serta memberi kelebihan kompetitif dalam persaingan kerja global.

“Kita harapkan agar program pengantarabangsaan ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada sidang kemuncak lawatan terbabit satu majlis menandatangani surat niat (LoI) disempurnakan oleh Dekan FPSK UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree bersama Dekan Fakultas Ilmu Kesehatan, Universitas Muhammadiyah Surakarta Dr. Umi Budi Rahayu yang mewakili universiti masing-masing.

Kedua-dua universiti bersetuju untuk berkolaborasi melalui pertukaran staf akademik, pertukaran pelajar, kerjasama projek penyelidikan serta penganjuran aktiviti pembangunan pelajar (kokurikulum) secara bersama, seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, pembelajaran antarabangsa dalam talian kolaboratif (COIL), seminar dan simposium.

  • oleh
  • Advertisement